Monday, March 23, 2009

Dengarnya...: Sanggup buat apa saja untuk popular


ENTAH betul, entah tidak! Mungkin juga orang yang menyebarkan cerita ini dengki melihat kebahagiaan seorang artis baru ini lalu cuba membunuh masa depannya dengan pelbagai berita kurang manis.

Cik Normah sangsi juga kerana bimbang cerita busuk yang dihebahkan hanya untuk memanaskan lagi persengketaan antara dua artis yang sememangnya tegang kerana satu insiden.

Sumber itu memberitahu teman Cik Normah, artis baru ini bukan main getik lagi setiap kali di lokasi. Agaknya sudah terkenan dengan aura glamor kosong lalu dia sanggup berbuat apa saja untuk mempopularkan namanya.

Jika benar apa yang diceritakan, Cik Normah terfikir juga bagaimana jika berita ini sampai ke telinga teman lelakinya. Bolehkah dia menerimanya?

Dulu teman lelaki pelakon ini begitu beriya-iya membela ketika mereka berdua diasak kontroversi. Cara membela seolah-olah teman wanitanya itu wanita terbaik pernah ditemui. Tetapi sudahnya di belakang, dia sendiri dipermainkan oleh teman wanita yang memang tak sedar diuntung itu.

Sumber itu memberitahu, si artis ini bukan main bijak mencucuk jarum ketika di lokasi. Bermulut manis, bersikap manja dan sudahnya jatuh ke mulut ‘buaya’ yang cuma menanti masa untuk ‘membahamnya’.

Khabarnya ketika artis ini sedang asyik bermesra dengan seorang pelakon lain, ada kru yang sudah terpandang. Disebabkan kurang senang dengan gelagat tidak senonoh pasangan itu, kru ini pun mengadu kepada pelakon lain. Sampai ke tahap mana kemesraan mereka, jangan ditanya kerana Cik Normah tidak melihat dengan mata kepala sendiri.

Biasalah cerita panas begini cepat saja tersebar. Lalu bertepuk tanganlah seorang artis ini kerana sudah lama dia berdendam dengan pelakon wanita itu. Puncanya, tidak lain kalau bukan kerana cinta tiga segi.

Geleng kepala Cik Normah memikirkan perkara ini. Kenapa ada yang sanggup menabur pasir dalam periuk nasi sendiri? Sampai begitu sekali mereka tergamak menabur noda dan dosa di tempat cara rezeki. Sedih kerana sikap tidak bermoral ini membuatkan industri seni kita semakin dipandang rendah dan tidak dihormati.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: