"Kami tahu apa yang kami lakukan. Selagi kami pakai baju, saya rasa tak salah. Lagipun seperti yang dah saya nyatakan, kami hanya ingin bercakap, bukannya bercium" - JOHAN
|
|
AKSI mesra pengacara dan pelakon Johan atau nama sebenarnya, Mohd. Yazid Lim Mohammad Aziz bersama pasangannya, Ozlynn Waty, kini semakin menjadi bahan bualan orang ramai.
Pasangan itu didakwa gemar membuat 'wayang percuma' dan menimbulkan rasa meluat orang yang menyaksikan adegan kurang sopan mereka itu.
Aksi selamba yang dikatakan sengaja dipertontonkan itu juga semakin banyak mengundang tanggapan negatif terhadap pengacara rancangan Raja Lawak Astro itu.
SensasiBintang: Mengenai kontroversi yang semakin hangat diperkatakan antara anda dan Ozlynn, boleh jelaskan kesahihan cerita tersebut?
JOHAN: Kami tidak berniat untuk mempertontonkan aksi tersebut di depan khalayak. Kami cuma berbisik dan bukan bercium seperti yang didakwa.
Tapi gambar yang disiarkan menunjukkan anda memang bercium dan berpeluk dengan Ozlynn?
Ingin saya jelaskan di sini, gambar dan artikel yang dikeluarkan adalah berbeza.
Maksudnya?
Saya memang ada peluk dia (Ozlynn), tapi bukan pada malam persembahan Gelanggang Akhir Raja Lawak baru-baru ini. Gambar dalam artikel itu merujuk kepada aksi kami di pusat boling, dan bukannya pada malam itu. Saya ada saksi. Kalau mahukan kepastian, tanya pak cik saya, Zaibo.
Dia turut bersama saya ketika bertemu dengan Ozlynn. Takkan saya nak peluk dia depan pak cik saya. Cuma yang saya tahu, ada pihak yang sengaja memburuk-burukkan kami.
Selepas gambar itu disiarkan media, apa kata keluarga anda?
Saya dah terangkan pada mereka apa sebenarnya yang terjadi pada malam itu. Jadi keluarga saya faham dan nasihatkan saya supaya jadikan ia sebagai satu pengajaran.
Kalian ada mengatakan akan mendirikan rumah tangga sekitar bulan Jun. Dengan insiden ini, adakah kalian akan berkahwin dalam masa terdekat?
Kami memang akan berkahwin. Sebelum kejadian ini pun memang kami ada merancang untuk berkahwin dalam bulan Jun. Cuma tahun saja kami belum putuskan bila.
Bagaimana reaksi Ozlynn ketika dia tahu tentang berita ini?
Dia dah boleh agak apa yang wartawan akan tulis. Jadi bila kami baca artikel itu, dia cuma tersenyum dan tak kisah dengan apa yang orang nak cakap.
Dia tak kisah dengan tanggapan negatif orang terhadap dirinya?
Ozlynn dah cakap pada saya dia tak ada masalah dengan perkara itu. Lagipun kami tahu apa yang kami lakukan. Selagi kami pakai baju, saya rasa tak salah. Lagipun seperti yang dah saya nyatakan, kami hanya ingin bercakap, bukannya bercium.
Anda dah jadi seorang public figure, tapi kenapa masih nak berkelakuan macam itu?
Saya tak boleh tutup mulut orang. Yang buruk orang mesti nak cepat tahu. Bagi mereka yang dah lihat aksi kami, pastikan dulu kebenarannya. Bukan dengan mendengar daripada mulut orang dan membuat kesimpulan sendiri. Kami ada alasan kukuh kenapa kami berbuat demikian.
Tentang tanggapan peminat terhadap anda, adakah anda sudah bersedia menghadapinya?
Saya harap peminat akan terus menyokong karier saya dan bukannya peribadi saya. Apa yang terjadi adalah peribadi saya. Saya tak nak ia dikaitkan dengan kerjaya saya. Ia terlalu peribadi.
Bila dah jadi macam ini, apa tindakan anda selanjutnya?
Saya akan lebih berhati-hati selepas ini dan ambil ia sebagai satu pengajaran. Saya takkan ambil tindakan ke atas mana-mana pihak kerana saya percaya kebenaran akan berpihak pada saya sama ada cepat atau lambat.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: