ANTARA finalis yang bertemu peminat di Batu Pahat. Dari kiri, Stacy, Nubhan, Faizal Tahir, Scha, Aznil Nawawi, Mawi dan Saiful Apek. |
Catat sejarah sebagai siri jelajah promosi ABPBH 2008 paling ramai selebriti
DETIK kemuncak semakin mendekati, bahang kehangatan acara hiburan berprestij, Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH 2008) kian terasa dan siri promosi juga terus mendapat sambutan hebat finalis serta pembaca Berita Harian.
Berbaki dua lokasi untuk dijelajahi sebelum kemuncak acara berlabuh di Arena Of Stars, Genting Highlands pada 12 April depan, namun ABPBH 2008 berjaya mengumpul kelompok peminat yang setia mengikuti perkembangannya.
Empat lokasi dijelajahi sebelum ini iaitu Village Mall, Sungai Petani, Kedah; Kompleks Pusat Bandar Pasir Gudang, Johor; Mydin Mall, Kuala Terengganu dan Kuantan Parade, Pahang menunjukkan sambutan hebat pembaca di luar jangkaan.
Justeru, siri promosi terakhir di luar Lembah Klang di Batu Pahat Mall, Johor, Sabtu dan Ahad ini membariskan himpunan 22 finalis dan selebriti dijangka menghangatkan lagi acara yang dinanti pencinta dunia hiburan.
Pengurus Promosi dan Pemasaran, Persatuan Akademi Industri Muzik Malaysia (PAIMM), Mas Ayie Mas Omar berkata, siri promosi ABPBH 2008 di Batu Pahat Mall melakar sejarah tersendiri apabila berjaya menarik nama besar industri hiburan untuk turut sama menghangatkan acara.
Nama seperti Mawi, Stacy, Aznil Nawawi, Faizal Tahir, Saiful Apek, Vanidah Imran, Kenchana Dewi, Estranged serta pasangan, Scha dan Fahrin Ahmad diyakini mampu mengundang tarikan peminat untuk turut serta memeriahkan siri promosi ABPBH 2008.
“Buat pertama kali, siri promosi ABPBH 2008 di luar Kuala Lumpur berjaya menarik penyertaan begitu ramai finalis untuk turut sama menjayakannya sekali gus membuktikan betapa acara berprestij ini mempunyai pengaruh besar kepada penggiat industri hiburan.
“Kehadiran nama besar ini secara tidak langsung membuktikan penghargaan dan tanda terima kasih mereka kepada peminat yang setia menyokong perjuangan seterusnya meletakkan mereka pada kedudukan selesa.
“Berdasarkan penyertaan nama besar ini, kami percaya siri promosi terakhir di luar Lembah Klang ini akan menjanjikan kepuasan kepada peminat untuk mendekati bintang kesayangan mereka,” katanya.
Siri promosi ABPBH 2008 di Batu Pahat Mall juga menyaksikan kemunculan nama yang sedang menyinar seperti Aizat, Nubhan, Lisa Surihani, Farid Kamil, The Fabulous Cats, Ayu (OIAM), Fizo Omar dan AG (Hot FM) yang akan menyertai Along dan Angah (Raja Lawak) sebagai pengacara.
“Seperti di lokasi lain, siri promosi ABPBH 2008 memberi ruang kepada semua peminat untuk mendekati artis kesayangan mereka menerusi pelbagai aktiviti yang disediakan.
“Satu-satunya keistimewaan mengenai siri promosi ABPBH 2008 apabila pembaca diberi peluang untuk menaiki kereta Nissan Sylphy 2.0L dan Grand Livina 1.8L bersama artis kesayangan di sekitar bandar Batu Pahat.
“Jika pembaca ingin merasai pengalaman manis itu, dijemput beramai-ramai untuk memeriahkan Batu Pahat Mall pada hari berkenaan,” katanya.
Dua hari acara, hari pertama menyaksikan peminat berpeluang menyertai pertandingan Bintang Idola Berita Harian (BIBH) dan penyertaan dibuka hanya untuk 100 peserta pertama yang mendaftar.
Berdasarkan sambutan hebat di empat lokasi sebelum ini, Mas Ayie menjangkakan persaingan di Batu Pahat Mall lebih sengit, apatah lagi ia antara peluang terakhir untuk peminat mencuba nasib sebelum pemenang berentap pada pusingan akhir di Klang Parade dari 3 hingga 5 April nanti.
“Pendaftaran dibuka dari jam 10 pagi dan kami cuma memperuntukkan 100 penyertaan supaya penilaian dapat dilakukan seadilnya oleh juri terpilih.
“Daripada jumlah itu, hanya 10 yang dipilih untuk kembali bertanding pada acara kemuncak Ahad ini di mana pemenang utama akan diberi peluang untuk beraksi merebut gelaran juara keseluruhan pada siri promosi terakhir di Klang Parade nanti,” katanya.
Menghargai kesungguhan mereka, pemenang utama akan diberi layanan seperti bintang pada malam kemuncak ABPBH 2008 selain berpeluang membuat persembahan di hadapan lebih 8,000 penonton ketika acara berlangsung.
“Juara juga akan diberi peluang untuk menunjukkan bakat pada siri promosi terakhir di Klang Parade nanti bersama-sama dengan barisan finalis yang menyertai acara itu,” katanya.
Selain itu kata Mas Ayie, peminat juga berpeluang mendapatkan pelbagai cenderamata dan barangan eksklusif Berita Harian selain memenangi undangan ke acara kemuncak ABPBH 2008.
Untuk kemuncak acara, peminat disajikan dengan pelbagai persembahan hiburan serta kemunculan artis kesayangan mereka untuk menyertai pelbagai permainan dan aktiviti menarik.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: