Monday, March 23, 2009

'Kami berpisah cara baik'

Jodoh Atilia dan Ariff berakhir Januari lalu

"PERHUBUNGAN sesetengah daripada kita memang lebih baik berlangsung sebagai rakan saja, berbanding ikatan suami-isteri," kata penyanyi Raja Putri Atilia Raja Haron membuka bicara pada petang Khamis lalu.

Ungkapan yang ringkas, tetapi cukup bermakna. Apa tidaknya, keadaan itu sendiri kini dilaluinya apabila perhubungan bersama bekas suami, Ariff Johan Abdul Jalil, dilihat cukup baik apabila mereka tidak lagi bergelar suami dan isteri. Sehingga hari ini, mereka tetap berhubungan dan keluar makan bersama.

"Malah, sekiranya saya terpaksa meninggalkan rumah kerana memenuhi undangan nyanyian, dialah yang datang memberi makan pada kucing," katanya.

Selepas sedekad membina rumah tangga, penyanyi itu pasrah apabila jodohnya bersama penerbit di agensi pengiklanan itu terhenti pada Januari lalu, setelah dia menerima pengesahan gugurnya lafaz cerai Ariff. Dia dan Ariff dinikahkan pada 18 Disember 1998 selepas beberapa bulan berkenalan.

Cerita mengenai perpisahannya itu disiarkan Melodi dua minggu lalu. Atilia sendiri membawa diri seketika ke Singapura sewaktu tersiarnya cerita berkenaan kerana dia berasakan lebih baik dirinya mendiamkan diri daripada mengulas pelbagai persoalan yang menyusul kemudiannya.

Begitupun, katanya, dia membuka mulut kepada Hip kerana bimbang peminat akan keliru sekiranya melihat Ariff bersama wanita lain, begitu juga sekiranya mereka terserempak dirinya bersama lelaki lain.

"Kami berpisah dengan cara yang baik. Tidak ada permusuhan antara kami. Sesudah sepuluh tahun hidup bersama, tentunya ia keputusan yang sukar dibuat. Begitupun, inilah jalan terbaik untuk kami berdua walaupun amat susah hendak ditelan," cerita Atilia.

Katanya, sudah setahun setengah dia dan bekas suami tidak tinggal bersama, sebelum membuat keputusan memfailkan perceraian kira-kira setahun yang lalu.

"Namun, kes perceraian kami nampaknya agak lambat diselesaikan dek pelbagai halangan yang tiba. Semuanya hanya selesai Januari lalu, apabila lafaz cerai talak satu itu disahkan mahkamah," kata penyanyi Sangkar ini.

Menurut wanita berusia 35 tahun ini, pada malam keputusan hendak diumumkan, dia dan Ariff masih lagi keluar makan bersama. Kedua-duanya amat sedih dengan berita yang bakal mereka terima keesokannya. Tetapi, kerana mengerti itulah jalan keluar terbaik untuk kedua-duanya, mereka akur dengan perpisahan yang dipinta.

"Ariff seorang lelaki yang baik. Dia menyertai program Sehati Berdansa semata-mata kerana ingin membantu saya menapak lebih kukuh dalam dunia seni. Ketika itu, perhubungan kami sebenarnya tidak lagi seperti dulu. Begitupun, dia sanggup menahan malu menari di depan orang ramai hanya kerana ingin menolong saya dalam dunia seni," dedah Atilia.

Ditanya apakah kehadiran orang ketiga menjadi punca keretakan rumah tangganya, penyanyi ini enggan memberikan jawapan jelas pada soalan itu.

"Saya tidak menyalahkan sesiapa dalam hal ini. Mungkin saya sendiri menjadi sebahagian daripada sebab mengapa mahligai kami hanya bertahan selama 10 tahun. Semua orang tahu saya seorang penyanyi yang sibuk sejak akhir-akhir ini. Dia juga sibuk dengan tugasnya. Ada masa dia perlu meninggalkan rumah berminggu-minggu lama.

"Kami pula tidak dikurniakan cahaya mata sepanjang bergelar suami dan isteri. Mungkin keadaannya sedikit berbeza sekiranya rumah tangga kami diserikan kehadiran anak-anak," kata wanita ini sambil memberitahu, mereka berdua sempat meraikan ulang tahun ke-10 perkahwinan sebelum berpisah secara rasmi.

Atilia memberitahu, benaknya kini agak tenang apabila tidak lagi perlu memikirkan perkara yang bukan-bukan.

"Apa perasaan saya ketika ini? Saya akui, saya amat merinduinya. Tetapi, pada masa yang sama saya berasa bebas untuk melakukan apa saja.

"Untuk mencari pengganti, bukanlah perkara yang mudah walaupun keinginan untuk hidup berdua-duaan itu tidak saya nafikan ada dalam diri. Saya sudah biasa mempunyai seseorang di sisi. Bagaimanapun, saya kenalah tengok dulu bagaimana keadaannya nanti.

"Saya sudah agak berusia dan saya juga mahukan keluarga serta anak-anak sendiri. Sebelum mempunyai anak, saya perlulah mempunyai suami. Jadi, dalam masa dua atau tiga tahun ini sajalah peluang terbaik untuk saya mempunyai insan bergelar suami, seterusnya memperoleh cahaya mata sendiri," katanya.

Jelas Atilia, bukannya tidak ada lelaki yang cuba mengetuk pintu hatinya ketika ini. Namun, dia berasakan jodoh keduanya belum lagi menampakkan diri.

"Saya bukanlah terlalu memilih, tetapi sekiranya saya ditemukan jodoh sekali lagi, biarlah lelaki itu seorang yang baik hati, amat memahami serta mampu membimbing saya ke jalan yang lebih baik. Asalkan dia bukan milik wanita lain, saya rasa tidak ada halangan untuk saya menerima lelaki itu nanti," katanya.

Mengenai penerimaan ibunya, penyanyi veteran Salamiah Hassan terhadap berita perpisahannya, Atilia berkata, ibunya sentiasa memberikan sokongan asalkan dia bahagia dengan apa yang dilakukannya.

Melupakan seketika kisah peribadi, Atilia memberitahu, dia akan menjadi artis pembuka tirai buat penghibur antarabangsa, Jamiroquai, pada 5 April ini apabila penyanyi itu mengadakan persembahan di F1 Sepang. Pada Sabtu lalu, dia menyanyi bersama kumpulan Indonesia, Malique N D'Essentials, pada pesta muzik Sunburst di Kuala Lumpur.

Pada ketika yang sama, Atilia juga berusaha keras menyiapkan album solo studio keduanya, manakala pada April nanti, dia bakal muncul sebagai juri tetap rancangan realiti siaran TV9, O la la.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: