"Mungkin dah sampai masanya untuk Siti buat-buat tak tahu pula, biarlah ia datang secara sendiri. Itu juga yang disarankan doktor" – SITI
BUKAN April Fool, sebaliknya tarikh 1 April 2009 nanti menjadi tarikh paling bermakna dalam catatan peribadi Datuk Siti Nurhaliza Taruddin. Menjelang detik itu nanti, genaplah 14 tahun Siti terlibat dalam dunia seni.
"Tarikh itu merupakan tarikh album pertama Siti, album yang mengandungi lagu Jerat Percintaan dilancarkan.
"Bagi Siti, tarikh itu tarikh penting, tanda permulaan langkah Siti sebagai penyanyi," luah Siti dalam senyum menguntum.
Cuba mengagak apa yang tersimpan di benak Siti, penyanyi yang sedang sibuk mempromosikan album terbarunya, Lentera Timur, itu diselidik dalam-dalam. Emosi Siti juga seperti mengizinkan semua perancangannya dapat dikongsi bersama.
Masuk tahun ke-14 bergelar anak seni, banyak sudah ranjau dan 'emas' yang diraih Siti Nurhaliza dan sampai ke tahap ini, Siti masih mempertahankan segala apa yang dimiliki sedaya termampu.
"Banyak perkara yang berlaku dalam hidup saya menyebabkan banyak benda tertangguh. Sekarang fokus saya ialah kembali kepada karier.
"Bulan April ini Siti kembali sibuk. Pada 1 April, Siti akan ke Kelantan menjayakan konsert keputeraan baginda Sultan Kelantan, kemudian terlibat dengan Anugerah Bintang Popular dan seterusnya Anugerah Industri Muzik," beritahu Siti bersemangat.
Dalam perancangannya juga, isteri kepada Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa (Datuk K) itu sedang berkira-kira melestari satu impian besarnya, impian muncul dengan konsert solo di pentas gah bernama Panggung Sari, Istana Budaya (IB).
Kata Siti juga, konsert tersebut sememangnya menjadi hasratnya bagi meraikan tahun ke-14 bergelar anak seni.
"Asyik bercerita tentang konsert, tapi kali ini Siti mahukan sebuah konsert solo di IB. Sebelum ini bukan Siti tidak pernah buat konsert di IB. Siti pernah terlibat dengan konsert Sudirman dan konsert P. Ramlee tapi belum pernah ada konsert yang betul-betul diisi dengan lagu-lagu daripada album Siti.
"Jika perancangan itu menjadi, Siti mahu ia menjadikannya sebuah konsert yang benar-benar meninggalkan kesan. Kalau boleh Siti mahu menggunakan segala kecanggihan dan teknologi yang ada di IB bagi memberikan sokongan fizikal terhadap persembahan di sana kelak," jelas Siti yang menjadikan konsert penyanyi pujaannya Celine Dion di Las Vegas sebagai inspirasi konsert solonya di IB kelak.
Alangkah indahnya, kata Siti, jika konsert solonya nanti dapat direalisasikan di pentas persis sebuah muzikal broadway serta lengkap dengan imej di skrin besar.
"Konsert Celine itu sekadar inspirasi tetapi untuk menjayakan nanti, Siti akan ukur baju di badan sendiri. Apa yang termampu oleh Siti sahaja," kata Siti yang akan memulakan penggambaran video klip terbarunya, Di Taman Teman tidak lama lagi.
|
|
Daripada butir tuturnya, Siti seperti sudah mengalihkan perhatiannya yang selama ini terlalu memikirkan soal anak.
Persoalan bilakah perkongsian hidupnya bersama Datuk K itu bakal diserikan dengan kehadiran zuriat kandungannya sendiri seperti sudah tidak mahu diendahkan Siti buat sementara waktu.
"Cukuplah. Sekarang Siti tidak mahu tertekan dengan perkara-perkara begitu. Selama ini Siti terlalu fokus dan tumpukan banyak perhatian namun tiada apa-apa yang berlalu.
"Mungkin dah sampai masanya untuk Siti buat-buat tak tahu pula, biarlah ia datang secara sendiri. Itu juga yang disarankan doktor," kata Siti yang kini berazam mahu menurunkan lagi berat badannya.
Pernah satu ketika berat badannya mencecah 61 kilogram, Siti kini agak berpuas hati dengan berat badannya, 56 kilogram.
"Siti nak kurus lagi, kalau boleh nak dapatkan berat 55 kilogram, Siti juga dah mula pergi ke gim," katanya ketika ditemui selepas sidang media pelancaran persembahan eksklusifnya untuk Minggu Setiausaha anjuran Hotel Quality City Center Kuala Lumpur di ibu negara kelmarin.
Kembali meriahkan Minggu Setiausaha
Tahun 2009 menyaksikan kehadiran semula Siti Nurhaliza untuk memeriahkan Minggu Setiausaha setelah dua tahun menyepikan diri dari musim persembahan khas untuk para setiausaha dan majikan yang disambut di seluruh dunia itu.
Bertempat di Pusat Pameran dan Konvensyen MATRADE di Jalan Duta, Siti bakal menghiburkan peminat dan pengunjung persembahannya pada 22 April nanti.
Apakah yang membuatkan Siti terpanggil untuk menerima tawaran menjayakan musim persembahan Minggu Setiausaha tahun ini, itu antara yang menjadi persoalan.
"Selama dua tahun lepas, Siti sibuk dengan banyak agenda dan ada urusan lain yang harus diutamakan. Sebenarnya selama tidak menjayakan Minggu Setiausaha, bukannya Siti tidak rindukan suasana berkenaan.
"Konsep persembahan Minggu Setiausaha ini memang menarik dan ia satu konsert khas untuk setiausaha dan para majikan, jadi ia sebuah konsert yang menarik untuk dijayakan," kata Siti yang masuk kali keenam menjayakan Minggu Setiausaha anjuran Hotel Quality City Center.
Bukan Siti seorang, sebaliknya persembahan Minggu Setiausaha anjuran hotel berkenaan turut mengundang penyanyi hebat dari Indonesia, Kris Dayanti untuk menghiburkan para setiausaha dan bos serta peminat.
Meletakkan dua nama besar, Siti dan Kris, Hotel Quality City Center sengaja tidak menyatukan penyanyi itu di atas pentas yang sama.
Alasan pihak hotel, tidak mahu peminat kedua-dua penyanyi berkenaan berasa terkilan kerana tidak puas berhibur bersama idola mereka.
Bahkan, menurut Siti, jika dirinya dan Kris mahu digandingkan di atas satu pentas, tempat yang dipilih dan skala persembahan haruslah lebih besar supaya dapat memuaskan hati semua pihak.
"Memandangkan ini persembahan untuk Minggu Setiausaha dan sekadar sebuah persembahan mini, Siti rasa lebih baik jika hanya seorang penyanyi yang menghiburkan pengunjung untuk sesebuah persembahan dalam satu masa.
"Untuk persembahan Siti nanti, masa yang diperuntukkan sekitar 45 minit tapi biasanya akan meleret sehingga satu jam atau satu jam setengah," kata Siti yang berjanji mahu menyampaikan tidak kurang daripada 10 buah lagu buat semua pengunjung ke persembahan eksklusif Minggu Setiausaha nanti.
Tahun ini juga menjadi tahun ke-10 buat hotel berkenaan menyambut dan menjayakan persembahan Minggu Setiausaha.
Tiket-tiket untuk Minggu Setiausaha eksklusif bersama Siti dan Kris berharga RM280 hingga RM580 kini sudah dibuka untuk tempahan dan jualan.
uwek...
ReplyDelete