DARI (kiri); LJ, Wangi, Nikki, Farah dan Jac. |
Jac, Nikki, Farah, LJ dan Wangimengucapkan terima kasih kepada Rangkaian Hotel Seri Malaysia kerana menaja penginapan kru dan selebriti ABPBH2008
MEREKA cantik dan berbakat. Masing-masing dikurniakan dengan wajah menarik serta keupayaan yang bukan sedikit dalam bidang seni. Kehadiran Jaclyn Victor atau Jac, Nikki, Farah Asyikin, Liyana Jasmay (LJ) dan Wangi Julianda memeriahkan dunia muzik dengan suara serta gaya mereka.
Tidak cukup dengan semua itu, cerita peribadi atau kisah cinta, lebih tepatnya cerita lelaki dalam hidup mereka, turut diperkata. Maklum saja, mereka wanita popular yang semakin mendapat tempat di hati peminat. Lalu, apa saja perkembangan diri, sama ada karier mahupun tidak, ingin juga diketahui semua.
Siri jelajah Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2008 yang baru saja berlangsung di Kuantan Parade, Kuantan, pada 21 dan 22 Mac lalu menemukan kelima-lima insan terkenal ini. Apa lagi, apabila lima bintang yang menawan ini duduk bersama, pelbagai cerita keluar daripada mulut mereka.
Jac hadir di Kuantan sebagai finalis Penyanyi Wanita Popular, manakala Liyana bersaing dalam kategori Pelakon Filem Wanita Popular. Remaja peramah dari Bandung, Wangi dan rakannya dalam The Fabulous Cats pula berentap merebut trofi Penyanyi Berkumpulan/Duo Popular di Arena of Stars Genting Highlands, 12 April ini.
Dua lagi artis berbakat, Nikki dan Farah ialah penyanyi jemputan siri promosi ABPBH 2008 bagi edisi Kuantan. Nikki sendiri pernah dicalonkan dalam ABPBH 2006 apabila gandingannya bersama Zahid menerusi lagu Caramu mendapat perhatian ramai peminat. Sementara itu, Farah bakal menggegarkan Arena Of Stars dengan persembahannya pada acara kemuncak di Kota Keriangan nanti.
PEMINAT bertuah bersama artis bergambar kenangan dengan kereta Nissan Sylphy dan Grand Livina. |
Sewaktu menyertai siri promosi di Pantai Timur itu, beberapa peminat lelaki nampaknya tidak melepaskan peluang mengusik manja artis wanita pujaan mereka. Dalam hati, mungkin mereka berharap, suatu hari nanti artis ini bisa menjadi suri di hati?
Lupakan saja seandainya peminat ingin menyunting Jac mahupun Nikki. Kedua-duanya sudah pun menjadi tunangan orang dan kini hanya menghitung hari untuk bergelar isteri. Jac sendiri kini tidak selesa sekiranya jari manis yang runcing itu tiba-tiba kosong tidak dililit cincin tanda cinta pemberian Christopher John Bellamy.
Sewaktu menghadiri sesi fotografi di Balai Berita baru-baru ini, umpamanya, dia cepat-cepat bertanya kepada pengurusnya, di mana cincin kesayangan itu sebaik saja dia perasan ada sesuatu yang tidak kena pada jarinya yang sudah biasa dengan kewujudan tanda cincin itu.
Cuma, Jac dan Christopher masih menunggu waktu terbaik untuk kedua-duanya mengakhiri pertunangan dengan sebuah ikatan lebih bermakna, perkahwinan. Apabila tiba waktunya nanti, dia pasti akan memaklumkan pada semua, janji wanita Gemilang ini.
ARTIS sporting bergambar bersama peminat. |
Nikki akhiri zaman solo 27 Jun
NIKKI juga nampaknya berdebar menunggu saat dia dan komposer Audi Mok disatukan sebagai suami isteri. Sedikit berbeza dengan Jac, wanita kelahiran Tambunan, Sabah ini bagaimanapun sudah menetapkan 27 Jun depan sebagai detik dirinya menukar status diri.
Kira-kira tiga tahun keluar bersama, pemilik nama asal Nicolette Louisa Palikat ini akhirnya akur cinta Audi padanya cukup kuat untuk dia menerima lelaki itu sebagai suami. Namun begitu, mereka tidak menginginkan sebuah majlis perkahwinan besar-besaran, walaupun kedua-duanya insan popular dalam persada seni.
“Kami mengidamkan sebuah perkahwinan yang sederhana saja. Justeru, kami memilih untuk disatukan di gereja yang sering kami berdua hadiri, Gereja St Francis Xavier di Jalan Gasing. Pada sebelah malamnya, sebuah majlis makan malam diadakan di Melaka.
“Kemudian, kami akan berbulan madu sama ada di Bali ataupun mengikuti percutian di atas kapal. Kedua-duanya kedengaran begitu romantik, sebab itulah kami susah hendak membuat keputusannya,” kata Nikki.
Farah elak topik lelaki
BAGI penyanyi lagu Hello, Farah, ketika ini dia lebih suka memikirkan soal karier yang mula menampakkan sinar hasil kelahiran album pertama yang menggunakan nama sendiri sebagai judul pada 2007. Topik mengenai lelaki, jika boleh, ingin diketepikan dulu sehinggalah dia benar-benar bersedia untuk membuka mulut berbicara mengenai hal itu.
Maklum saja, apabila dirinya kini tidak lagi berpunya, selepas berpisah dengan bekas suami, Dr Fariz Yahya, tentu soalan cepumas apakah dia sudah mempunyai pengganti tidak lekang dari mulut wartawan hiburan, atau peminat sendiri.
Kata Farah berjenaka: “Saya belum ada sesiapa… Kalau sudi, tolonglah carikan calonnya.”
Begitupun, wanita yang popular menerusi program realiti Malaysian Idol dan One In A Million (OIAM) ini tetap menjadi permainan gosip apabila dia dikatakan rapat dengan seorang lagi bekas peserta OIAM, Mark.
Masih muda untuk bercinta
DESAS-DESUS juga kencang melanda pelakon dan penyanyi, Liyana, apabila dia dilihat cukup rapat dengan bintang Akademi Fantasia, Aizat. Lebih-lebih lagi, kedua-duanya masih muda dan sama-sama popular. April ini pula, kedua-duanya akan sama-sama melintasi permaidani merah sebagai finalis ABPBH. Aizat ialah calon Top 5 kategori Penyanyi Lelaki Popular.
Namun Liyana tidak mudah melatah dengan usikan media. Dia tenang berdepan dengan segala gossip mengenai dirinya. Jauh di lubuk hati pelakon yang mula berjinak-jinak dalam dunia nyanyian ini mengetahui, usianya sendiri masih begitu muda untuk memikirkan soal alam rumah tangga.
Lalu, persahabatan bersama Aizat bukanlah titik noktah kepada segala-gala. Ada keserasian dalam persahabatan sesama artis yang dijalin, jadi tidak salah kedua-duanya terus berkawan baik. Katanya, soal jodoh masih terlalu jauh untuk difikir.
Setahun tinggalkan universiti
MANAKALA Wangi yang menyertai The Fabulous Cats kira-kira dua bulan lalu pula mengakui agak serasi dengan anggota sedia ada kumpulan berkenaan. Bahkan, Wangi mendedahkan betapa Cat, Adeep dan Farhana menganggapnya sebagai adik bongsu keluarga muzik itu.
Masih menuntut di sebuah universiti di Bandung dalam bidang pengurusan, Wangi mengaku belum mempunyai kekasih kerana tumpuannya kini adalah pada muzik yang dicintai sejak kecil. Dia pernah mempunyai album kanak-kanak ketika berusia 10 tahun.
“Saya mengambil cuti setahun daripada universiti, semata-mata untuk memberikan tumpuan kepada dunia muzik. Keluarga juga cukup memberikan sokongan kepada keputusan ini,” katanya yang turut mempunyai sebuah kumpulan muzik lain di kota kelahirannya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: