Monday, March 23, 2009

Noraniza Idris enggan berlagu duka

BUKAN saya tidak percaya kepada perkahwinan lagi tetapi buat masa ini, saya lebih selesa dan bahagia berseorangan.

"Saya bahagia bersama adik-beradik dan anak-anak.''

Itu penjelasan penyanyi Noraniza Idris saat ditanya tentang kehidupannya selepas perkahwinan kali kedua yang dibina tahun lalu hanya mampu bertahan untuk beberapa bulan sahaja.

Menurut Noraniza atau mesra dengan panggilan Kak Ani, sebaik rumah tangga keduanya musnah, dia sudah malas untuk memikirkan soal mencari seorang lelaki sebagai suami.

Apa yang dilalui ketika ini, jelasnya, cukup membahagiakannya di samping adanya sokongan adik beradik serta dua anak hasil perkahwinan pertamanya dengan penyanyi Fareez iaitu Mohd. Aliff Haiqal dan Mohd. Alfeeq Haiqal.

"Saya pun makin sibuk menguruskan karier sendiri. Bukan sahaja urusan dalam nyanyian dan persembahan, saya kini menceburi bidang latihan dan bengkel kesenian kepada golongan pelajar.

"Saya juga sedang mengumpul bahan untuk menerbitkan buku dan cakera padat video (VCD) bagi digunakan dalam bengkel berkenaan,'' katanya ketika ditemui Hits selepas menjayakan persembahan di konsert Heal The World di Universiti Teknologi Kreatif LimKokWing (Universiti LimKokWing), Cyberjaya baru-baru ini.

Heal The World dianjurkan oleh para pelajar universiti itu yang terdiri daripada pelajar tempatan dan asing bagi menyuarakan kepada dunia agar mencintai keamanan.

Pada tahun lalu, perkahwinan kedua Noraniza bersama seorang ahli perniagaan berusia awal 50-an menemui kegagalan selepas beberapa bulan mendirikan rumah tangga.

Noraniza yang dikenali ramai sebagai pejuang lagu-lagu irama tradisional sebelum ini pernah mendirikan rumah tangga dengan Fareez pada 31 Mac 1988 dan disahkan bercerai pada Mei 2006.

Mengulas lanjut, Noraniza berkata, selepas bercerai untuk kali kedua, dia mengakui, tidak terlepas daripada dipandang negatif oleh sesetengah pihak.

Namun, ujarnya, segala kata-kata negatif itu dianggap sebagai normal kerana memikirkan dirinya adalah artis.

"Biasalah perkara macam itu. Saya tidak ambil kisah pun,'' katanya.

Berbalik kepada latihan dan bengkel kesenian yang dianjurkannya, Noraniza berkata, buat masa ini, pihaknya melalui Noraniza Idris Production Ventures Sdn. Bhd. bercadang mengadakan kolaborasi bersama Universiti LimKokWing untuk menyediakan slot kokurikulum yang menjurus kepada kesenian.

Jelas Noraniza, pihaknya juga sudah pun menemui ahli lembaga pengarah universiti berkenaan untuk tujuan tersebut.

"Setakat ini mereka memberi sokongan. Sebagai permulaan, kita akan memberi tumpuan pada anak-anak Felda yang belajar di universiti itu,'' katanya.

Menurutnya, selain pelajar-pelajar universiti, dirinya juga terlibat bersama Agensi Anti Dadah Kebangsaan untuk membimbing golongan penagih yang menjalani pemulihan.

"Segala pengalaman hidup yang saya lalui akan saya gunakan untuk menerap pemikiran positif terhadap mereka,'' ujarnya.

Single terbaru dan konsert

Sementara itu, ditanya soal perkembangan terbaru tentang karier seni, Noraniza menjelaskan, dia bakal muncul dengan single terbaru berjudul Enjut.

Apa yang menarik, katanya, Enjut akan dinyanyikan secara duet bersama Cat Farish.

"Insya-Allah ia akan dipasarkan pada bulan depan,'' jelasnya.

Kata Noraniza, dengan keadaan pasaran album kini, pihaknya terpaksa mengikut aliran semasa dengan menghasilkan single berbanding album.

Sungguhpun begitu, katanya, ia sedikitpun tidak menjejaskan impiannya untuk menyemarakkan lagu-lagu etnik dan tradisional.

Mengenai konsert pula, Noraniza memberitahu, setiap artis sememangnya berkehendakkan untuk terlibat dalam menjayakan konsert masing-masing.

Justeru, jelasnya, penyanyi berkenaan bercadang untuk menganjurkan konsert yang dinamakan Masyhur Malaysia tidak lama lagi.

"Untuk konsert itu, saya sedang mendapatkan sokongan daripada Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan,'' tambahnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: