|
|
KALAU mempunyai wang yang banyak, apa jua boleh dilakukan tanpa perlu berfikir panjang. Penyanyi Kelly Clarkson sudah mengambil keputusan untuk membuang imej rock yang amat sinonim dengan dirinya sebelum ini.
Kelly yang baru sahaja melahirkan single terbarunya, My Life Would Suck Without You memperuntukkan perbelanjaan bagi mengubah personalitinya dengan harapan untuk mencapai satu lagi kejayaan baru dalam kerjayanya.
Penyanyi yang berusia 26 tahun itu menjelaskan: "Saya mulai bosan apabila sering menyarungkan pakaian berwarna merah jambu sejak berusia tujuh tahun lagi.
"Semua orang di sekeliling saya mengatakan bahawa warna yang dianggap feminin ini, begitu bersesuaian dengan saya.
"Lantas, setelah puas muncul dengan warna sama, saya mula bosan. Semasa bergelar penyanyi, saya sering menggayakan pakaian dengan warna hitam, bersesuaian dengan personaliti rock saya.
"Kini saya teruja apabila menyaksikan warna-warna menarik yang digayakan menerusi watak-watak dalam filem terkenal, Charlie's Angel.
"Saya rasa imej tersebut cukup bertepatan dengan saya yang ingin menampilkan perubahan pada tahun ini," akui Kelly.
Selain melakukan transformasi terhadap gayanya, Kelly juga dilaporkan tidak pernah berasa tertekan jika berbicara soal penurunan berat badan.
Jelas Kelly: "Saya memulakan bidang seni menerusi American Idol dan ketika itu saya boleh dianggap sebagai peserta wanita yang memiliki tubuh paling besar.
"Saya selalu berasa rendah diri dengan saiz badan, namun berjuta-juta penonton tetap mengundi saya tanpa melihat kekurangan yang saya miliki.
"Manusia dilahirkan dengan pelbagai saiz dan rupa bentuk. Saya bersyukur kerana orang ramai menerima saya dalam keadaan seadanya," jawabnya ringkas.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: