PERTEMUAN kami petang itu tidak disengajakan. Saya hampir-hampir tidak mengenali lelaki yang nampak kurus dalam seragam jingga. Lelaki itu sedang sibuk menjalani penggambaran drama Cuci Cuci Services.
Dengan ramah, pemilik nama sebenar Mohd. Aszerul Nizam Abdullah atau Beego itu menegur: "Tak sangka jumpa di sini." Dia senyum. Senyumnya tawar seolah-olah cuba menyembunyikan perasaan yang masih remuk.
Namun mengenali sosok lelaki kacukan Melayu-Jerman itu, dia jarang mengelak tanpa sebab. Bicaranya juga selalu telus. Seperti pada pertemuan tidak dijangka itu, dia memberitahu bahawa dirinya sudah bercerai. Sudah menjadi duda muda. Dia tersenyum pahit.
"Sudah tahu kan, saya bercerai pada 16 Mac lalu di Mahkamah Rendah Syariah, Kuala Lumpur dengan talak satu. Semua kes tuntutan kami juga sudah diselesaikan di luar mahkamah," ringkas tetapi isi bicaranya cukup memberi penegasan kepada status dirinya kini.
Sepanjang tahun lalu, kisah rumah tangga pelakon yang mendadak popular menerusi drama bersiri Puteri itu hangat dibongkar. Semua hal kain dalam dia dan isteri, Intan Shahira Mohd. Shahru serta keluarga dilaporkan oleh media. Paling tragis, perkahwinan mereka berkecai selepas tiga bulan berbanding cinta yang dibina selama sembilan tahun.
Memalukan juga apabila perkahwinan mereka ditentang oleh kasta keluarga mertua kerana Beego dianggap tidak berpendidikan kerana hanya lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Bekas isterinya kemudian mendedahkan dia terpaksa berhutang lebih RM70,000 untuk majlis persandingan mereka selain mengambil suntikan mencegah hamil kerana enggan memiliki zuriat daripada Beego.
Sehingga begitu sekali tragis kisah peribadi pelakon berusia 29 tahun itu yang kemudian memaksa dia melupakan dunia lakonan buat seketika. Lapan bulan menyepi, Beego kini kembali dengan semangat baru. Semangat yang dikutip daripada serpihan hatinya yang sudah berkecai.
"Ini lakonan pertama saya selepas lama menyepi. Drama siri Cuci Cuci Services ialah produksi milik Hans Isaac, yang diarahkan Harun Salim Bachik. Rindu juga nak kembali berlakon," katanya merujuk kepada drama lakonannya itu.
Sepanjang kami berbicara tentang masa silamnya, Beego sedaya upaya mengumpul kekuatan diri.
"Saya seperti mengebom diri sendiri apabila melafazkan cerai demi kebahagiaan kami berdua. Ini dugaan terbesar dalam hidup saya. Saya tak pernah bayangkan cinta pertama yang saya pupuk selama sembilan tahun, kemudian kami berkahwin dan saya sangkakan berpanjangan, tidak menjadi," katanya pasrah.
Berkelana lapan bulan
Kesan daripada tragedi perkahwinan yang dilaluinya, Beego mengaku hatinya trauma. Selama lapan bulan dia mengurung diri, mencari dan cuba mencantum semula serpihan hatinya yang hancur.
Maka berkelana dia ke Thailand, Singapura, Johor Bahru dan sekejap-sekejap di Kuala Lumpur untuk menenangkan hati. Semua tawaran lakonan yang datang ditolak mentah-mentah kerana dia berasa tidak mampu memberi komitmen terhadap kerja. Dia seperti telah mati.
Tetapi akhirnya dia sedar, sampai bila dia mahu menyeksa diri. Dia juga mempunyai tanggungjawab terhadap diri sendiri dan keluarga. Yang penting, wang tabungan juga habis digunakan sepanjang tempoh lapan bulan dia mengasingkan diri daripada dunia realiti.
"Itu antara sebab saya berlakon semula. Betul, saya tak mahu tipu. Semua wang tabungan saya habis digunakan sepanjang lapan bulan tidak bekerja. Dan saya juga fikir, sampai bila saya ingin ikutkan perasaan?
"Saya tahu, dugaan ini ada hikmah. Jadi saya harus bangkit. Ya, saya kecewa dan masih berasa sakit hati, tapi jika saya tidak menolong diri sendiri untuk bangkit, tiada orang yang mampu membantu saya," luahnya.
|
|
Mengakui payah untuk keluar daripada kepompong zon sendiri, kata Beego, antara sebab dia mengurung diri selama lapan bulan itu adalah untuk mengelak daripada bertemu dengan orang yang akan meluahkan rasa simpati terhadapnya.
Begitu menghargai sokongan dan doa semua pihak, tapi kata Beego, hatinya akan cepat luluh jika dia bertemu dengan 10 orang yang akan menyuruhnya bersabar.
Jelasnya: "Saya tahu banyak orang yang simpati dan berdoa untuk saya. Tapi saya tidak boleh menghadapi situasi itu pada waktu itu kerana hati saya akan tersentuh bila mengenangkan cinta pertama saya yang kecundang."
Meranapkan kehidupan
Kata orang lama, seorang wanita boleh membuat seorang lelaki berjaya. Tetapi seorang perempuan juga boleh meranapkan kehidupan seorang lelaki.
Saat bidalan itu saya ajukan kepada Beego, dia hanya tersenyum.
Dengan yakin dia menjawab. Perasaannya terhadap wanita masih sama.
Naluri lelakinya masih inginkan wanita.
"Walaupun dikecewakan seorang wanita, saya tak sanggup nak tukar selera jadi homoseksual," katanya berjenaka. Dengan rasional pula dia menyambung bahawa apa yang terjadi antara dia dan Intan tidak membuatkan dia memusuhi wanita.
Enggan membohongi diri sendiri, kata Beego, perasaan cintanya terhadap Intan masih menebal. Datanglah sejuta wanita secantik bidadari pun selepas ini, kunci hatinya masih ada pada bekas isteri.
"Kalau ada jodoh antara kami, Insya-Allah tidak ke mana. Malah saya masih tidak terfikir untuk keluar atau menjalin hubungan dengan perempuan lain. Tapi buat masa ini, saya hilang dalam perasaan sendiri," akuinya.
Kita semua makan nasi
Mahu bangkit dan terbang bebas semula mencari arah tuju hidupnya, kata Beego, dia kini bersedia untuk kembali ke lokasi.
"Alhamdulillah, biarpun saya berehat panjang, masih ramai yang tidak lupa untuk memanggil saya berlakon. Hari ini, saya sudah bersedia untuk kembali memberi komitmen terhadap kerjaya saya," katanya penuh optimis.
Sebelum pulang, saya minta Beego mengulas tentang isu kasta antara dunia artis dengan profesional kolar putih. Dia senyum sebelum melontarkan satu persepsi yang begitu rasional.
Katanya: "Semua manusia ini sama. Kita semua makan nasi. Bukannya golongan artis makan nasi, dan golongan kolar putih makan berlian.
"Biarlah apa orang nak cakap, sejak dulu dunia artis memang selalu dipandang hina.
"Tapi kami golongan artis tahu martabat dan fokus kami. Saya pun tak ada dendam dengan sesiapa yang memandang rendah pekerjaan kami kerana saya percaya, setiap manusia di sisi Tuhan adalah sama."
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: