Thursday, March 26, 2009

E-mel ganti SMS

Antara khidmat e-mel dan Ovi, pengguna telefon bimbit kini mempunyai banyak pilihan dalam dunia telekomunikasi.




SELEPAS trend penghantaran khidmat pesanan ringkas (SMS), dunia telekomunikasi kini mula menerima pakai khidmat penghantaran e-mel melalui telefon bimbit. Biarpun perkhidmatan itu sudah diuar-uarkan sejak kebelakangan ini, namun lonjakan dan tahap penerimaannya mula dirasai.

Sebuah laporan turut mendedahkan bahawa masyarakat Malaysia adalah antara 10 negara teratas dalam khidmat penghantaran e-mel daripada telefon bimbit.

"Berbanding dengan SMS yang hanya mampu menampung kira-kira 1,400 patah perkataan, e-mel yang dihantar daripada telefon bimbit boleh menampung hampir 10 kali ganda lebih banyak daripada itu," kata Glen Cha, Pengurus Pemasaran Produk Nokia (M) Sdn. Bhd. di pasaran Malaysia dan Brunei. Malah, e-mel juga jauh lebih murah dan mempunyai kapasiti penerimaan mesej yang besar termasuk gambar.

"Ramai daripada kita kini tidak lagi bekerja di pejabat 24 jam seminggu. Ramai yang memilih untuk bekerja dan berkomunikasi dari luar kerana ia bukan sahaja menjimatkan masa tetapi mempercepatkan perjalanan kerja di mana-mana di seluruh dunia," ujar Glen yang menambah trend itu dilihat berkembang di Amerika Syarikat (AS), Eropah dan negara-negara membangun yang lain.


E-MEL yang dihantar daripada telefon bimbit boleh menampung hampir 10 kali ganda lebih banyak perkataan daripada SMS.


Atas keperluan itu, Nokia sebagai sebuah syarikat mobiliti yang menjadi peneraju dalam pembuatan telefon bimbit yang berdaya saing terus menghasilkan telefon bimbit bijak atau smartphones yang sesuai bagi penggunaan pejabat dan peribadi.

"Apabila seseorang itu duduk untuk minum petang, biasanya mereka mahu memeriksa status laman sosial atau e-mel peribadi. Bukannya hal-hal yang berkaitan dengan kerja. Begitu juga sebaliknya apabila berada di bilik pejabat," kata Vlasta Berka, Pengurus Besar Nokia Malaysia.

Siri Nokia E adalah antara produk yang mendukung servis sebegini. Dengan keluaran hampir sedozen, siri Nokia E direka khas buat mereka yang ingin memperkayakan hidup dengan kesenangan pencerapan rangkaian sosial, menghantar e-mel, menguruskan kalendar dan temu janji mingguan atau bulanan serta berkongsi gambar dan mendengar muzik.

Nokia E63 yang didatangkan dalam dua pakej warna Ruby Red dan Ultramarine Blue adalah susulan kejayaan yang diperoleh Nokia E71. Fenomena yang dicapai oleh Nokia E71, menggalakkan syarikat itu menghasilkan Nokia E63 yang lebih mantap dan bertambah maju. Meskipun lebih berat iaitu 126 gram, tetapi telefon bimbit itu memberi nilai kepada wang anda kerana ia menawarkan ciri-ciri pengalaman penghantaran e-mel yang baru dengan papan kekunci yang lengkap.




Anda juga disediakan dengan dua set antara muka bagi urusan kerja dan peribadi. Selain alat pencucuh audio bersaiz 3.5 milimeter bagi kemudahan mendengar muzik, Nokia E63 juga mempunyai fail Ovi yang membenarkan pengguna mengakses fail dan dokumen dari komputer. Menariknya ialah kemudahan tersebut berfungsi walaupun komputer anda tertutup atau tidak berfungsi pada ketika itu.

Bagi makluman anda, Ovi adalah khidmat Internet yang disediakan oleh Nokia bagi membolehkan pengguna memasuki laman servis pihak ketiga seperti Yahoo, Gmail dan seumpamanya.

"Bagi pengguna baru, mereka hanya perlu melayari laman web kami atau Ovi.com untuk mendaftar dengan meletakkan alamat e-mel dan kata laluan untuk akses penuh ke laman web tersebut," sambung Glen yang menjelaskan skrin antara mukanya jelas, ringkas dan tidak serabut.

Daripada soal-selidik yang dilakukan sebelum ini, didapati sebilangan besar daripada pengguna komputer iaitu 60 hingga 70 peratus mempunyai lebih daripada satu akaun e-mel dan sebab itulah, Ovi memberi sokongan kepada 10 akaun berlainan dengan akses kepada Instant Messaging bagi setiap satu akaun tersebut. Inbox atau peti masuk bagi setiap akaun juga diasingkan iaitu sama seperti apa yang dilihat di komputer.


OVI ialah perkhidmatan Internet yang disediakan oleh Nokia bagi membolehkan pengguna memasuki laman servis pihak ketiga seperti Gmail dan Yahoo.


Dengan hasrat untuk membawa e-mel melalui telefon bimbit terus kepada pasaran umum, Nokia E63 terasa selesa di tangan dan pengalaman yang dilalui. Daripada e-mel korporat ke kalendar temujanji dan Intranet data kepada e-mel peribadi serta stok gambar, pasti anda tidak kecewa. Buat masa ini, servis Ovi Nokia E63 adalah percuma sehingga diumumkan kelak.

"Nokia E71 muncul sebagai model yang paling laris dalam kategori itu sekali gus memberi mesej bahawa kami (Nokia) menghala ke arah yang betul di pasaran mobiliti," tambahnya.

Hazel Abu Samah, Pengurus Komunikasi Nokia Malaysia juga berkata, selepas itu pengguna dan pengedar telefon bimbit Nokia akan mendengar lebih banyak tentang khidmat e-mel dan siri Nokia E pada masa akan datang.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: