Sunday, March 22, 2009

Ashraf - Bunga Tak mahu buru-buru




MEREKA sedang meniti hari-hari bahagia yang jlas terpancar di wajah masing-masing. Juga pada lirikan mata dan sentuhan. Mungkin sahaja manis bulan madu masih terasa.

Sementelah baru beberapa bulan mendirikan rumah tangga, pasti sahaja melayari bahtera bersama memberikan satu kebahagiaan yang tak mampu diungkapkan.

Kalau dulu selama setahun setengah bercinta, masing-masing terpaksa berjauhan - seorang di Kuala Lumpur dan seorang lagi di Jakarta, kini sepanjang masa bersama. Rindu dendam membara kini sudah ada di depan mata.

Biar masing-masing mengakui masih cuba menyesuaikan diri hidup bersama sebagai suami isteri selepas diijabkabulkan awal November lepas namun bagi Ashraf Sinclair dan Bunga Citra Lestari, ia satu proses yang amat mengujakan.

Asyik sekali Ashraf dan Bunga bercerita tentang pelayaran bahtera rumah tangga mereka saat bertemu Pancaindera, tengah hari Selasa lalu.

Apalagi baru-baru ini mereka telah berpindah ke kediaman sendiri di kawasan Kemang, Jakarta Selatan, memberikan mereka ruang sendiri untuk melayari kehidupan berdua berbanding sebelum ini kerana kedua-duanya tinggal di rumah keluarga Bunga.

“Ia satu pengalaman yang menyeronokkan. Satu perasaan yang sungguh berbeza,” ujar keduanya sambil tersenyum bahagia.

Ternyata, perkahwinan yang sedang dilalui merupakan impian yang menjadi kenyataan. Lalu, tidak hairanlah andai Ashraf dan Bunga amat berbangga dan menghargai kehadiran masing-masing yang dianggap mereka melengkapi antara satu sama lain.

Ashraf sendiri berkali-kali menyatakan rasa bertuahnya kerana memiliki seorang isteri yang bukan sahaja cantik tetapi juga sangat memahami.

Bunga pula menganggap sikap berbeza mereka - Ashraf seorang yang pendiam dan dia pula jenis berterus terang membuatkan hubungan keduanya jadi sebegitu lengkap.

Ketidaksempurnaan itu mengimbangkan mereka dalam melayari kehidupan, kata Ashraf dan Bunga yang berada di Kuala Lumpur untuk mempromosikan filem lakonan mereka, Saus Kacang yang kini sedang ditayangkan di negara sejak 19 Mac lalu.

“Kami sedang menjalani sesuatu yang baru dan mencabar kemampuan diri dan ia sungguh menyeronokkan,” tambah Bunga.

Ashraf yang kini telah lebih sembilan bulan bermastautin di Jakarta sejak sebelum mendirikan rumah tangga ternyata sedang mengecapi waktu-waktu indah dalam kehidupan dan kerjaya.

Masakan tidak, bukan sahaja memiliki seorang isteri yang cantik dan menyayangi dirinya, kerjayanya di tanah seberang juga sedang berada di kemuncak.

Mengikat kontrak berlakon 200 episod sinetron Indonesia, Ashraf juga baru sahaja menghabiskan penggambaran sebuah filem baru, The Real Pochong.

Sememangnya, jadual kerjanya yang padat membuatkan dirinya perlu mengaturkan masa untuk bertemu isteri tercinta.

Bunga yang baru selesai siri jelajah mempromosikan album keduanya ternyata harus selalu berada di luar kota bertemu peminat selama sebulan yang lalu.

Nasib baik sahaja keduanya memilih untuk diuruskan pengurus yang sama memberikan peluang dan ruang kepada mereka untuk mengatur jadual cuti sama.

Jadi ujar Ashraf, sudah tentu dengan masa yang begitu terhad membuatkan mereka jadi amat menghargai setiap detik waktu bersama.

Malah beritahu anak kacukan Melayu-Inggeris itu, adakalanya waktu-waktu promosi dijadikan waktu untuk santai bersama bagi melepaskan kerinduan.

“Adakalanya Bunga juga datang ke lokasi penggambaran menemani saya. Saya juga selalu ikut Bunga jelajah jika mempunyai kesempatan.

“Tapi jika ada peluang masa rehat bersama lebih tiga atau empat hari, kami suka berlibur di luar kota. Selalunya kami ke Bali atau kota-kota sekitar rantau ini,” ujar Ashraf yang sedang merancang untuk ke Bangkok minggu depan selepas selesai mempromosikan Saus Kacang dan album Bunga di negara ini.

- Bergaduh

Sedangkan lidah lagi tergigit, ini pula suami isteri dan seperti pasangan suami isteri yang lain, dalam enak melayari kehidupan berdua, pasti adakalanya berbalah juga terutama dalam melontarkan pandangan masing-masing.

Begitu juga pasangan ini. Mereka tidak lari daripada menghadapi lumrah itu malah Bunga tidak menafikan hal sedemikian berlaku dalam kehidupan rumah tangganya bersama Ashraf.

Kerana sudah menjadi resam hidup berdua, pasti ada hal-hal yang membawa kepada pertengkaran namun tegas Bunga, mereka sudah cukup matang untuk menghadapinya.

Malah bagi gadis manis ini, soal bertengkar dan berbalah suami isteri merupakan satu keperluan untuk melayari rumah tangga terutama bagi mereka yang baru berkahwin kerana ia satu proses berguna untuk lebih mengenali dan mempelajari tentang diri masing-masing.

“Ashraf seorang pendiam. Berbeza dengan saya yang suka bercakap berterus terang. Jadi dia perlu meluahkan. Kalau berbalah, sekurang-kurangnya dia meluahkan rasanya.

“Dan lebih penting, kalau bertengkar, kita berbincang sahaja tentang topik sebenar, bukan melibatkan hal-hal remeh temeh.

“Dalam hal kami, kami beruntung kerana kurang bergaduh. Mungkin kurang dapat meluangkan masa berdua membuatkan kami lebih menghargai setiap masa yang ada untuk dinikmati bersama.

“Sebab kedua-duanya pun sibuk dengan kerjaya, jadi bila ada masa bersama, kami lebih suka bercakap soal masa depan dan kehidupan kami. Kami benar-benar menikmatinya.

“Lagipun buat apa bertengkar. Kami jarang dapat meluangkan masa bersama. Ya, enak kali bila bertemu. Waktu bertemu memang waktu-waktu paling berharga buat kami,” ujar Bunga.

- Tidak merancang

Saat ditebak soal anak, keduanya mempunyai jawapan yang sama. Amat menyukai kanak-kanak malah Bunga sendiri mempunyai lima orang anak saudara (daripada sebelah sepupunya).

Dan Bunga sendiri ketawa besar memberitahu bahawa dirinya memang terlalu inginkan kehadiran anak lebih-lebih lagi seorang sepupunya bakal melahirkan anak tidak lama lagi. Malah kedua ibu bapanya, kata Bunga, sudah tidak sabar-sabar lagi mahu menimang cucu sulung.

Bagaimanapun baik Ashraf mahupun Bunga, keduanya lebih senang untuk tidak memikirkan sangat soal yang satu itu dan mahu menikmati hidup berdua buat sementara waktu.

“Kami tidak terburu-buru,” kata mereka. Dan keduanya juga tidak merancang malah sekiranya rezeki itu datang hari ini, kedua-dua mereka mengakui menerima dengan tangan terbuka.

Cuma sebagai pasangan yang baru berkahwin, mereka lebih senang membuat persediaan mental dan fizikal sebelum menerima kehadiran orang baru.

“Kami tidak menunda tetapi kami juga percaya, biarlah ia datang secara natural. Tuhan itu kan lebih tahu apa yang terbaik buat kami.

“Dia akan memberi ketika masanya yang sesuai,” kata Bunga yang mengakui lebih senang memiliki sebuah keluarga yang kecil.

Ashraf dan Bunga juga memberitahu mereka sepakat mahu mempunyai sepasang anak - seorang lelaki dan seorang perempuan.

- Kerinduan

Gembira dapat kembali ke Kuala Lumpur, bukan sahaja untuk mempromosikan filem lakonan mereka, Saus Kacang tetapi juga mengubat kerinduan kepada keluarga dan rakan taulan.

Ya, selepas sembilan bulan menetap di Jakarta, Ashraf mengakui kerinduannya terhadap segala yang ditinggalkan di ibu kota ini.

Paling dirasai tentunya masakan mamak seperti kari yang menjadi makanan kegemaran Ashraf. Ini kerana tidak ada kari yang seenak kari yang dihidangkan di negara ini.

Justeru, kalau pulang ke tanah air, setiap malam dia dan Bunga akan mencari kari mamak, makan roti canai, mi goreng mamak dan nasi lemak.

Menurut Bunga, biarpun boleh memasak masakan mudah seperti sphagetti tetapi dia juga sedang belajar membuat hidangan seperti kari dan gulai rendang.

“Kalau dulu kami tinggal di rumah keluarga saya, ada bibik (orang gaji) yang menyediakan segala kelengkapan dan hidangan.

“Bila sudah ada rumah sendiri kenalah tahu menjaga rumah tangga. Kita ada tanggungjawab. Saya senang sangat dapat tinggal di rumah sendiri bersama Ashraf.

“Ya, kehidupan sekarang bagus. Ada suami yang mengambil tahu. Tapi ketika tour tempoh hari, saya memang sedih kerana harus meninggalkan Ashraf.

“Sebab ketika mempromosikan album pertama dahulu, saya tidak meninggalkan sesiapa. Tapi kali ini kena tinggalkan suami sendiri di rumah,” ujar Bunga.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: