KUALA LUMPUR: Kata-kata jaguh badminton negara, Roslin Hashim, 34, yang mendakwa mempunyai 1,001 sebab untuk menceraikan Faizah Mohamad, 32, menimbulkan rasa kurang senang ahli keluarga bekas isterinya yang menyifatkannya sebagai keterlaluan.
Abang Faizah, Zulkifli Mohamad, 35, berkata tindakan Roslin meminta adiknya tidak membuka mulut kepada media adalah tidak munasabah, sedangkan Roslin terlebih dulu menghebahkannya.
“Jika benar dia tidak mahu memburukkan mana-mana pihak, mengapa Roslin mengeluarkan pelbagai kenyataan di luar mahkamah sebelum perbicaraan dilakukan.
“Dia (Roslin) tidak membenarkan adik saya mengeluarkan kenyataan, namun dia sendiri mendedahkannya kepada Harian Metro minggu lalu,” katanya sambil menunjukkan keratan akhbar yang membuktikan dakwaannya.
|
Zulkifli berkata, sebagai perempuan, adiknya yang sebelum ini tidak pernah menjalin hubungan cinta dengan mana-mana lelaki kini merana dengan pendedahan Roslin.
Menurutnya, apa yang didakwa Roslin kononnya dia mempunyai 1,001 sebab untuk menceraikan adiknya turut disifatkan keluarga sebagai tidak munasabah.
“Mana mungkin adik saya melakukan begitu banyak kesilapan atau kekurangan dalam tempoh 12 hari hidup bersamanya. Kenyataan itu amat kejam, sedangkan saya mengenali hati budi adik saya,” katanya yang melantik peguam untuk mengendalikan kes berkenaan.
Menurutnya, kemelut dihadapi adiknya dan Roslin sebaik-baiknya diselesaikan secara aman tanpa andaian atau kenyataan yang boleh mengguris hati kedua-dua pihak.
“Jika dia tidak mahukan Faizah lagi, lepaskan secara baik di mahkamah tanpa memanjangkan isu ini. Saya dan bapa, Mohamad Hussin, 61, serta ibu, Zabidah Raamat, 56, reda dengan apa yang berlaku.
“Apa yang mampu kami lakukan kini ialah memastikan adik saya dapat pulih sepenuhnya daripada sejarah hitam yang dialami. Kami akan cuba mencari jalan penyelesaian terbaik untuk memulihkan perasaannya,” katanya.
Rabu lalu, Roslin ditemani produser filem, Raja Azmi dan peguam syarie, Roslizam Rahim membuat penjelasan mendakwa terkejut berhubung kenyataan balas Faizah yang mendakwanya terburu-buru melafazkan cerai selepas 12 hari bernikah.
Roslin mendakwa mempunyai 1,001 sebab menceraikan Faizah, namun enggan menyatakannya dengan alasan biar ia didedahkan di mahkamah.
Dia turut mendakwa kesal berikutan Faizah membuat kenyataan media Selasa lalu, sedangkan kes perceraian itu sudah difailkan di mahkamah.
Roslin mendakwa kenyataan Faizah melalui media kelmarin boleh menjejaskan reputasi selain mengundang persepsi buruk masyarakat kepadanya.
Difahamkan, Roslin sudah memfailkan perceraian di Pejabat Pendaftar Mahkamah Syariah Kuala Lumpur, Isnin lalu, kerana beranggapan kes itu belum difailkan.
Faizah bagaimanapun sudah terlebih dulu memfailkan kes sama di Petaling Jaya pada 20 Februari lalu.
Rabu lalu, muka depan Harian Metro melaporkan kenyataan Faizah yang mendakwa Roslin mengambil keputusan terburu-buru menceraikannya walaupun baru 12 hari melayari bahtera hidup sebagai suami isteri.
Faizah yang bekerja di bahagian pentadbiran sebuah syarikat di Puchong berkata, kemelut melanda rumah tangga mereka sepatutnya boleh diselesaikan melalui perbincangan.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: