Thursday, March 26, 2009

Interaksi: 'Drama kita keterlaluan'


SENARIO drama di televisyen pada masa kini menyaksikan banyak drama dari luar negara seperti Indonesia, Amerika Syarikat dan Sepanyol ditayangkan.
Biarpun ramai penonton yang menggemari drama asing, ia tidak menghalang produser tempatan untuk menghasilkan drama baru.

Hakikatnya, drama tempatan masih mendapat tempat di hati peminat yang mengharapkan lebih banyak drama baru dan berkualiti.

Kemunculan drama baru bukan hanya memeriahkan perkembangan drama tempatan, tetapi turut memberi peluang dan rezeki kepada pelakon dan kru produksi.

Namun, dalam kerancakan produser tempatan berkarya dengan drama baru, persada hiburan tanah air turut diuji dengan kontroversi apabila produser tempatan lebih ekstrem untuk memaparkan watak dan adegan yang disifatkan lebih berani daripada apa yang pernah dipertontonkan sebelum ini.

Antara yang mencuri tumpuan adalah keberanian produser Sheila Rusly bersama suami, Azman Yahya atau Jinggo menerbitkan dua drama terbaru yang dijangka bakal mengundang kontroversi.

Menerusi drama Mabuk Estrogen, mereka memaparkan adegan 'bercium' dua pelakon lelaki.

Begitu juga dengan drama Donut yang ingin mengangkat kisah homoseksual yang dibawa seorang pelakon lelaki melakonkan watak pondan yang lengkap berpakaian wanita.

Walaupun mereka positif dalam menyelitkan mesej pengajaran dalam dua drama ini, namun segelintir pihak berpandangan drama terbabit mampu menggalakkan perbuatan tidak bermoral yang menjurus pada masalah sosial masyarakat.

Wartawan Rap, menemu bual pakar motivasi, Profesor Izzi Ali untuk mendapatkan pandangan beliau.

Profesor Izzi, yang sebelum ini popular menerusi segmen tazkirah di stesen radio Hot FM, berpengalaman selama 17 tahun sebagai pakar motivasi.



Pernah menimba pengalaman selama enam tahun menetap di Amerika Syarikat (AS) ketika menuntut Sarjana dan Ijazah Sarjana Muda Matematik dari California State University, Fresno, beliau juga aktif membabitkan diri dalam pelbagai ceramah motivasi dan menjadi fasilitator untuk pelbagai kursus bina semangat.



Izzi, 45, kini menjawat jawatan pensyarah kanan di Universiti Teknologi Mara (UiTM), cawangan Terengganu.

SOALAN (S): Apa komen anda mengenai perkembangan drama tempatan kini?

JAWAPAN (J):
Saya melihat bermacam jenis drama ditayangkan yang makin menarik perhatian masyarakat untuk menonton.

Bagaimanapun, saya sendiri sebagai penonton bimbang apabila memikirkan impak drama tempatan sebenarnya turut memberi kesan negatif pada penonton.

Apa yang saya lihat, kebanyakan drama kita keterlaluan dari aspek apa yang ingin dipaparkan pada penonton.

Jika produser itu berfikir mahu paparkan masalah sosial atau perlakuan negatif, mereka lebih suka menyampaikan mesej itu secara perlakuan.

Atas alasan itu, pelakon yang terbabit dalam drama itu berani menunjukkan penampilan menjolok mata atau aksi kurang sopan seperti berpelukan, melawan ibu bapa atau remaja yang terjebak dengan masalah sosial hingga tidak tahu batas pergaulan antara lelaki dan wanita.

Walaupun pada pandangan produser, apa yang dipaparkan hanya lakonan, tetapi hakikatnya penonton yang tidak berfikiran matang seperti remaja mudah terpengaruh atau terikut-ikut untuk mencontohi perlakuan sebegini.

S: Apakah impak negatif dari drama tempatan suatu yang serius untuk diberi perhatian?

J:
Pada saya, lakonan yang difikirkan boleh mengundang impak negatif pada penonton sepatutnya dikurangkan atau lebih baik, ia dielakkan daripada dipertontonkan pada masyarakat.

Bagi penonton dewasa yang sudah matang, mereka faham apabila menonton sesebuah drama itu bukan ikutan, tetapi sekadar hiburan dan pengajaran.

Sebaliknya, kepada golongan muda seperti remaja yang baru kenal kehidupan realiti orang dewasa atau baru hendak belajar bercinta, mereka akan mengambil drama ini sebagai rujukan.

Meskipun saya sendiri faham niat produser adalah baik untuk menyampaikan mesej positif daripada perlakuan negatif, namun jalan cerita yang keterlaluan atau melampau boleh membuatkan penonton terpengaruh.

S: Bagaimana pula dengan kemunculan watak seperti pondan atau gay yang berani dibawa pelakon kita?

J:
Jika dilihat watak sebegini yang dimainkan menerusi drama adalah melampau.

Malah, drama kita makin cenderung untuk mengikut cara drama dari Barat termasuk Indonesia. Makin ramai produser kita suka mengikut cara drama luar negara dalam penerbitan drama mereka.

Andai unsur hasad dengki mahu dipertontonkan, ia menggambarkan watak itu terlalu benci dan mahu membalas dendam pada watak lain.

Begitu juga dengan watak mereka yang menjalinkan hubungan sulit, perlu ada adegan mesra hingga masuk ke dalam bilik.

Saya tidak kisah jika kisah seperti orang tua sanggup berkahwin wanita muda jika benar dia berkemampuan, tetapi pada saya, jika hendak sampaikan mesej pengajaran apa sekalipun ia tidak perlu dibuat secara keterlaluan hingga memaparkan watak atau adegan yang tidak sepatutnya.

Sebenarnya, kita boleh sampaikan mesej secara positif menerusi perkataan atau dialog yang diucapkan pelakon tanpa wajib menyelitkan adegan yang disifatkan keterlaluan.

Sama ada produser mahupun penonton, kita harus fikir dan faham pada tanggungjawab sosial dalam mendidik masyarakat. Antara positif dan negatif, penonton pasti lebih tertarik untuk menyaksikan perkara yang negatif dan akibatnya, ia menjadi ikutan.

Saya faham apabila produser gemar mencipta watak pondan atau gay untuk menarik perhatian penonton menyaksikan drama mereka kerana watak ini diwujudkan berdasarkan kisah yang ingin dikongsi, tetapi seperti yang saya katakan impak pada penonton perlu diberi perhatian.

Jangan sampai penonton berfikir, mereka boleh buat kesilapan atau dosa seperti melawan ibu bapa atau melakukan maksiat dan kemudian meminta maaf pada penghujung cerita.

Itu tidak sepatutnya berlaku dan kita harus tekankan jangan sesekali melakukan perkara negatif kerana ia menjurus pada kehancuran.

S: Apakah pelakon kita boleh membawakan watak kontroversi seperti pondan?

J:
Boleh, tapi pelakuan tidak seharusnya dipaparkan secara keterlaluan. Walaupun produser berniat mahu sampaikan mesej positif pada penonton menerusi watak ini, tetapi ia harus digambarkan secara kreatif. Apa yang membimbangkan saya, unsur Barat yang membawa unsur negatif makin menular ke dalam drama kita dan ini boleh memberi kesan pada penonton.

S: Apakah drama atau filem masih memberi impak kuat dalam mendidik penonton?

J:
Saya fikir drama mahupun filem masih memberi impak kuat pada penonton. Walaupun ada karya tempatan kita yang mengangkat kisah imaginasi sebagai cerita, tetapi sebenarnya ia turut mempengaruhi kehidupan kita. Drama adalah kehidupan masyarakat dan begitu juga sebaliknya. Lalu, apa yang kita gambarkan dalam drama atau filem juga adalah kehidupan masyarakat kita sendiri.

S: Melihat senario drama tempatan bersikap berani, apakah kualiti drama tempatan kita meningkat?

J:
Pada saya, drama tempatan makin matang dari aspek perkembangan dulu hingga kini. Namun, apa yang membuatkan saya bimbang adalah jalan cerita dan mesej yang ingin disampaikan.

Walaupun, apa yang dipaparkan sebenarnya hanya segelintir perkara yang berlaku dalam masyarakat, tetapi ia menjadi kebiasaan pada penonton apabila kerap dijadikan bahan pada drama mahupun filem.

Ketika saya belajar di AS suatu ketika itu, saya menonton drama atau filem dari AS atau Mexico yang menampakkan masyarakat negara mereka tidak matang. Perlu kita ambil tahu, drama sebenarnya turut melambangkan bangsa itu sendiri.

Cuba bayangkan bagaimana masyarakat luar negara apabila menonton drama tempatan kita dan beranggapan adakah kehidupan masyarakat kita juga sama seperti apa yang dipertontonkan. Benarkah golongan korporat atau kehidupan remaja kita mempunyai banyak masalah?

S: Bagaimana dengan tayangan drama luar negara yang banyak memaparkan adegan yang lebih berani?

J:
Tidak dinafikan, drama dari luar negara makin banyak ditayangkan di negara kita. Walaupun penonton kita suka menonton drama luar negara, tetapi ia turut mengeksport gaya hidup yang salah pada masyarakat kita.

Saya berpandangan tayangan drama ini boleh mendatangkan impak negatif pada penonton jika jumlah drama yang ditayangkan tidak dikawal. Jika dulu kita pernah melihat drama yang memaparkan adegan lebih berani diklasifikasi dengan 18SX atau 18SG, tetapi kini ia tidak digunakan lagi.

Stesen TV perlu lebih peka dengan drama luar negara agar ia tidak menjadi penyumbang pada masalah sosial yang lebih kronik. Pelbagai cara dapat kita atasi masalah ini dan jika mahu drama luar negara ditayangkan di negara ini, ia perlu menggunakan klasifikasi yang pernah kita gunakan sebelum ini.

S: Apakah cadangan anda pada produser dan masa depan drama tempatan?

J:
Sepatutnya unsur agama kerap dimasukkan pada drama atau filem sebagai penyampaian mesej yang paling berkesan. Jangan hanya gunakan unsur agama sempena hari tertentu saja seperti Maulidur Rasul.

Selain adegan solat, banyak lagi adegan atau perkara menarik lain yang boleh ditampilkan.

Apa yang boleh dikongsi, bagaimana pendekatan agama dapat membantu seseorang menyelesaikan masalah yang dihadapi. Stesen televisyen atau Lembaga Penapisan Filem (LPF) juga perlu memainkan peranan penting dalam mengawasi drama dan filem kita agar tidak terlalu menjurus pada penyampaian impak negatif. Peranan ini perlu dilakukan awal sebelum ditayangkan pada khalayak.

Saya percaya drama tempatan kita boleh maju jika produser dan penggiat seni kita bijak menggunakan kreativiti yang ada. Tidak perlu paparkan adegan negatif semata-mata mahu beri pengajaran pada penonton. Malah, tidak semestinya drama perlu tonjol watak baik dan jahat.

Saya masih ingat filem hindustan popular, Sangam yang hanya memaparkan watak baik kesemuanya tetapi ia tetap menarik perhatian masyarakat untuk menonton kerana kekuatan cerita dan mesej yang ingin disampaikan. Saya percaya jika drama tempatan kita hanya menggunakan watak baik seperti filem Sangam, ia mampu meraih perhatian penonton.

Saya juga berharap drama tempatan lebih realistik. Tidak perlu pelakon kita pakai bulu mata tebal jika mahu melakonkan adegan tidur. Dalam pada itu, produser perlu lebih menekankan tanggungjawab sosial dalam drama mereka agar penonton mendapat manfaat dari apa yang mereka tonton.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: