Rosyam Nor |
CIK Normah tabik dengan kesungguhan aktor berwibawa, Rosyam Nor yang begitu komited untuk membangunkan industri lakonan. Ketika hanya stesen televisyen berani menyediakan peruntukan besar untuk menerbitkan program realiti, Rosyam pula menyahut cabaran dengan memperkenalkan Pilih Kasih.
Program yang bakal disiarkan TV2 itu akan mencungkil bakat baru dunia lakonan, di mana 20 peserta terpilih bakal membintangi dua drama pendek arahan Along Kamaludin dan Amy Maziah.
Mereka juga akan menerima pendedahan membintangi pementasan muzikal arahan Eirma Fatima, sebelum lima terbaik dipilih untuk membintangi filem terbaru arahan Bade, Kekasih.
Cabaran itu diambil kerana Rosyam melihat industri drama dan filem tempatan sedang pesat berkembang, malangnya kita ketandusan bakat baru untuk diperkenalkan kepada khalayak.
Balik-balik wajah yang sama hingga menimbulkan rungutan penonton. Rosyam ingin usaha itu akan melahirkan lebih ramai pelapis menggantikan pelakon sedia ada malah meneruskan lagi kegemilangan era perfileman Melayu.
Daripada apa yang Cik Normah tahu, lapan lokasi sudah dikenal pasti untuk peserta mengetengahkan bakat mereka iaitu Jaya Jusco Bukit Indah, Taman Perling, Johor Bahru (11 April), Seremban (12 April), KB Mall, Kota Bharu (18 April), Berjaya Megamall Kuantan (19 April).
Uji bakat juga diadakan di One Borneo, Kota Kinabalu (25 dan 26 April), Queensbay Mall, Pulau Pinang (2 Mei), Plaza Alam Sentral, Shah Alam (3 Mei) dan The Spring, Kuching (9 dan 10 Mei).
Sidang media mengenai program itu akan diadakan pada 1 April ini untuk memperjelaskan konsep dan perjalanan keseluruhan rancangan realiti itu.
Cik Normah puji kerana Rosyam berani menggalas cabaran besar ini biarpun program ini lahir ketika dunia berdepan kegawatan ekonomi. Dengan adanya insan seperti Rosyam, Cik Normah berharap jejak langkahnya akan diikuti sekali gus mempersiapkan penggiat seni tempatan untuk menempuh era baru industri hiburan.
Cik Normah sendiri sudah jemu dan jelak mendengar serta membaca cerita kosong yang tidak membantu industri. Cara mereka seolah industri hiburan ini terlalu busuk dan dipenuhi orang yang tidak berwawasan sedangkan masih ramai lagi yang serius untuk mengangkat maruah serta martabat dunia seni. Fikirlah!!!
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: