SIMPATI dan hampir menitis air mata wanita Cik Normah tatkala melihat gambar seorang personaliti televisyen senior yang cuma bertuala disebarkan kepada umum.
Cik Normah tidak mahu menyimpan prasangka buruk. Barangkali gambar itu diambil untuk simpanan peribadi dan suka-suka. Malangnya ada pihak tidak bertanggungjawab mengedarkan foto itu di internet. Tidak tahu apa tujuannya? Mungkin cubaan untuk memusnahkan nama baik pengacara popular itu.
Lebih menyedihkan ada pihak yang cuba menangguk di air keruh. Mereka seolah-olah ingin menyamakan tindakan personaliti itu dengan beberapa insiden lain yang pernah menggemparkan industri hiburan.
Mengenang nasib dirinya membuat Cik Normah menangis hiba. Tetapi benda sudah terjadi, hendak menyesal pun tiada gunanya lagi. Doa Cik Normah, moga personaliti itu tabah menghadapi dugaan itu.
Ketika menyeka air mata yang makin deras mengalir, teringat pula Cik Normah akan kiriman SMS yang dilayangkan seorang teman.
Beritahu teman yang gemar bergaya persis Lily Allen itu, dia terkejut beruk tatkala terpandang gaya seorang pelakon dan penyanyi yang suatu waktu dulu pernah dikaitkan dengan satu kontroversi.
Mana tak terbeliak mata teman Cik Normah yang berat dengan calitan maskara apabila artis itu tanpa segan silu membeli belah dengan tidak memakai coli. Dia terpandang dengan matanya sendiri ketika sedang asyik membeli kelengkapan di kediaman di sebuah kompleks popular.
Cik Normah akui artis wanita ini memang suka bergaya seksi. Maklum diri masih muda tetapi tolonglah jaga maruah sebagai wanita.
Jika benda yang tidak sepatutnya turut dipertontonkan kepada umum, bagaimana masyarakat mahu menghormati seseorang artis itu? Mungkin artis ini tidak kisah kerana bergaya begitu sudah menjadi resam dalam cara dia berpakaian.
Tetapi tolong hormati sensitiviti masyarakat Timur. Kalau tidak terkenal, lain cerita. Entahlah, Cik Normah pun tak tahu apa nak jadi dengan sebahagian artis muda hari ini. Apa mereka ingat Malaysia seperti Hollywood?
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: