YASMIN AHMAD dan Pengurus Besar Filem dan Drama Primeworks Studios, Ahmad Puad Onah serta pelakon bergambar kenangan selepas sidang media filem Talentime. |
Filem papar aspek kemanusiaan arahan Yasmin pasti meruntun jiwa penonton
LATAR lagu Ore Piya dendangan penyanyi Bollywood, Rahat Fateh Ali Khan cukup menyentuh perasaan kala menonton buah tangan terbaru, Yasmin Ahmad menerusi filem Talentime. Kala meniti bait lirik lagu ini di dalam terjemahan bahasa Malaysia semasa pratonton filem itu minggu lalu, ternyata ia cukup membuai rasa. Seakan menonton filem Bollywood yang cukup sinonim dengan drama air mata. Sebaiknya, kalau merancang untuk menonton filem ini mungkin seelok-eloknya pastikan ada tisu di tangan.
Malah lagu lain yang melatari filem ini cukup mengesankan termasuk dendangan lagu daripada Aizat dan Atilia hasil komposisi penyanyi dan pencipta lagu, Pete Teo. Sentuhan pengarah yang cukup kontroversi ini seperti biasa cukup meruntun jiwa malah berpaksikan aspek kemanusiaan yang begitu dekat di hati kita. Dalam hilai tawa mengecapi kegembiraan pasti terselit kedukaan yang tak terduga.
Kata Yasmin, idea menggunakan lagu Ore Piya itu tidak dirancang dan berlaku secara kebetulan. Menurut pengarah Rabun dan Sepet itu, ia diumpamakan seperti rezeki terpijak yang sudah ditetapkan berada di depan kita. Malah menerusi Talentime, Yasmin buat pertama kalinya dapat bekerjasama dengan pelakon pujaannya, Azean Irdawaty.
“Kita selalunya merancang, Tuhan juga menentukan. Begitu juga dengan kesudahan filem ini dan filem saya yang sebelum ini yang berakhir tidak seperti yang dirancang awal sebagaimana tertulis dalam skrip. Saya menulis skrip berdasarkan pengalaman dan ia ada kalanya mungkin pernah dilalui kita sendiri. Kalau filem ini mendapat sambutan, alhamdulillah. Niat yang baik insya-Allah akan disusuli dengan perkara baik.
“Saya bangga dapat bersama dengan krew dan pelakon produksi filem ini biarpun hanya bersama 12 hari untuk menjalani penggambaran di Ipoh. Tapi sebelum itu selama dua bulan, pelakon yang terbabit menjalani latihan berlakon termasuklah sesi mengolah dan menukar skrip pada saat akhir.
TERAJU utama, Jaclyn Victor, Mahesh dan Pamela Chong antara yang menghidupkan jalan cerita Talentime. Pamela Chong adalah adik kepada Vince AF1. |
“Rezeki saya untuk bekerjasama dengan pelakon hebat juga bagaikan rahmat. Termasuklah dengan dua bintang yang saya sudah lama nantikan iaitu Kak Yan (Azean Irdawaty) dan Jaclyn Victor. Begitu juga dengan Syafie Naswip yang saya rasakan antara pelakon pelapis tempatan yang boleh menjadi yang terbaik suatu masa nanti. Kak Yan sendiri memuji kemampuan pelakon muda itu,” kata Yasmin Ahmad sewaktu sidang media filem ini diadakan.
Filem yang dipersembahkan Primeworks Studios melalui pembabitan Chilli Pepper Film ini bakal menemui peminat wayang tempatan mulai 26 Mac ini. Dibintangi pelakon baru dan lama termasuk Mahesh Jugal Kishor, Pamela Chong, Adibah Noor, Sukania Venu Gopal, Susan Chong, Mislina Mustaffa dan Harith Iskander, ternyata satu paduan hebat yang terus membuatkan filem ini mengalir dengan jalur yang tersendiri.
Selain kehebatan Shafie Naswip yang cukup sinonim menerusi filem Mukhsin arahan pengarah yang sama, percubaan sulung penyanyi, Jaclyn Victor tidak mengecewakan. Pelakon baru, Mahesh yang diperkenalkan Vernon Kedit Jolly cukup baik melakonkan watak lelaki bisu.
Ditanya kepada Yasmin sendiri apa yang dititik beratkan dalam mendapatkan pelakon yang diimpikan bagi merealisasikan naskhah skripnya, jawabnya ialah karisma.
“Sebagai contoh, letak saja Harith Iskander di depan kamera dia ada perasaan semula jadi untuk menarik minat orang menonton lakonannya. Sesetengah pengarah mungkin memandang kebolehan seseorang pelakon untuk membuat penyelidikan watak yang diberi, tapi saya tekankan soal karisma.
“Saya belajar perkara ini daripada seorang pengarah dari Chekolosvakia bernama Jiri Menzel. Karisma ini tidak dibuat-buat, ia mungkin datang secara semula jadi. Sharifah Amani juga mempunyai ciri apa yang disebut tadi kerana kehadirannya dalam sebuah babak mampu membuat orang terpana,” katanya yang turut dibantu pelakon Sharifah Amani sebagai pembantu pengarah.
Seperti kebiasaan filem terdahulu, Yasmin begitu tegar memaparkan jalinan pelbagai bangsa yang ada di Malaysia. Jika di dalam Sepet dijelmakan cinta antara orang Melayu dan Cina, Talentime pula melihat versi cinta lelaki India bernama Mahesh dan Melur, gadis Melayu kacukan Inggeris. Mahu atau tidak, ini mungkin cap dagang atau label Yasmin Ahmad sendiri. Dalam erti kata lain, inilah cara Yasmin yang setia mengetengahkan paksi majmuk.
Pelbagai mesej yang cuba disampaikan Yasmin di dalam filem ini termasuklah erti persahabatan dan cinta yang begitu dekat dengan sesiapa saja yang bergelar manusia. Begitu juga kasih sayang seorang anak terhadap ibu yang sedang berperang dengan kesakitan. Cinta si bisu dengan manusia sempurna yang memberi simbolik kepada cinta hadir secara diam dan tanpa kata-kata. Pertemuan mereka mula berputik dalam satu pertandingan mencari bakat di sekolah yang dipanggil sebagai ‘talentime’.
Filem ini juga dicalonkan untuk Anugerah Signis di Festival Filem Hong Kong pada 22 Mac ini. Kata Yasmin, pertandingan talentime itu hanyalah subjek yang pada dasarnya bukanlah hanya kepada bersaing sesama sendiri untuk menjadi juara. Katanya lagi, ia lebih daripada itu sebagai contoh dalam mengenal erti persahabatan yang tidak boleh dijual beli.
Filem terakhir Kak Yan?
SEMENTARA itu, Kak Yan yang mengidap penyakit barah payu dara bangga dapat berlakon di bawah arahan Yasmin Ahmad buat julung kalinya. Dengan keadaan dirinya yang tidak mengizinkan hingga terpaksa bergerak menggunakan kerusi roda, pelakon berbakat besar ini belum pasti bila lagi dia akan kembali berlakon.
Malah, jika ditakdirkan tidak boleh berlakon lagi, Kak Yan tetap boleh tersenyum dan berpuas hati mengatakan filem Talentime bakal menjadi filem terakhirnya. Berkongsi pengalaman bekerja di bawah seliaan Yasmin Ahmad, Kak Yan memberitahu dia menerima tawaran Yasmin tanpa banyak soal.
“Kebiasaannya Kak Yan kalau menerima tawaran berlakon pelbagai soalan akan ditanya. Kak Yan memang cerewat bab ini termasuklah bertanya siapa pengarah, pelakon, pengangkutan, makanan, tempat tidur dan berapa hari penggambaran memakan masa. Kalau ada 71 soalan, soalan yang terakhir barulah Kak Yan sentuh mengenai bayaran.
“Berlainan dengan Yasmin, dapat saja tawaran Kak Yan terus cakap setuju tanpa tengok skrip langsung. Kalau dia (Yasmin) cakap dia tergila-gilakan Kak Yan untuk diambil berlakon, Kak Yan pun tertunggu-tunggu peluang berlakon di bawah arahannya.
“Cuma apa yang Kak Yan minta untuk filem ini ialah dapat disesuaikan dengan keadaan Kak Yan yang tak mengizinkan. Dia memahami dan hanya sehari saja babak membabitkan Kak Yan diselesaikan membabitkan babak di atas katil dan kerusi roda. Di set penggambaran, Kak Yan dilayan bagaikan primadona,” katanya sambil tersenyum, sambil memberitahu pengarah Shuhaimi Baba yang menonton filem ini sewaktu pratonton kali pertama diadakan turut memuji mutu lakonannya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: