Nurul |
Syarikat korporat mula mengambil langkah berhati-hati dengan meminimumkan perbelanjaan dalam bidang hiburan
TEMPIAS kemurungan ekonomi global mula memberi kesan kepada perkembangan industri muzik sekali gus mendesak penggiat seni supaya kreatif merencana aktiviti sebagai kelangsungan survival biarpun dicengkam pelbagai kekangan.
Petanda awal kian dirasai apabila tempahan tawaran persembahan menunjukkan angka penurunan yang ketara, sekali gus mencetuskan kebimbangan penggiat industri muzik apakah mereka masih mampu bertahan dan menghadapi cabaran getir itu?
Vernon Kedit Jolly yang bertindak sebagai artis naungan Artistes United Records (AUR) seperti Nikki dan Nubhan berkata, tempias kegawatan mula mencengkam sejak Disember lalu apabila hanya beberapa lokasi mengadakan sambutan awal tahun baru.
Katanya, suasana itu cukup berbeza sekitar tiga tahun lalu apabila pengurusan pusat beli belah rancak menyusun pelbagai aktiviti menjelang sambutan tahun baru.
Kemurungan ekonomi semakin meruncing apabila sepanjang Januari lalu, artis naungan AUR langsung tidak menerima sebarang tawaran persembahan.
“Perkara ini tidak pernah berlaku sepanjang saya menjadi pengurus artis membuatkan saya perlu mengambil tindakan drastik untuk memastikan artis di bawah naungan AUR terus kekal relevan dalam suasana ekonomi yang suram,” katanya.
Vernon berkata, dia tidak pernah terfikir suasana suram ekonomi dunia akan memberi tempias buruk dengan begitu pantas kerana syarikatnya masih menerima banyak tawaran menjelang akhir 2008.
Dia bagaimanapun, tidak menafikan bayangan kegawatan sudah mula menjalar menjelang akhir tahun lalu. Fakta itu diperkukuhkan apabila kebanyakan syarikat korporat mula mengambil langkah berhati-hati dengan meminimumkan perbelanjaan.
“Majlis makan malam korporat masih ada namun mereka tidak lagi mengundang artis, sebaliknya mengutamakan kakitangan dalaman sebagai selingan persembahan,” katanya.
Biarpun diuji Vernon berkata, pengurusannya tidak mampu menurunkan harga artis sewenang-wenangnya kerana pelbagai faktor dan pertimbangan perlu diambil kira sebelum tindakan itu dibuat.
Memahami kekangan bajet yang dihadapi oleh sebahagian syarikat membuatkan pengurusannya berusaha untuk memberikan tawaran yang membawa manfaat kepada kedua-dua belah pihak.
“Di sini cabaran saya sebagai pengurus untuk memastikan tawaran yang dibuat memberi pulangan berbaloi kepada pelanggan.
“Antara lain kami akan berusaha untuk turun padang dan melakukan promosi yang lebih agresif supaya masyarakat lebih dekat dengan artis naungan AUR,” katanya.
Menjangkakan kesuraman industri hiburan akan berlarutan sepanjang 2009, Vernon berkata, pengurusannya merangka gabungan promosi secara tradisional dan pada masa sama memanfaatkan teknologi moden untuk lebih mendekati pencinta muzik.
“Masalah lain yang turut menyumbang adalah penganjuran terlalu banyak konsert percuma. Ia membuatkan khalayak sudah terbiasa untuk tidak membayar apabila menonton persembahan artis.
“Sedangkan dulu persembahan percuma jarang didapati sebaliknya penonton perlu membayar untuk menonton persembahan artis walaupun pada jumlah kecil.
“Mengenakan bayaran biarpun kecil akan membuatkan khalayak lebih menghargai kudrat anak seni,” katanya.
Kecenderungan pengguna menyalurkan wang kepada sumber hiburan lain juga membataskan ruang artis tempatan untuk menyuburkan minat mereka.
Disebabkan itu kata Vernon, dia menggunakan blog peribadinya sebagai satu cara untuk memasarkan produk di bawah naungan pengurusannya.
“Sukar untuk kita menghalang muat turun secara haram di internet, jadi kita perlu mengikut rentaknya. Menerusi blog, saya membenarkan pelayar internet untuk menikmati produk terbitan AUR secara percuma.
“Saya melihat usaha ini sebagai cara pemasaran jangka panjang kerana percaya masih ada kelompok peminat yang akan membeli album penuh sebagai tanda sokongan kepada artis yang diminati.
“Ia juga secara tidak langsung mendidik peminat untuk menyokong perjalanan karier seseorang penyanyi supaya tidak mati di pertengahan jalan,” katanya.
Tiada ruang untuk bebas berkarya
SIKAP berhati-hati, selain menggunakan sepenuhnya kuasa sebagai pengguna tanpa terlebih dulu menilai kekuatan seseorang penggiat seni membantutkan ruang berkarya dengan lebih kreatif.
Pengurus Misha Omar, Mimie Omar berkata, sesetengah penganjur mendekati pengurusan artis dengan bajet tertentu dan mendesak mereka untuk merangka bentuk persembahan terbaik dengan peruntukan terhad.
“Ia bukan petanda yang baik kerana dengan bajet terhad ia membataskan ruang untuk berkarya sedangkan untuk kepuasan berkarya, ia memerlukan gabungan pelbagai faktor.
“Selain kualiti persembahan dan vokal, aspek lain seperti sistem bunyi juga perlu diambil kira tetapi malangnya ia jarang dititikberatkan penganjur ketika memberikan tawaran,” katanya.
Mimie berkata, ketika penggiat seni tempatan meluahkan keluhan mengenai kegawatan ekonomi, masih ada penganjur yang berani menganjurkan konsert besar serta membawa artis luar untuk membuat persembahan di negara ini.
Semua itu memerlukan perbelanjaan besar dan ia membangkitkan persoalan lain. Apakah penganjur cuba memanipulasi situasi gawat yang hangat diperkatakan untuk tidak membayar harga perkhidmatan seseorang artis dengan jumlah sepatutnya?
“Mungkin ada yang cuba mengambil kesempatan dan perbuatan itu adalah satu penindasan bagi kami yang menjadikan bidang seni sebagai kerjaya profesional.
“Situasi itu boleh dimanipulasi jika penganjur menggunakan khidmat orang tengah dalam menentukan harga kerana kita tidak tahu jumlah sebenar bayaran ketika tawaran diberikan. Ini tentunya memberikan ketidakadilan kepada penggiat seni,” katanya.
Mimie berkata, mempelbagaikan kebolehan mungkin jalan terbaik untuk menjana pendapatan namun ia perlu disertai kesungguhan dan bukan dibuat sekadar ‘hangat-hangat tahi ayam’.
Kualiti yang ada dalam diri Afdlin Shauki, Harith Iskander, Adlin Aman Ramlie dan Adibah Noor ialah antara contoh mereka yang mempunyai tahap pengalaman dan pengetahuan mendalam sebelum mengambil keputusan menceburi cabang seni lain.
“Jika disertai kesungguhan dan minat untuk belajar, tiada salahnya mempelbagaikan cabang seni. Dalam hal ini, saya memuji Elly Mazlein dan Farahdhiya yang serius mengalih karier mereka kerana kekuatan bakat dua pelapis itu menjana pembangunan industri.
“Jangan fikir keuntungan sementara, sebaliknya anak seni perlu jujur supaya setiap kerja yang dilakukan mendatangkan impak,” katanya.
Anak seni perlu awasi belanja
CENGKAMAN ekonomi juga membuatkan Mimie terpaksa mengimbas semula caj persembahan namun dia tidak boleh menurunkan harga terlalu rendah kerana ia didasarkan oleh nilai dan kualiti yang ada dalam diri seseorang artis.
Kerjaya sebagai penyanyi katanya, menuntut kesungguhan luar biasa dan latihan berterusan di studio yang disewa menuntut kos yang tinggi daripada mereka.
“Agak sedih kerana usaha ini tidak dihargai, sebaliknya ramai yang memandang ringan dan melihat penggiat hiburan hanya sebagai pelengkap kehidupan tanpa mengetahui, kami juga mempunyai peranan tersendiri.
“Jangan jadikan industri sebagai lubuk duit tanpa menjalankan tanggungjawab mencari pelapis kerana ketiadaan bakat baru yang berwibawa akan membuatkan negara kepupusan anak seni berbakat,” katanya.
Sementara itu, Badrul Hisham yang menguruskan karier nyanyian Diddy berkata, anak seni perlu merangka perbelanjaan supaya tidak terdesak apabila kegawatan melanda industri.
Seperti pekerjaan lain, penggiat hiburan juga perlu mempunyai perancangan masa depan yang baik kerana sukar untuk meramalkan sejauh mana mereka mampu bertahan.
“Ramai mula merungut apabila tawaran berkurangan namun saya cuba untuk tidak terlalu memikirkannya memandangkan tahun kewangan 2009 baru dibuka.
“Mungkin kesan akan lebih dirasai oleh artis yang mempunyai nama besar tetapi dalam menguruskan kerjaya Diddy, saya sentiasa terbuka supaya kedua-dua pihak berpuas hati,” katanya.
Masih mampu bernafas
BERBEZA dengan Metadome Sdn Bhd yang masih menyimpan harapan untuk melihat industri hiburan tempatan berkembang dengan membuat pelaburan untuk penerbitan album penyanyi seperti Nurul, Imran Ajmain, Nitrus, Fabulous Cats, Serian Redzuawan dan Liyana Jasmay.
Disebabkan tidak mahu tertumpu hanya kepada pasaran fizikal semata-mata, mereka mempelbagaikan corak perniagaan dengan mengedarkan produk secara digital.
Pengurus Kanan Metadome Sdn Bhd, KC Ismail berkata, penekanan cara pemasaran menggunakan media baru memberikan ruang untuk industri hiburan terus bernafas. Mengikuti aliran pemasaran terkini memberi kelebihan kepada Metadome untuk menentang kegawatan ekonomi dan terus melakukan pelaburan bagi membangunkan industri hiburan.
Perkara asas dalam pemasaran itu, katanya, adalah penghasilan lagu yang berkualiti dna diterima khalayak.
“Semuanya bermula dengan lagu untuk membangkitkan kesedaran peminat terhadap apa yang diberikan. Setakat ini, strategi yang kami lakukan itu membuahkan hasil. Fabulous Cats ialah antara artis naungan kami yang pantas mendapat tempat di hati peminat,” katanya.
Syarikat yang ditubuhkan sejak 2003 ini berkata, mereka menggabungkan kepakaran teknologi dan pada masa sama, menumpukan pemasaran tradisional untuk terus menggerakkan industri muzik.
“Bagaimanapun, kami percaya pasaran album penuh masih berkuasa kerana ia memberi lebih kepuasan dan nilai kepada pendengar. Sama ada mahu atau tidak, pendengar akan tetap mencari album penuh dan itu memberikan keyakinan kepada Metadome untuk terus menghasilkannya,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: