Thursday, March 26, 2009

Mahsuri milik Vee


VEE bakal menjelma sebagai Mahsuri bermula 24 April depan.



FAUZIAH NAWI


Sudah berbulan lamanya Fauziah Nawi mencari calon untuk memegang watak Mahsuri bagi teater terbaru arahannya yang bakal dipersembahkan Istana Budaya (IB). Dalam proses pencarian itu, dia sebenarnya sudah mempunyai calon tersendiri.

Padanya, dia hanya dapat membayangkan Vanidah Imran (Vee) sebagai Mahsuri dan tuah berpihak kepadanya apabila Vee bersetuju apabila menerima tawaran itu.

Bukan senang bagi seorang aktres untuk meninggalkan kerja lain dan hanya bertumpu pada pementasan teater yang akan mengambil masa persediaan yang lama. Namun, Vee tidak kisah mengorbankan masa hanya untuk bekerjasama dengan Fauziah dan menerima cabaran sebagai Mahsuri.

Walaupun dia pada masa ini sedang sibuk dengan teater muzikal Islamik arahan Erma Fatima, Sirah Junjungan musim kedua sehingga 22 Mac lalu, Vee sebenarnya sudah lama tidak berlakon teater sebagai peneraju utama. Kali terakhir adalah menerusi teater Wangi Jadi Saksi (2006).

"Memang diakui berlakon drama atau filem akan mendapat bayaran lebih tinggi. Tetapi saya bersetuju untuk berlakon dalam teater ini kerana kepuasan diri. Memegang watak Mahsuri dan berganding dengan Fauziah bukannya peluang yang biasa diperoleh.

"Lagipun sudah lama saya tidak memegang watak utama dalam teater. Pentas teater sebenarnya adalah tempat yang membolehkan saya belajar semula dan memperbaiki lakonan saya," kata Vee ketika ditemui pada sidang media memperkenalkan barisan utama pelakon Mahsuri.

Sungguhpun Vee merupakan pilihan utama pengarah, dia juga diperlukan untuk menghadiri sesi uji bakat bersama calon lain. Tidak mendapat pas mudah, Vee sendiri tidak kisah untuk menghadiri uji bakat kerana melalui proses sama untuk muzikal P. Ramlee dan Puteri Gunung Ledang (PGL).

Sejujurnya Vee mengakui dia tidak begitu mengetahui kisah mengenai Mahsuri. Seperti kebanyakan orang lain, dia hanya mengetahui cerita asas tetapi teater ini akan bercerita daripada sudut suami Mahsuri, Wan Darus.

"Memang saya tidak tahu secara mendalam mengenai Mahsuri tetapi figura itu ialah legenda. Sejak kecil kita sudah belajar dan mendengar ceritanya. Kalau pergi melawat Pulau Langkawi, pastinya semua orang ingin melawat makam Mahsuri.

"Maka, ia adalah satu penghormatan apabila ditawarkan watak ini," tambahnya lagi mengenai teater yang sudah akan bermula 24 April depan.

Diperlukan bersilat dan menyanyi, Vee yang tidak mempunyai sebarang latar belakang dalam seni mempertahankan diri bagaimanapun lebih menggeruni nyanyian. Suaminya, Rashidi Ishak yang pernah ditawarkan watak Wan Darus merupakan guru vokalnya di rumah.

"Rasanya saya lebih senang bersilat di atas pentas daripada menyanyi. Semasa menyanyi di rumah sahaja saya sudah tertekan apabila Shidi memantau nyanyian saya. Nasib baik saya akan menghadiri kelas vokal yang boleh membantu saya," katanya yang pernah memenangi anugerah Pelakon Wanita Terbaik pada Festival Filem Malaysia 2007.


PASANGAN suami isteri dalam teater Mahsuri, Vee dan Arja.


Berasa seronok di atas pentas dengan emosi berlainan setiap malam, Vee tahu dia kena melakukan yang terbaik kerana ini adalah produksi pertama Fauziah di IB dan Vee inginkan Fauziah berasa bangga dengannya. Maka, dia tidak kisah untuk melakonkan babak 'intim' bersama gandingannya, Azharudin Ramli (Arja) yang memainkan watak Wan Darus.

"Jika bercakap mengenai babak mesra, itu adalah lumrah lakonan. Seperti dalam teater Tun Perak, saya juga terlibat dalam babak sedemikian. Namun, dalam budaya Melayu, saya tahu batasannya. Lakonan itu cuma salah satu cara untuk meluahkan perasaan.

"Ada dua babak seperti semasa Darus ingin pergi berperang dan apabila Darus pulang dan mendapati isterinya telah dibunuh. Kedua-duanya memerlukan babak bersentuhan. Namun, lakonan babak itu tidak pernah mengganggu saya atau saya terbawa-bawa watak saya di luar. Ditambah dengan sokongan suami, ia bukan satu masalah kerana Shidi amat memahami saya," jelasnya lagi.

Baru berjumpa dengan gandingannya, Arja, Vee berharap pelakon baru itu boleh memberi petua dalam nyanyian dan Vee pula boleh membantunya dari segi lakonan. Arja pula masih berasa gementar setiap kali bertentangan mata dengan idolanya, Vee.

"Apabila Fauziah menelefon saya dan menyatakan bahawa saya terpilih, saya berasa amat cemas. Apabila bertemu dengan Vee, saya amat gementar kerana taraf kami sebagai pelakon amat jauh. Dia pernah memenangi pelbagai anugerah dan saya masih baru," katanya yang pernah terlibat dalam muzikal PGL.

Tidak pernah cenderung dalam lakonan dan belum pernah berlakon dalam teater dengan memegang watak utama, Arja yang berlatarbelakangkan muzik mahu cuba berlakon kerana faktor rezeki. Dia juga tahu dirinya yang dipilih kali ini kerana berpotensi sebagai pelakon.

"Apa yang penting adalah jangan takut atau malu. Saya tidak mempunyai masalah untuk menghafal skrip tetapi berdepan masalah pelat huruf R dan S.

"Satu lagi masalah ialah saya sudah biasa menyanyi lagu pop dan kini perlu menyanyi untuk menyampaikan cerita. Walaupun susah, saya gembira kerana dapat mempelajari benda baru," tambahnya

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: