|
|
BAGI anak muda hari ini, nama Salimah Mahmood barangkali terlalu asing buat mereka. Betapa tidak, penyanyi kelahiran Singapura ini yang popular dengan lagu Melati Suntingan pada tahun 1979 menikmati zaman kegemilangannya hanya untuk seketika sahaja.
Ini kerana, dia lebih gembira dengan tugas barunya iaitu menjadi 'duta' ke luar negara.
Bermula dari 1992 sehingga 2004, Salimah yang pernah bernaung di bawah syarikat rakaman WEA (kini Warner Music) lebih banyak memenuhi undangan menyanyi di luar negara di bawah TDC (Perbadanan Kemajuan Pelancongan) di samping rombongan rasmi kerajaan.
Dengan bayaran yang begitu lumayan, memang tidak mudah bagi artis menolak tawaran sedemikian.
Bagaimanapun, berbeza bagi Salimah atau lebih mesra dikenali sebagai Sally.
Keputusannya berkelana ke luar negara bukan disebabkan wang semata-mata.
Sebaliknya, apa yang lebih penting buatnya ialah bertanggungjawab memperkenalkan negara di mata dunia.
Berusia 47 tahun, Salimah yang juga pemegang kerakyatan Malaysia menegaskan, tugas menyanyi di luar negara membuatkan dia merasa dihargai apabila lagu-lagu nyanyiannya dihayati oleh pemimpin di luar negara dan masyarakat di sana.
"Bayangkan ketika saya menyanyikan lagu joget dan zapin mereka terpana, alangkah bahagianya saya. Ketika itu perasaan terharu dan bangga berbunga di hati.
"Siapa tidak bangga dan seronok apabila lagu Zapin Malaysia, Joget Kain Songket dan Si Pinang Muda membuatkan mereka terpesona dan menyanyi bersama dan sebagai penyanyi itulah momen terindah buat saya," cerita Salimah menyingkap kenangan manis ketika seringkali menjadi 'duta'.
Tetapi semua itu cerita dulu. Sesudah 16 tahun berlalu, cerita-cerita itu kini tersimpan rapi di kotak fikirannya.
"Kini semua itu menjadi satu kenangan manis buat saya. Alangkah indahnya jika masa boleh berulang, tapi semua itu mustahil.
"Apa yang dapat saya katakan itulah kenangan indah saya sebagai penyanyi dan 'duta' negara," kata Salimah ketika ditemui di kediamannya di Kepong, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Ketika itu, bukan hanya Salimah yang sering menjadi pilihan, sebaliknya artis-artis ternama yang lain seperti Azlina Aziz dan Liza Aziz sering diundang menyanyi ke luar negara menyertai rombongan TDC selama 12 tahun.
Selain menyertai rombongan TDC, pada tahun 1992, Salimah juga pernah mengikuti rombongan Datuk Bandar Kuala Lumpur ketika itu, Tan Sri Elyas Omar mengadakan persembahan di Casablanca dan Sepanyol.
Bagi Salimah, pengalaman menyanyi di kota-kota hebat dunia seperti London, Cape Town, Tokyo, Dubai serta negara-negara Eropah banyak mendedahkannya pada dunia luar.
Pada masa yang sama, dia sangat gembira kerana dapat melaksanakan tanggungjawab memperkenalkan Malaysia kepada masyarakat antarabangsa.
"Selain bakat dan kebolehan menyanyikan lagu popular setiap negeri, menguasai bahasa Inggeris dengan baik menjadi keutamaan. Itulah sebab utama mengapa saya dan beberapa artis lagi sering dipanggil menyertai rombongan TDC," kata Salimah lagi.
Kini dalam melayari hidup sebagai isteri kepada pemimpin Orkestra Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, Mirza Abdullah, 55, ibu kepada dua orang anak Shakira, 26, dan Eskandarian Mirza, 24, lebih gemar memenuhi masa lapangnya melayani dua orang cucunya, Sharisz Mirza,2, dan Sharieq, lapan bulan.
Kedua-dua cucunya itu adalah anak kepada Shakira dengan Shahrul Rashid.
Kini, Salimah dan Mirza menanti kelahiran cucu ketiga mereka hasil perkahwinan Eskandarian dengan Wadzhihah Zaghlol, 24, yang dijangka lahir bulan depan.
"Kalau tak ada show saya lebih suka menghabiskan masa bersama cucu-cucu pergi berenang atau shopping.
"Seronok bila berjalan dengan cucu, tapi kadang-kadang terkejut juga ada yang masih mengenali saya dan menyangkakan itu anak saya.
"Kalau cucu tinggal sekali dengan saya maka mereka juga selesa memanggil saya mama. Sedangkan mummy dan daddy mereka selalu terbang jauh," cerita nenek moden yang sangat peramah ini lagi.
Salimah mula menempa nama pada tahun 1979 menerusi lagu popularnya, Melati Suntingan ciptaan Husaini Ajmain yang dipetik daripada album pertamanya.
Bermula dari itu, dua album lagi diterbitkan iaitu Setelah Kecewa (1981) dan Mata Bertentang Mata (1982).
Sementara album keempatnya Salimah Mahmood pada tahun 1994 diterbitkan oleh NSR.
Bagaimanapun album keempat, tidak membantunya dalam bidang seni kerana ketika itu memang sukar bagi Salimah untuk memenuhi undangan atau promosi yang mana sedikit sebanyak membantutkan penjualan dan popularitinya.
Walau apa sekali pun yang dilalui sepanjang bergelar anak seni sama ada yang baik atau buruk, semua itu tidak pernah membuatkan Salimah kesal.
Sebaliknya, dia mengakui, kehidupan sebagai anak seni menawarkan kemewahan dalam segenap aspek kehidupannya.
"Dalam hidup ini bukan wang sahaja yang memberi kemewahan kepada kita malah keluarga juga," jelas Salimah mengenai terjemahan kemewahan hidup.
Justeru, katanya, setiap kali ditanya rakan-rakan atau kenalan apakah dia bahagia dengan kehidupannya hari ini tanpa glamor, Salimah sentiasa mengiakannya.
"Saya katakan ia sebab mempunyai suami yang penyayang, anak-anak yang berjaya dan cucu yang comel merupakan kebahagiaan yang dicari oleh seorang wanita yang telah melebihi usia 40 tahun," katanya sambil mesra melayan buah hati kesayangannya, Sharisz dan Sharieq yang tidak pernah lekang dengan nenek mereka.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: