Thursday, March 26, 2009

Eira kurus mendadak


"SAYA sering mengelamun, lemah, malas, hilang selera makan serta sukar melelapkan mata pada waktu malam sejak dua minggu lalu. Kalau tidur pun, hanya dua atau tiga jam sehari dan saya selalunya akan terjaga ketika menjelang Subuh.

"Berat badan saya juga turun mendadak dari 50 kilogram kepada 45 kilogram saja sekarang," kata pelakon Eira Syazira ketika ditanya mengenai perubahan tubuhnya yang kurus.

Kata pelakon yang popular menerusi drama bersiri Ku Milikkmu ini, ibunya yang mula perasan ada yang tidak kena dengan dirinya dan menganggap penyakitnya itu mungkin kerana terkena buatan orang.

"Emak memang risau melihat perubahan diri saya itu dan terus berjumpa pengamal perubatan tradisional untuk melihat penyakit yang menimpa saya itu, sekali gus mengubati saya.

"Menurut kata pengamal perubatan tradisional itu, ada dua orang yang berniat tidak baik pada saya dan mereka menggunakan khidmat bomoh dari Indonesia.

"Perempuan terbabit adalah orang dalam industri seni sendiri yang ingin menutup periuk nasi saya dan seorang lagi ialah lelaki yang kononnya saya tidak layan sebelum ini," katanya.

Eira yang ditemui ketika pelancaran drama bersiri Embun Mutiara terbitan MIG Beats Sdn Bhd (MIG), baru-baru ini, mengakui agak sukar untuknya mempercayai kata-kata pengamal perubatan tradisional itu.

Apa yang mampu dilakukannya kini ialah lebih berhati-hati dalam setiap perbuatan dan pergerakan.

Katanya,

sebelum tidur dia juga mengamalkan membaca ayat suci Al-Quran sebagai pendinding diri bagi mengelakkan gangguan syaitan.



"Sebagai manusia biasa, saya percaya setiap kejadian yang berlaku dalam hidup kita itu ada hikmah di sebaliknya.



"Mungkin penyakit yang menimpa saya ini ujian yang datang untuk menguji keimanan saya. Apapun, sebagai hamba-Nya yang lemah, saya berdoa semoga Tuhan sentiasa melindungi dan memberkati hidup saya sekeluarga," katanya.

Ditanya sama ada dia mempunyai musuh sepanjang lima tahun berkecimpung sebagai anak seni, Eira yang pernah digosipkan mempunyai skandal dengan suami orang sebelum ini menafikannya.

Katanya, sejak putus cinta dengan anggota kumpulan GTBoys, Isa, dua tahun lalu, dia memang tiada teman istimewa.

"Kami juga putus secara baik, tetapi gosip dengan suami orang itu tidak benar sama sekali. Saya kenal suami orang yang juga penerbit drama itu kerana pernah berlakon dalam projek drama terbitannya sebelum ini. Begitu juga isterinya yang juga seorang pelakon.

"Hubungan saya dan penerbit itu masih baik sampai sekarang kerana kami tahu gosip itu tidak berasas sama sekali. Malah, saya juga akan terbabit dengan projek drama barunya tidak lama lagi," katanya.

Mengenai drama bersiri Embun Mutiara, Eira yang juga pelakon utama drama itu berkata, dia terima tawaran berlakon drama arahan pengarah muda Mohd Heykal Mohd Hanifah itu kerana tertarik dengan judulnya.

"Saya bawa watak Embun, gadis nakal dalam cerita yang memaparkan konflik remaja dua beradik ini. Dia juga mempunyai teman lelaki kacak, Roni (lakonan Awal Ashaari). Sekalipun nakal, dia tetap sayangkan adiknya, Mutiara yang mempunyai perwatakan berbeza sama sekali dengannya.

"Watak Embun juga berbeza daripada lakonan saya dalam siri Sindarella atau Ku Milikmu. Setiap kali dapat tawaran berlakon, saya memang ingin lari dari karakter yang pernah dilakonkan sebelum ini.

"Selain Embun Mutiara, penonton akan melihat saya bawa watak air mata pula dalam drama bersiri Cinta

Balkish arahan Heykal yang diterbitkan untuk slot Akasia, TV3," katanya.

Kata Eira, dia yakin mempunyai keserasian dengan Awal yang juga pasangannya dalam drama Embun Mutiara. Katanya, jika dalam Ku Milikmu penonton dapat melihat keserasiannya dengan Zizan Nin, justeru dalam drama ini Eira pastikan mempunyai keserasian dengan Awal walaupun pertama kali mereka digandingkan dalam drama.

"Bagi saya keserasian itu penting kerana jika tidak, sukar untuk kami menjayakan babak bercinta dalam drama ini," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: