Monday, March 23, 2009

Hadiah lumayan bagaikan bonus


dr ang bersama Hishamuddin pada majlis penyerahan kereta Nissan Grand Livina dan Nissan Sylphy.

Undian peminat cabar artis untuk mempertingkatkan mutu kerja

MENDAKI puncak kegemilangan dalam karier menjadi impian setiap insan seni. Cuma empat nama yang kekal mekar dalam industri hiburan ini lebih bertuah kerana pernah mengecapi detik manis yang masih menjadi igauan bagi sesetengah individu.

Rosyam Nor dan Saiful Apek pernah meniti detik gemilang apabila diumumkan sebagai penerima Bintang Paling Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH).

Rosyam memenanginya pada ABPBH 2002, disusuli Saiful Apek membawa gelaran itu pada ABPBH 2003 manakala Abby Abadi mempertahankan trofi Pelakon TV Wanita Popular selama empat tahun berturut-turut.

Mila pula buat pertama kali muncul sebagai Artis Baru Wanita Popular, tahun lalu. Edisi terbaru ABPBH 2008 memperlihatkan gadis kecil molek itu kembali membolosi senarai Top 5 kategori Penyanyi Wanita Popular di samping Elyana, Jaclyn Victor, Datuk Siti Nurhaliza dan Stacy.

Pengiktirafan tidak datang bergolek, sebaliknya menuntut kerja keras tanpa mengenal erti lelah dan jemu lantas menyuntik rasa bangga dan terharu sekali pun kemanisan dikecapi atas tiket undian peminat.

Rosyam, Saiful Apek, Mila dan Abby Abadi.

Rosyam yang kembali tersenarai sebagai finalis Pelakon TV Lelaki Popular dan Pelakon Filem Lelaki Popular berkata, pengiktirafan peminat menjadi ganjaran terbesar mengatasi segala imbuhan diterima sebagai pemenang kerana mereka meletakkan kerjanya pada kedudukan lebih baik.

“Inisiatif Berita Harian yang menyediakan pelbagai imbuhan menjadi bonus yang memberi galakan kepada artis, sekali gus memberi cabaran serta menimbulkan minat mereka untuk mempertingkatkan mutu dan hasil kerja.

“Secara tidak langsung ia menjana sebuah industri yang baik dan meriah kerana setiap individu berusaha keras mencapai sesuatu yang mereka impikan,” katanya.

Mereka ditemui pada majlis penyerahan kereta Nissan Sylphy 2.0L yang menanti penerima Bintang Paling Popular dan Nissan Grand Livina 1.8L sebagai hadiah utama kategori pembaca di ibu pejabat Edaran Tan Chong Motor Sdn Bhd (ETMSB) di Jalan Ipoh Kecil, Kuala Lumpur, petang Khamis lalu.

Penyerahan dua kenderaan yang menyemarakkan acara kemuncak ABPBH 2008 di Arena of Stars, Genting Highlands itu disempurnakan Pengarah Eksekutif ETCMSB, Datuk Dr Ang Bon Beng kepada Ketua Pengarang Kumpulan New Straits Times Press (NSTP), Datuk Hishamuddin Aun.

Kurang bijak pasar diri jika abai populariti

ROSYAM melihat artis yang kurang mengambil berat soal populariti, sebaliknya cuma menumpukan kekuatan kepada hasil karya sebagai kurang bijak memasarkan diri mereka.

Katanya, apabila menjejakkan kaki ke dunia hiburan tanggungjawab anak seni adalah untuk menghiburkan khalayak dan ia berkait rapat dengan populariti.

“Anak seni perlu popular supaya khalayak menghargai hasil kerja terbaik kita. Populariti penting kerana saya mahu setiap karya diperhati dan dinilai peminat. Untuk apa tampil hebat tetapi apa yang dilakukan tidak dipedulikan umum?

“Tanpa populariti dan peminat, seseorang itu tidak akan mampu melangkah jauh kerana kerja mereka tidak akan memberi impak besar kepada penggemar,” katanya.

Bagaimanapun, tegas Rosyam, populariti harus datang bersama bakat dan kerja kerana bergantung sepenuhnya kepada media untuk publisiti tidak akan membawa insan seni ke mana-mana.

“Mungkin hari ini orang menerima tetapi sampai bila? Lambat laun peminat akan bosan dan penat kerana kita tidak punya apa-apa untuk dipersembahkan.

“Biarlah keluar dengan hasil kerja yang membanggakan dan jangan sampai orang tertanya apa yang kita lakukan untuk membangunkan industri,” katanya yang sedang merangka program realiti, Pilih Kasih siaran TV2.

Detik manis pada malam ABPBH 2003 akan terus tersemat dalam ingatan Saiful Apek seterusnya memberikannya sesuatu yang manis untuk dikenang apabila berbicara mengenai ABPBH 2008.

Biarpun detik itu sudah hampir enam tahun dilewati, namun pelakon yang baru muncul dengan filem Sifu & Tongga itu begitu menghargainya.

Disebabkan itu apabila kembali dicalonkan dalam kategori Artis Komedi Lelaki Popular, pemilik nama sebenar, Saiful Azam Mohamed Yusoff, ini cukup berterima kasih kepada peminatnya.

“Saya berterima kasih kepada mereka yang masih mengundi dan tidak pernah lupa kepada diri saya. Setiap tahun sejak mula memenanginya pada ABPBH 2002, saya tidak pernah menganggap kemenangan itu adalah milik peribadi saya.

“Kemenangan itu sebenarnya adalah milik semua pejuang genre komedi, tidak kira yang lama dan baru. Saya hanya mewakili mereka,” katanya.

Sedang sibuk dengan proses pengalihan suara untuk siri animasi, Cicakman, penghibur berusia 40 tahun itu mengakui agak terkejut kerana namanya masih membolosi senarai Top 5.

“Lagipun tahun ini saya kurang berlakon namun peminat masih melihat saya sebagai seorang daripada artis komedi. Saya perlu mempertingkatkan kemampuan diri dan tahun ini, fokus saya lebih terarah kepada dunia pengarahan,” katanya.

Makna besar buat Abby dan Mila

EMPAT tahun berturut-turut mempertahankan trofi Pelakon TV Wanita Popular memberi makna besar kepada ibu tunggal tiga cahaya mata, Abby Abadi.

Akur bukan sesuatu yang mudah untuk mempertahankan apatah lagi mengulangi kemenangan itu, Abby berkata, kejayaan pada malam ABPBH memberi kenangan yang cukup manis kepadanya.

“Kemenangan itu adalah perkara paling manis dan sangat bermakna untuk karier saya. Mungkin ada yang memberikan persepsi berbeza kepada mereka yang meraih pengiktirafan atas undian peminat tetapi anugerah itu tetap saya hargai.

“Meramalkan peluang adalah sesuatu yang sukar untuk dilakukan tetapi apabila trofi berada dalam genggaman, ia membuatkan saya rasa dihargai dan disayangi peminat. Ia bukan sesuatu yang mudah untuk dicapai,” katanya.

Rentetan peristiwa keruntuhan rumah tangga seakan membuka laluan baru dalam karier lakonan Abby. April ini, dia menerima pengiktirafan daripada pembaca majalah Manja sebagai Ratu Drama Malaysia.

Kongsi Abby penuh syukur, setiap apa juga yang berlaku dalam hidupnya masih ada insan yang bersimpati dan berdiri di belakangnya.

Pengiktirafan itu kata Abby, membuatkannya begitu berbangga kerana menjadi sebahagian daripada pemain aktif industri drama tempatan.

“Apa yang saya harapkan pengiktirafan akan membuka ruang lebih besar untuk kami meneroka pelbagai ruang serta watak baru. Perkara ini jarang berlaku di negara sendiri apabila status sering dijadikan alasan yang mengekang pelakon untuk meneroka lebih mendalam pelbagai aspek dunia lakonan.

“Penerbit dan stesen televisyen seharusnya bersikap lebih terbuka. Jangan takutkan artis dengan penolakan hanya kerana status yang kami pegang.

“Sikap seperti ini antara penyumbang pelbagai perkara yang tidak sepatutnya berlaku dalam industri hiburan. Janganlah perkara ini dijadikan budaya kerana perkahwinan, bergelar ibu dan sebagainya bukan penutup kepada pintu rezeki,” kata Abby yang agak terkilan apabila kerap diajukan watak ibu sedangkan usianya baru mencecah 31 tahun.

Bagi penyanyi kecil molek, Mila, pengiktirafan peminat membawanya melangkah ke persada seni. Usaha pertama menerusi program realiti popular, Akademi Fantasia (AF) musim ke-6 membuahkan kejayaan apabila diiktiraf bakat wanita pertama meraih gelaran juara.

“Saya tidak mungkin bertahan di sini tanpa sokongan peminat. Tidak dinafikan populariti penting namun saya tidak mahu pantas selesa tanpa mencari ruang memperbaiki kelemahan,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: