DIANA tidak dapat menahan air mata apabila terpaksa berpisah dengan ibunya. |
Diana Danielle berehat selama tiga bulan daripada dunia seni kerana mengikuti Program Latihan Khidmat Negara
PADA wajahnya bagai ada seribu perasaan yang bercampur baur. Sebahagiannya menampakkan kegembiraan apabila dapat mengikuti Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) yang bermula hujung minggu lalu di Kem Princess Haliza, Sepang, Selangor.
Di sudut lain, pelakon berusia 17 tahun kelahiran Houston, Texas, Amerika Syarikat ini nampak cukup sedih. Amat difahami kerana dia tidak pernah berenggang dengan ibu tercinta, Norsiah Ramli.
Paling lama mereka pernah berpisah pun, pada tahun lalu, apabila pelakon siri Janji Diana ini mengikuti kem musim panas anjuran sekolahnya, selama dua hari.
"Tengoklah, belum apa-apa lagi masing-masing sudah menangis mengenangkan berapa lama kami akan berpisah. Saya sendiri tidak dapat membayangkan bagaimana saya boleh melalui beberapa hari akan datang tanpanya," kata Norsiah yang berjanji akan melawat anak perempuan tunggalnya itu pada setiap hujung minggu.
Seawal jam 10 pagi, dua beranak itu yang disertai keluarga angkat mereka sudah berada di perkarangan tempat letak kereta Stadium Nasional Bukit Jalil. Bagaimanapun sesi pendaftaran hanyalah bermula kira-kira jam 12.30 tengah hari.
Diana Danielle |
Kira-kira jam 2 petang, pelakon cantik yang pernah menghangatkan dada akhbar dengan kisah cintanya itu terpaksa mengucapkan selamat tinggal kepada Norsiah apabila bas yang membawa kira-kira 40 remaja ke kem yang sama mula bertolak.
Selain Diana, ratusan remaja lain turut mendaftarkan diri untuk mengikuti program berkenaan di beberapa kem seluruh negara pada hari terbabit.
Sebelum itu aktres muda berkenaan sempat memberitahu, dalam hatinya dia berasa agak ‘takut’ kerana tidak mempunyai sebarang pengalaman dalam kem latihan sedemikian. Lebih-lebih lagi ia akan dilangsungkan bagi satu tempoh waktu yang panjang.
Begitupun dia sanggup mengharungi semua cabaran yang disediakan di kem terbabit, demi membuktikan dia juga remaja yang mampu menempuh segala kepayahan dan kesukaran untuk bergelar rakyat yang mempunyai jati diri.
"Apa yang tidak sanggup saya lalui cumalah kerinduan kepada Mama yang selama ini sentiasa berada di sisi. Saya juga pasti merindui masakannya," kata Diana yang pada awalnya berharap dia dapat menyertai kem di Sarawak.
‘Bersara’ seketika daripada dunia seni, pelakon itu berkata, dia menolak tujuh tawaran berlakon filem dan drama semata-mata untuk menyertai PLKN.
Maklumlah, sebelum ini Diana pernah mencetuskan kontroversi apabila dia gagal mendaftarkan diri pada PLKN Kumpulan 1 siri 6 Tahun 2009 yang bermula hujung Disember tahun lalu.
Pelakon itu dikatakan menangguhkan pembabitannya dalam program berkenaan kerana terikat dengan kontrak lakonan filem Kecoh Betul. Jabatan Latihan Khidmat Negara pula dilaporkan berkata, penangguhan itu dibenarkan atas alasan 'kesusahan luar biasa'.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: