Sunday, March 22, 2009

Menangis lihat kepala rakan pecah kepala rakan pecah

Dari ketua kumpulan mat rempit Kuala Lumpur menjadi usahawan berjaya








PARUT yang masih berbekas pada kaki kanan Nur Azman.


NUR Azman Makmur, 30, kelihatan seperti seorang yang pendiam serta merendah diri. Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Otai G10 yang mengendalikan perniagaan gerai burger ini berasal dari Hutan Melintang, Perak.

Dia telah berkahwin dan mempunyai dua orang anak. Namun sisi gelap hidupnya dahulu sebagai ketua geng mat rempit di Kuala Lumpur masih segar dalam ingatannya.

"Andainya putaran masa itu dapat dikembalikan, saya akan lebih menghargai hidup. Apa gunanya hidup bergelumang dengan dosa dan noda," katanya sedih.

Semasa hebat merempit dahulu, Azman mempunyai kira-kira 1,000 pengikut. Aksi wheelie, mencuri, wanita dan bergaduh menjadi mainannya saban malam.

"Semuanya bermula di kampung halaman saya di Hutan Melintang, Perak. Mulanya saya berlumba bersama rakan sekolah menggunakan basikal BMX.

"Saya berlumba bersama rakan-rakan dan mula berjinak dengan aktiviti perjudian.

"Saya bertaruh dengan rakan-rakan bermula dengan wang pertaruhan 50 sen sehingga mencecah ratusan ringgit.

"Malah saya mencuri basikal BMX milik rakan-rakan Cina bagi mencari bahagian basikal seperti tayar, roda dan pemegang.

"Jika tidak puas hati, kami bergaduh. Menang atau kalah belakang kira," ujarnya.

Azman lebih terdedah dengan dunia mat motor (kini dikenali mat rempit) kerana bapa saudaranya, Din Majid, merupakan seorang mat rempit.

"Siapa tidak kenal dengan Din Majid. Di Jambatan Batu Lima (Teluk Intan - kawasan lumba haram) saya sering melihat dia menjuarai lumba haram," katanya.

Azman kemudian menyambung pelajaran dengan mengambil kursus membaiki kenderaan di sebuah sekolah menengah teknik di ibu kota.

Sebaik sahaja tamat persekolahan, dia bekerja sebagai mekanik di sebuah bengkel membaiki kenderaan di Batu Caves, Selangor sehinggalah mampu memiliki motosikal RXZ sendiri.

"Saya teruja untuk menjadikan motosikal lebih laju dan mula terlibat dengan kegiatan lumba haram.

"Jika tiada duit, saya curi minyak motosikal dan kereta dengan menyedut menggunakan paip kecil.

"Malah curi part (bahagian) motosikal perkara biasa. Kadang-kadang saya curi motor untuk mengambil bahagian tertentu terutama enjin untuk menjadikan motosikal RXZ saya lebih laju.

"Aksi terbang perkara wajib. Tengok, gigi saya pun dah rongak kerana selalu sangat 'cium' jalan dan luka sampai kulit paha digunakan untuk tampal bahagian kaki yang luka," katanya sambil menunjukkan bekas parut di kaki serta badannya.

Kebiasaannya Azman akan berlumba di Lebuh Raya Karak, Jalan Wahyu, Kepong, Jalan Parlimen, Semantan, Subang, Damansara, Jalan Travers dan Menara Dayabumi.

Kumpulannya akan bertaruh siapa yang menang perlumbaan akan mendapat RM500 dan sekiranya kalah perlumbaan boleh diulangi semula hingga mencecah RM5,000.

"Jika tidak puas hati lagi, tawar motosikal sendiri. Jika tipu dan cuba lari, motosikal akan dibakar.

"Mat rempit biasanya berdarah panas dan pantang dicabar. Jika kita jarang kalah dalam perlumbaan, kita akan mempunyai ramai pengikut.

"Semasa berlumba, kepuasan menjadi keutamaan. Memulas tombol minyak ketika memecut dan melihat orang lain ketinggalan menjadi keutamaan.

"Hidup mahupun mati bukan soal utama kerana kalau kita menang bertaruh, kita boleh mendapat RM5,000.

"Pada satu ketika saya rasa seperti menjadi Raja Mat Rempit Kuala Lumpur dan tidak boleh dikalahkan. Menang sahaja saya bergaduh dan hisap ganja."

Tewas di 'corner kambing'

Azman mengakui dia sangat sukar ditahan pihak berkuasa. Namun peristiwa pada Jun 1998 masih segar dalam ingatannya.

"Ketika itu kawasan perkelahan Ulu Yam menjadi 'port' popular mat rempit berlumba.

"Selekoh paling terkenal ialah 'corner kambing'. Saya ditahan pihak polis ketika melalui kawasan itu.

"Laluan menuju ke 'corner kambing' di Ulu Yam ditutup dengan dua buah lori. Saya dikejar polis dan kemudian keluar empat orang polis yang berpakaian biasa.

"Saya cuba melepaskan diri tetapi dipukul pada bahagian belakang menyebabkan saya terjatuh. Anggota polis itu terus menggari saya," katanya.

Azman kemudian ditahan di lokap polis di Rawang sebelum dijamin keluar dengan wang jaminan sebanyak RM2,000. Pengalaman tidur lokap itu melembutkan hatinya.

Tidak lama selepas itu dia menubuhkan kumpulan mat motor Team Shell kerana anggota kumpulan itu selalu melepak di stesen minyak Shell Taman Bidara di Selayang, Selangor.

Namun kini ia dikenali sebagai Republic of Team Shell (ROTS) dan aktiviti kelab itu tertumpu kepada aktiviti kemasyarakatan.

Keinsafan mula terbit dalam diri Azman terutama apabila mengenangkan apa yang telah dilaluinya.

"Saya memangku sendiri kepala rakan saya yang berlumuran darah semasa kami membuat konvoi ke Teluk Batik, Perak.

"Rakan saya itu menunggang pada kelajuan 240 kilometer sejam. Ketika melalui selekoh tajam, dia berlanggar dengan sebatang tiang elektrik.

"Itulah kali pertama saya menangis. Malu ketua mat rempit menangis tetapi itulah hakikatnya.

"Sepatutnya saya yang mati kerana mendahului semasa berlumba dengannya tetapi kerana terlalu laju, penutup kepala helmet saya terangkat membolehkan dia memotong.

"Selain itu, pengalaman bapa saudara yang dibuang daerah, ibu saya yang sakit teruk dan keinginan diri sendiri untuk berubah sebelum berkahwin menjadi antara punca saya tidak sanggup meneruskan kehidupan sebagai mat rempit," katanya.

Selepas berhenti bekerja dibengkel, Azman membuka sebuah kedai burger di Metro Prima, Kepong, Selangor.

Kini beliau memiliki lima cawangan gerai burger di sekitar Lembah Klang yang bernaung di bawah syarikat Otai G10.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: