Thursday, March 26, 2009

Cinemax tukar jadi Max


SNAKES ON A PLANE


SELEPAS menghiburkan penonton di bawah payung Astro selama 11 tahun, saluran Cinemax yang sebelum ini padat dengan pelbagai seleksi filem bakal berubah isi kandungannya.

Sejajar dengan wajah baru, Cinemax yang akan bergelar Max bermula pukul 10 malam 29 Mac ini akan menyajikan filem-filem daripada lingkaran genre aksi, sains fiksyen, thriller dan suspen sahaja.

Masih mengekalkan format bebas iklan, saluran selama 24 jam ini mengambil inisiatif untuk penjenamaan baru kepada Max atas pelbagai alasan.

Menerima pelbagai respons daripada penonton, pihak Cinemax berpendapat perubahan adalah satu penyelesaian yang bijak bagi mengekalkan dan menarik perhatian penonton.

Lagipun, dengan jumlah saluran baru yang semakin meningkat, pembaharuan dilihat perlu bagi memberikan saingan. Ditambah dengan skop usia penonton yang semakin muda, elemen kesegaran perlu disuntik supaya Cinemax tidak ketinggalan.

"Cinemax sudah berada di pasaran untuk satu jangka masa yang lama. Berdasarkan penyelidikan, kami kini memiliki lebih ramai penonton muda dan mereka mahukan kesegaran. Maka, ini adalah masa yang tepat untuk berubah bukannya dari segi nama tetapi juga kandungannya.

"Max masih akan kekal sebagai saluran filem tetapi hanya kepada genre aksi, thriller, suspen dan sains fiksyen," kata Timbalan Presiden Senior Program dan Persembahan HBO Asia, Robert Lyons pada sidang media memperkenalkan Max.

Sungguhpun menyasarkan kepada penonton lelaki, pihak Max yakin ramai audiens wanita turut akan terpikat dengan hidangan Max terutama dengan penayangan drama popular, True Blood.

Siri yang mengisahkan puntianak itu akan menemui audiens bermula 9 April ini.

Selain daripada siri asal terbitan HBO, Max juga akan menawarkan filem-filem popular seperti Cloverfield dan Snakes On A Plane pada penghujung Mac ini. Francais filem Indiana Jones termasuk Indiana Jones and the Kingdom of the Crystal Skull juga bakal mengisi ruang TV anda suku ketiga tahun ini.

"Kami tidak mengehadkan sasaran penonton kami. Berdasarkan populariti True Blood, rasanya lebih ramai penonton wanita akan mengikuti siri ini. Sebenarnya kami mempunyai tenaga yang mengenal pasti filem apa yang diminati penonton Malaysia.

"Berdasarkan penyelidikan, genre aksi adalah pilihan utama dan filem Spiderman adalah antara filem kegemaran mereka. Maka, tahun ini kami memilih untuk menayangkan Indiana Jones," kata Robert lagi.


TRUE BLOOD


Penjenamaan baru ini turut dibahagikan kepada genre berlainan setiap hari. Diberi nama Max Twilight pada hari Isnin, penonton akan menyaksikan filem genre sains fiksyen, seram dan fantasi. Pada hari Selasa dengan konsep Max Fanboy, seleksi filem cult akan dipaparkan. Max Icon akan menemui penonton pada setiap Rabu dengan memaparkan filem daripada bintang popular Hollywood.

Pada setiap Khamis, penonton akan dihiburkan dengan filem-filem genre misteri, suspen dan thriller dengan jenama Max Thriller. Max Action akan menyajikan filem aksi yang penuh dengan letupan dan adegan tembak-menembak.

"Mungkin ramai yang tertanya-tanya apa akan terjadi kepada filem-filem genre lain yang sebelum ini ditayangkan di Cinemax. Disebabkan Max hanya akan menayangkan filem-filem tertentu, saluran HBO pula mengambil peranan untuk menyajikan seleksi filem lain. HBO dan Max akan bekerja sebagai pakej sempurna kepada audiens.

"Ada beberapa buah filem yang hangat akan ditayangkan semula di HBO tetapi selepas enam bulan disiarkan di Max. Ini kerana bukan semua negara mendapat siaran saluran HBO dan Max seperti penonton Malaysia," jelasnya.


PENGARAH Komunikasi HBO Asia, Karen Lai bersama Robert ketika mempamerkan logo baru Max.


Tidak merasakan krisis ekonomi dunia memberi sebarang efek terhadap dunia hiburan terutama TV, Robert memberitahu, pihaknya masih akan terus memaparkan seleksi hiburan terkini dan terbaik buat penonton. Malah Max turut memperkenalkan slot baru, ePad yang akan dikendalikan oleh pengacara Max, Oli Pettigrew.

"Kami merasakan situasi berlainan berlaku akibat kegawatan ini. Disebabkan mahu berjimat-cermat, ramai orang memilih untuk duduk di rumah. Maka ini secara tidak langsung meningkatkan jumlah penonton.

"Bagi menonjolkan kelainan, kami memaparkan hos untuk memperkenalkan program-program menarik sepanjang minggu. Slot itu akan ditayangkan pada setiap Jumaat selama 15 minit dan diulang tayang setiap hari," katanya mengenai program yang akan bersiaran pada pukul 9.45 malam.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: