Thursday, March 26, 2009

'Tunggu saja kad jemputan'


SELEPAS dua tahun menyulam cinta, penyampai radio Era bersuara manja, Nurul Hana Che Mahazan, 26, atau Nana dikatakan akan mengakhiri zaman daranya pertengahan tahun ini.

Berita mengenai rancangan Nana untuk mendirikan rumah tangga dalam masa terdekat bertambah hangat diperkatakan apabila kekasihnya yang dikenali hampir lima tahun lalu memeluk Islam Januari lalu dan menukar namanya kepada Muhammad Raqeem Brian.

Kini bintang yang mula mencipta nama menerusi program Akademi Fantasia musim pertama (AF1) turut dikatakan sedang sibuk membuat persiapan majlis pernikahannya pada Jun ini.

Bagaimanapun, apabila ditemui untuk sesi fotografi khas, Nana cuba mengelak apabila membicarakan perancangannya untuk berkahwin. Namun, dia tidak keberatan bercerita mengenai hubungan cintanya dengan Pengurus Stesen Radio Hitz.FM itu.

"Saya mengenali Brian sewaktu kami sama-sama menyertai AMP Radio. Bagaimanapun, kami tidak pernah bercakap antara satu sama lain. Walaupun di hati ada perasaan meminatinya, saya hanya pandang dari jauh.

"Maklumlah, Brian kacak dan sering menjadi perhatianmalah dalam AMP Radio sendiri dia ada ramai peminat. Kelakarnya, apabila naik lif bersama kakitangan wanita yang turut bertugas di AMP Radio, saya sering mendengar betapa mereka begitu memuja Brian.

"Sehinggalah suatu hari kami naik lif bersama. Kebetulan saya dan dia baru memakai pendakap gigi. Apabila saling berpandangan, dia menegur dan bertanya.

"Sejak itu kami mula berkawan. Hubungan kami menjadi rapat apabila dia ditukarkan bertugas di Era. Waktu itulah bibit cinta bermula," katanya.

Sebaik cuba 'mengorek' cerita mengenai majlis pernikahan dirancang, personaliti berasal dari Muar, Johor ini cepat mengelak dengan berkata, tunggu saja kad jemputannya sampai tidak lama lagi.

"Insya-Allah, jika tiada aral melintang majlis pernikahan itu akan dilangsungkan tahun ini juga, tetapi kalau boleh saya tidak mahu ia dihebohkan terlebih dulu.



"Perkara ini baru dirancang, bimbang kalau dihebohkan awal-awal nanti tidak menjadi seperti dirancang, keluarga saya dan Brian juga akan mendapat malu. Saya harap semua orang sabar menanti kad jemputan saya," katanya.



Nana turut menegaskan keputusan diambil untuk berkahwin dirasakan sesuai memandangkan usianya kini mencecah 26 tahun sementara Brian hendak masuk 30 tahun.

"Bak kata orang, usia saya tidak terlalu muda dan tidak terlalu tua. Lagipun sudah lama sangat kami berkawan dan rasanya lebih baik kami membuat keputusan baik sekali gus mengelak fitnah," katanya.

Beralih mengenai kerjayanya di Era, tanpa sedar selepas ketiadaan Linda Onn, Nana menjadi penyampai paling senior di stesen nombor satu itu.

"Saya sendiri perasan sampaikan ada penyampai baru seperti Charm dan Ray yang lebih tua berbanding saya, tetapi mereka tetap memanggil saya kakak.

"Walaupun dianggap senior, sebenarnya saya sendiri masih banyak lagi perkara yang perlu dipelajari. Cuma kalau ada perkara yang mereka tanya saya sedia membantu. Pada saya, kejayaan sesebuah organisasi bergantung penuh kepada kerjasama sesama kakitangan," katanya.

Pada waktu sama jelas Nana, dia bersyukur kerana walaupun pernah dikecam sepanjang persembahannya sebagai penyampai radio, masih ada peminat yang mempercayai kemampuannya apabila turut dicalonkan dalam lima senarai Penyampai Radio Wanita Popular di Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2008 (ABPBH08).

"Perkara itu membuatkan saya sangat terharu dan tidak sangka. Terima kasih atas sokongan dan ia menjadikan saya lebih bersemangat untuk memajukan diri.

"Begitupun pada waktu sama, saya berkata kepada keluarga supaya jangan mengundi, biarlah peminat yang menentukan sendiri. Pada saya, sudah tercalon dalam lima popular itu pun sudah dianggap bagus," katanya

Menerusi rancangan Carta Era yang dikendalikan Nana bersama Aznil Nawawi sebelum ini, ia mengalami sedikit perubahan tahun ini apabila pengacara rancangan Brek itu digandingkan dengan penyanyi Dina.

"Saya tidak ada masalah bekerja dengannya kerana Dina juga berbakat dalam bidang pengacaraan dan penyampaian radio. Ketika menjalani latihan, saya nampak Dina sangat tekun dan pada waktu sama dia bijak dan cepat belajar apa-apa yang diterangkan kepadanya.

"Dina juga tidak malu bertanya. Pada saya sebenarnya sebagai penyanyi, apabila Dina menjadi penyampai radio dan mengendalikan Carta Era dia mempunyai kelebihan kerana lebih kenal dunia muzik dan cepat memberikan maklum balas apabila penyanyi jemputan bercerita mengenai muzik mereka secara teknikal.

"Secara tidak langsung rancangan kami kendalikan itu kedengaran seimbang," katanya.

Profil
Nama Penuh: Nurul Hana Che Mahazan
Tarikh lahir: 1 Julai 1983
Asal: Muar, Johor
Keluarga: Anak kedua daripada empat beradik
Kerjaya: Penyampai radio, penyanyi dan pelakon
Album: Evolusi 1
Filem: Sifu dan Tongga, Malaikat Maut dan Gangster
Rancangan TV: Era TV, Brek, Akademi Fantasia Raya dan Dua Dunia.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: