ANITA Sarawak dan Faizal Tahir bakal menggegarkan Minggu Setiausaha PNB Darby Park. |
Bakal membuat persembahan sempena Minggu Setiausaha di PNB Darby Park pada 7 April
AKSI energetiknya ketika beraksi di pentas pasti memukau sesiapa saja yang menyaksikan persembahannya. Kelincahan seorang penyanyi hebat bernama Anita Sarawak dalam usia emasnya cukup dikagumi.
Sama ada pertama kali menyaksikan persembahannya atau mungkin sudah berkali-kali menonton aksi penyanyi yang senang menggelarkan dirinya sebagai Kak Nita, semua pasti bersetuju dengan kehebatannya.
Komitmen tinggi apabila muncul di pentas menyebabkan penyanyi kelahiran Singapura ini sering kali menjadi perhatian penganjur. Setiap kali April menjelang, dia pasti menjadi buruan penganjur Minggu Setiausaha. Malah Anita sanggup terbang beribu batu dari Las Vegas demi memenuhi undangan Minggu Setiausaha.
Begitulah tingginya komitmen diberikan wanita yang meraikan ulang tahun ke-57 semalam. Meskipun tahu dirinya menjadi buruan penganjur, Anita mempunyai prinsip sendiri iaitu tidak menerima lebih daripada satu tawaran dalam sesuatu masa.
Justeru pada Minggu Setiausaha yang bakal hadir tidak lama lagi, persembahan eksklusif Anita Sarawak hanya dapat disaksikan di Pusat Konvensyen Sime Dary anjuran PNB Darby Park pada 7 April nanti.
“Sepanjang menjayakan Minggu Setiausaha, Kak Nita hanya akan menerima satu tawaran saja. Belum pernah lagi Kak Nita menerima dua atau tiga tawaran dalam satu masa. Kak Nita mahu PNB Darby Park mendapat hak eksklusif itu.
“Memang tidak dinafikan setiap kali Minggu Setiausaha menjelang, Kak Nita akan menerima banyak panggilan telefon dari penganjur. Sehingga kini pun Kak Nita masih menerima tawaran, tetapi terpaksa ditolak kerana Kak Nita sudah bersetuju untuk bekerjasama dengan PNB Darby Park. Mereka sudah berkali-kali meminta Kak Nita tetapi Kak Nita sudah terikat dengan penganjur lain, hanya tahun ini saja dapat Kak Nita penuhi undangan mereka,” katanya.
Selain Anita, PNB Darby Park turut membawa bersama penyanyi yang sedang rancak mencipta nama, Faizal Tahir. Penyanyi yang popular dengan lagu Sampai Syurga itu bakal membuat persembahan pembukaan dengan mendendangkan empat buah lagu popularnya. Bagaimanapun keduanya tidak akan berduet.
Penolong Pengurus Eksekutif PNB Darby Park, Muhammad Taha Zainal, berkata pemilihan Anita Sarawak dan Faizal Tahir dibuat berdasarkan kaji selidik yang dilakukan tahun lalu.
“Daripada kaji selidik yang kita lakukan terhadap setiausaha dalam Minggu Setiausaha tahun lalu, kebanyakan mereka memilih untuk melihat persembahan Anita Sarawak dan Faizal Tahir. Dari situ, kami berpendapat gabungan dua penyanyi ini pasti akan menjadikan Minggu Setiausaha ini lebih hebat memandangkan nama serta bakat besar dimiliki dua penyanyi ini,” kata Muhammad Taha.
Sebagai kelainan juga, PNB Darby Park menetapkan tema kepada tetamu yang hadir. Tahun ini, tema hitam dan perak menjadi pilihan. Tambah Muhammad Taha lagi, cara begini akan menjadikan majlis itu meninggalkan memori kepada tetamunya.
Minggu Setiausaha anjuran PNB Darby Park bersama Anita Sarawak dan Faizal Tahir juga bakal menawarkan hadiah menarik kepada tetamunya sehingga RM30,000. Ia sekali gus menjadikannya Minggu Setiausaha yang menawarkan hadiah paling mahal.
Antara hadiah menarik yang menanti tetamu bertuah ialah set bilik tidur bernilai RM18,000 sumbangan Empire Classic Furniture. Selain itu tujuh set mutiara bernilai RM10,000 setiap satu sumbangan Rafflesia The Pearl Centre juga bakal menjadi milik tetamu bertuah serta beberapa hadiah sumbangan Silvana Ultimate, Jovian Mandagie dan Emma Lisz.
Tak gentar peningkatan usia
PENINGKATAN usia tidak pernah membimbangkan penyanyi, pengacara dan juga pelakon ini. Dia juga adalah selebriti yang tidak pernah malu mendedahkan usia sebenar tidak seperti selebriti lain yang terlalu sensitif berkaitan usia.
Setiap kali ditanya soal usia, dengan segera dia memberikan jawapan tanpa berselindung. Tidak hairan sesiapa yang baru berkenalan dengan Anita akan mudah sekali terpesona kepadanya.
Tiada parti besar-besaran sempena meraikan usia ke-57nya, sebaliknya Anita hanya memilih untuk mengadakan doa selamat secara kecil-kecilan bersama suami tersayang Mohamad Mahathir Abdullah, serta ibu dan adik beradiknya.
“Tidak ada yang penting bagi Kak Nita selain dipanjangkan usia serta dimurahkan rezeki. Selain itu Kak Nita juga berharap agar dikurniakan tubuh badan sihat walafiat supaya dapat Kak Nita menggembirakan hati peminat.
“Kak Nita juga harap dikurniakan kesihatan supaya dapat terus bersama dengan Abang Mahathir kerana dia seorang suami yang banyak bersabar dengan kerenah Kak Nita.
“Kak Nita tidak pernah takut dengan peningkatan usia kerana sekalipun berada dalam umur begini, Kak Nita masih lagi diterima. Itu yang menambahkan keyakinan Kak Nita untuk terus bekerja hingga sekarang,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: