Kuantan Parade bergegar dengan kehadiran finalis mendekati peminat mereka sempene siri jelajah ABPBH2008
KEMERIAHAN pada acara siri jelajah promosi Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2008 berterusan apabila rombongan yang turut disertai 13 artis, solo mahupun berkumpulan, singgah di Kuantan Parade, Kuantan, Ahad lalu.
Mengekalkan status sebagai siri jelajah paling popular, acara promosi di kompleks beli-belah terkenal di Pantai Timur berkenaan berjaya menarik lebih 5,000 penonton menyaksikan pelbagai gelagat selebriti kesayangan mereka.
Sebelum ini, jumlah yang lebih kurang sama turut dicatat pada acara serupa yang berlangsung di Village Mall, Sungai Petani, Kedah, pada 27 dan 28 Februari; Kompleks Pusat Bandar, Pasir Gudang, Johor (7 dan 8 Mac); dan Mydin Mall, Kuala Terengganu, Terengganu (13 dan 14 Mac).
Kuantan Parade menjadi persinggahan keempat dalam siri promosi ABPBH 2008 sebelum tibanya acara kemuncak yang akan berlangsung di Arena of Stars, Genting Highlands, pada 12 April nanti. Sebelum itu, siri jelajah ini akan bertandang pula di Batu Pahat Mall, Johor pada 28 dan 29 Mac, diikuti siri promosi terakhir di Klang Parade, pada 3, 4 dan 5 April.
Tidak hairanlah sekiranya setiap kali siri jelajah ini tiba di mana-mana bandar, peminat berpusu-pusu datang memberikan sokongan kerana ia menjadi satu-satunya agenda yang mampu menghimpunkan selebriti daripada pelbagai cabang seni seperti lakonan, nyanyian, pengacaraan dan penyampaian dalam satu acara.
SEORANG peminat menunjukkan gambarnya bersama artis kesayangan. |
Di Kuantan, umpamanya, bukan hanya nyanyian artis dan kumpulan terkenal masa kini seperti Jaclyn Victor, Aizat, Farah Asyikin, Nikki, The Fabulous Cats dan Kristal yang dapat disaksikan peminat, malah buat pertama kalinya pelakon remaja, Liyana Jasmay, turut memperdengarkan nyanyiannya menerusi single Aku Tak Percaya Cinta.
Siapa sangka gadis manis yang membuat penonton terpegun dalam filem Histeria dan bakal menghiburkan orang ramai dengan filem Papadom sedikit masa lagi ini berbakat dalam nyanyian? Hanya pada siri promosi ABPBH peminat dapat menyaksikan kehebatannya di pentas muzik.
Mungkin selepas dicalonkan ke peringkat akhir kategori Pelakon Filem Wanita Popular untuk edisi ke-22 ABPBH, tahun depan dia dicalonkan pula dalam kategori penyanyi?
Selain berhibur dengan dendangan lagu popular beberapa kumpulan serta penyanyi terbabit, peminat yang memenuhi setiap inci ruang legar pusat beli-belah berkenaan juga bergelak ketawa dengan sketsa yang dipersembahkan pelakon pujaan mereka seperti Farid Kamil, Lisa Surihani, Fizo Omar, Sari Yanti dan Ashraf Muslim.
KUMPULAN Kristal menghangatkan Kuantan Parade dengan persembahan mereka. |
Siapa yang tidak pecah perut apabila Farid dan Lisa mengadakan kelas lakonan untuk menjiwai watak mat dan minah rempit? Apatah lagi apabila pasangan pengacara Along dan Angah membantu dengan jenaka mereka yang tidak pernah membosankan itu.
Petang itu, dapatlah peminat melihat sendiri bagaimana Farid berlakon sebagai perempuan yang cuba digoda serta pelbagai lagi aksi mencuit hati daripada rakan yang lain. Sebelum itu, pasangan pelakon yang masing-masing dicalonkan dalam kategori artis baru, Fizo dan Sari Yanti turut mengajak peminat mereka beraksi dalam drama sebabak mengisahkan bagaimana dua insan bercinta yang bergaduh. Penonton tidak berhenti gelak apabila beberapa peminat turut menunjukkan kebolehan mereka.
Kuantan Parade juga menyaksikan penampilan penyanyi berbakat, Mohd Zaki Zainal, yang mendendangkan lagu Sampai Syurga pada acara promosi terbabit. Dia ialah pemenang Bintang Idola Berita Harian (BIBH) bagi siri promosi di Kuantan, dan akan bertanding pada acara final bersama lima lagi juara peringkat siri promosi di Klang nanti.
BIBH diadakan pada setiap lokasi persinggahan siri promosi ABPBH 2008. Di Kuantan, ia mencatat sejarah tersendiri apabila menyaksikan tiga peserta bukan Melayu turut menghadiri uji bakat dan seorang daripada memboloskan diri ke peringkat akhir yang diadakan pada sebelah pagi, 22 Mac lalu. Ia juga mencatat jumlah penyertaan teramai sehingga kini apabila lebih 100 peserta mendaftar pada sesi uji bakat Sabtu lalu.
Beruntungnya peminat yang datang ke siri promosi di Kuantan Parade kerana mereka bukan hanya dapat menyaksikan kemunculan bintang pujaan masing-masing, malah sebahagiannya pula sempat merakam kenangan bersama penyanyi dan pelakon kesayangan berlatarkan backdrop ABPBH yang kemudiannya dicetak pula untuk mereka. Semua itu menjadi milik peminat dengan harga RM10 saja!
Peminat bertuah pula berpeluang menjawab kuiz spontan ABPBH 2008, seterusnya memenangi pelbagai hadiah istimewa, selain diberikan peluang menaiki kenderaan tajaan Edaran Tan Chong Motor Sdn Bhd bersama bintang idola masing-masing.
Kuantan sememangnya tidak pernah mengecewakan apabila peminat sering kali memberikan sokongan padu setiap kali rombongan promosi ABPBH menjejakkan kaki ke bandar ini. Tahun depan, pasti acaranya lebih hebat dan meriah lagi.
INFO:
- ACARA promosi di Kuantan sepatutnya dikendalikan oleh Angah, Along dan Kieran dari Hot FM. Bagaimanapun penyampai popular itu hanya muncul seketika cuma pada awal acara, berikutan keadaan kesihatan yang tidak mengizinkan untuk dia berada lebih lama di pentas tempat acara berlangsung. Namun, dua bekas peserta Raja Lawak itu bijak menghidupkan suasana sepanjang hampir empat jam acara berjalan. Ada saja lawak dan aksi mereka yang memecahkan perut penonton.
- BERCERITA mengenai keadaan kurang sihat, ia turut menimpa anggota kumpulan The Fabulous Cats. Farhana tidak dapat mengikuti tiga anggota lain (Cat Farish, Adeep & Wangi) ke Kuantan apabila dia dikatakan diserang gastrik yang teruk. Begitupun The Fabulous Cats tetap memberikan persembahan hebat tatkala menyanyikan lagu Slot Akasia, Bawaku Terbang dan Papa Jahat. Misi seterusnya, finalis kategori Penyanyi Berkumpulan/Duo Popular ini akan cuba menawan pasaran Indonesia!
- ANTARA lagu yang dipersembahkan artis pada petang Ahad lalu termasuk Selamat Tinggal dan Cantik oleh Nikki, Hello dan 1000 Penipuan (Farah Asyikin), Gemilang dan Satu Harapan (Jaclyn Victor), Lagu Kita dan Hanya Kau Yang Mampu (Aizat) serta Memburu Impian, Bertemasya, Cinta Tiga Segi dan Basikal Tua (Kristal).
- SEPANJANG dua hari siri promosi diadakan di Kuantan Parade, Pos Malaysia turut membuka gerai mereka di pusat beli-belah terbabit. Ia dikunjungi ramai peminat yang ingin mendapatkan setem istimewa dengan gambar mereka dicetak bersama setem pilihan masing-masing dengan bayaran hanya RM19
- ACARA pembuka tirai siri promosi di Kuantan dilakukan artis baru, Heela, diikuti mainan gitar oleh Rosli Mohalim sambil diiringi nyanyian Izzati serta Fazlin.
- DIFAHAMKAN, sepanjang dua hari di pusat beli-belah itu, beberapa tempahan turut diterima penaja ABPBH 2008, Edaran Tan Chong Motor yang tidak melepaskan peluang mempromosikan kereta Nissan Sylphy serta Grand Livina, yang masing-masing bakal menjadi milik Bintang Paling Popular dan pembaca bertuah.
- KETIKA berada dalam bas persiaran tajaan Sinar Mas Travel & Tours, Fizo serta beberapa artis lain mengaku rindukan pelakon Kenchana Dewi. Kata mereka, Kenchana yang sering mengikuti rombongan promosi sebelum ini seorang penghibur yang menyenangkan hati, kerana dia tidak pernah kering dengan idea untuk menghilangkan kebosanan akibat perjalanan jauh.
- SELEPAS tamat acara di Kuantan Parade, rombongan dibawa menjamu selera di Restoran Aneka Selera Kak Long Ikan Bakar - Tomyam dan Seafood, di Kuantan. Sesudah menghabiskan suapan terakhir, tiba-tiba terdengar nyanyian Selamat Hari Lahir yang ditujukan buat Lisa Surihani. Rupa-rupanya pelakon itu genap berusia 23 tahun keesokan hari iaitu pada 23 Mac. Namun, apabila sudah berkumpul begitu, penganjur tidak lupa memberikan kejutan besar buat pelakon ini. Menggigil jarinya untuk
memotong kek, apabila lagu hari jadi dinyanyikan berkali-kali oleh Cat dan rakan-rakan lain. - PENGINAPAN rombongan siri promosi ABPBH 2008 di Kuantan ditaja oleh Rangkaian Hotel Seri Malaysia Kuala Lumpur.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: