Monday, March 23, 2009

Giliran Yatt pula berkahwin

SETELAH lebih setahun memegang status sebagai tunangan orang, akhirnya Yatt atau Haryati Hamzah, 29, dan pasangannya mengambil keputusan untuk diijabkabulkan pada 29 Mac ini.

Yatt, pelakon baru yang terlebih dahulu mencipta nama dalam bidang pengacaraan dan peragaan, memilih untuk menamatkan zaman bujangnya dengan jejaka pilihan hatinya, Abdul Mutalib Abdul Shukor, 29, yang dikenalinya melalui seorang teman pada akhir 2004.

Menurutnya, bibit-bibit awal perkenalan mereka adalah ketika Yatt sering mengunjungi Sports Planet Ampang untuk bermain futsal bersama rakan-rakannya.

Kebetulan Mutalib atau lebih mesra dikenali sebagai Talin merupakan pengurus di pusat sukan itu.

"Pada awal perkenalan, Yatt penah menolak cinta Talib kerana pada masa itu Yatt baru saja putus cinta pertama dan seakan serik untuk bercinta.

"Namun, Yatt tengok Talib sabar dan ikhlas dengan niatnya, dan setelah enam bulan berkawan, Yatt akhirnya terima dia untuk menjalinkan hubungan yang lebih serius sebagai pasangan kekasih.

"Talib sangat memahami kerjaya saya dan kami saling mempercayai dan ia membuatkan kami sangat serasi," ujar gadis kacukan Melayu, Jawa, Belanda dan Arab ini lagi.

Tambahnya, ketika itu ada beberapa orang jejaka lagi yang turut ingin mendapatkan cintanya termasuk rakan-rakan Talib sendiri.

Bagaimanapun, hati Yatt lebih tertarik pada Talib.

Talib pula yang lebih senyap dan mempunyai personaliti yang berbeza daripada Yatt berkata, sifat tunangnya yang ceria namun berprinsip itu yang membuatkan dia tertarik melamar Yatt.

Menurut Talib, Yatt tidak seperti yang dia bayangkan sebelum ini kerana menurutnya sebelum ini dia menganggap ramai artis dengan dunia mereka sendiri dan tidak kisah dengan orang sekeliling.

"Tanggapan saya berubah bila saya mengenali Yatt kerana dia seorang yang berprinsip dan mengutamakan keluarganya dalam setiap keputusan yang dibuat.

"Sifatnya yang bertanggungjawab terutamanya kepada keluarga itulah membuatkan saya jatuh hati dengannya dan berusaha untuk mendapatkan cintanya," ujarnya.

Biarpun sesudah berkahwin kelak, Talib akan membenarkan Yatt meneruskan kerjaya seninya kerana dia yakin Yatt pandai menjaga diri sendiri.

Majlis pernikahan mereka akan dilangsungkan di rumah keluarganya di Seremban 2, Negeri Sembilan dan majlis persandingan pula akan dilangsungkan di Dewan Seri Endon, Presint 10, Putrajaya pada 4 April ini.

Pada sesi siang, akan berlangsung majlis persandingan bagi pihak lelaki manakala sesi malam pula akan berlangsung majlis persandingan bagi pihak perempuan di dewan yang sama.

Ujar Yatt, mas kahwinnya telah ditetapkan sebanyak RM80.80, simbolik kepada tahun kelahiran mereka berdua iaitu pada tahun 1980.

Ditanya mengenai wang hantaran pula, Yatt dan Talib sepakat untuk merahsiakan jumlahnya kerana bagi mereka biarlah yang tahu mereka dan ahli keluarga terdekat sahaja yang tahu.

Mengimpikan majlis yang sederhana tetapi meriah, mereka menggabungkan konsep moden, kontemporari dan tradisional hasil sentuhan Butik Lynda Rahim selaku penaja utama sebagai perancang perkahwinan, persalinan dan hiasan majlis majlis persandingan.

Persiapan perkahwinan mereka yang menurut Yatt sudah 80 peratus siap ini kebanyakannya ditaja oleh rakan-rakan mereka berdua.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: