JAY JAY menjadi juri undangan di samping pengkritik tetap OIAM 3, Paul dan Syafinaz. |
Persembahan Amylea, Nine dalam One In A Million lebih menyerlah
PESERTA berasal dari Kota Kinabalu, Sabah, Elizabeth Applunius Chin atau Esther menerima imuniti buat kali kedua hanya kerana kelincahannya mendendangkan lagu milik Maroon 5, I Won't Go Home Without You.
Esther menerima imuniti kali pertama pada minggu pertama persembahan diikuti Amylea dan seterusnya Tomok, sebelum imuniti itu kembali ke tangannya dan menyelamatkan peserta berusia 21 tahun itu daripada disingkirkan Jumaat ini.
Pemberian imuniti menurut dua pengkritik tetap Syafinaz Selamat dan Paul Moss diberikan kepada peserta yang menunjukkan peningkatan dalam persembahan mereka.
Mungkin Esther kelihatan energetik tetapi yang menjadi persoalan bagaimana pengkritik boleh tertarik kepada persembahannya sedangkan sebutan perkataan bahasa Inggerisnya langsung tidak jelas serta melodi yang tidak kedengaran seperti lagu Maroon 5.
Malah persembahan beberapa peserta pada malam itu juga kelihatan lebih menyerlah dan menarik berbanding Esther terutama Amylea yang tampil kreatif mengubah lagu Jason Mraz, I'm Yours dengan susunan muzik yang cukup menarik dan vokal yang seperti biasa sentiasa mengagumkan.
ESTHER (tengah) mendapat imuniti kali kedua. |
Namun persembahan gadis genit berasal dari Pulau Langkawi itu tidak berjaya menambat hati juri. Penulis mungkin tidak mempunyai ilmu muzik seperti dua pengkritik tetap OIAM, mereka lebih tahu apa yang diingini tetapi ada ketikanya seakan wujud 'bias' di dalam komen diberikan.
Selain Amylea, peserta lain yang turut menyerlah pada malam itu ialah Nine yang memilih lagu Karma daripada kumpulan Cokelat. Persembahan anak muda yang berasal dari Kedah itu kelihatan berbeza berbanding persembahannya sebelum ini apabila mengubah lagu milik band Indonesia itu ke rentak jazz, namun seperti Amylea, Nine juga gagal memikat hati juri.
Begitu juga dengan Ridzuan Sharifuddin atau Rizu, 19, yang juga bertenaga ketika menyanyikan lagu milik Duffy, Mercy tetapi kata Syafinaz persembahan Rizu ada kekuatan dan kelemahan.
Pengkritik itu ketika sidang media sejurus selepas berakhirnya persembahan minggu kelima berkata, imuniti diberikan kepada peserta yang menunjukkan peningkatan setiap minggu. Katanya, minggu ini Esther memberikan sebuah persembahan yang menyerlah dan ia amat berbeza dengan persembahannya minggu lalu.
AMYLEA terus mendapat pujian daripada Paul dan Syafinaz. |
"Minggu lalu saya tidak suka dengan persembahan Esther, bagaimanapun minggu ini dia berjaya membuatkan saya sukakan persembahannya. Amylea pula bukan tidak bagus, memang dia memiliki vokal yang bagus tetapi saya melihat persembahannya statik setiap minggu.
"Amylea tidak cuba sesuatu yang baru atau cuba membuat suatu kelainan. Sebaliknya Esther minggu ini kelihatan cukup menonjol," katanya.
Amylea pula berkata, dia tidak kisah sekalipun persembahannya tidak dipilih untuk memenangi imuniti asalkan penonton berpuas hati dengan susunan lagu yang dibuatnya sendiri.
"Saya menghabiskan masa berhari-hari dengan meminjam komputer riba seorang rakan untuk menghasilkan susunan muzik seperti malam ini dan rasa amat berpuas hati kerana ada yang suka dengan hasil kerja saya ini. Selain itu, saya juga amat berterima kasih kepada Aubrey Suwito kerana dia tahu apa yang saya mahukan. Malah saya tidak kisah walaupun tidak berjaya memenangi imuniti asalkan penonton berpuas hati dengan persembahan saya," katanya.
Paul Moss berat sebelah?
KRITIKAN negatif yang diberikan setiap kali peserta mendendangkan lagu Melayu menyebabkan ramai berpendapat pengkritik tetap OIAM yang mula dikenali sejak Malaysian Idol musim pertama itu seakan berat sebelah ketika memberikan komen.
Paul jarang memberikan pujian kepada lagu Melayu sekalipun persembahan peserta di mata penonton memuaskan hingga menyebabkan ramai yang semakin tidak berpuas hati dengan kritikannya.
Komen serupa jarang diberikan jika peserta mendendangkan lagu Inggeris menyebabkan timbul persoalan apakah pengkritik itu tidak suka kepada lagu Melayu dan apakah lagu Melayu tidak kena dengan halwa telinganya.
Komen diberikan pada persembahan minggu keempat yang lalu bertema lagu komposer menyebabkan ada komposer tempatan berasa tersinggung dengan hujah diberikan Paul dan juga Syafinaz yang mempertikaikan hasil karya komposer.
Bagaimanapun, Syafinaz menafikan wujud diskriminasi ke atas lagu Melayu sebaliknya setiap kritikan dan pilihan peserta untuk mendapatkan imuniti diberikan secara adil bukan bergantung kepada lagu dinyanyikan.
Gaduh, skandal punca Anith tersingkir?
SELEPAS Pija yang dikatakan mempunyai krisis dengan Anith tersingkir minggu lalu. Kini, Anith pula mengikut jejak langkah peserta itu apabila menerima undian paling rendah pada persembahan minggu keempat.
Bagaimanapun Anith atau nama sebenarnya Anith Aqilah Sulaiman Lim yang berasal dari Kuala Lumpur menafikan punca pergaduhan menyebabkan dia tidak diterima peminat.
"Kisah pergaduhan saya dengan Pija sudah pun selesai. Sebenarnya kami bukannya bergaduh besar, benda itu sebenarnya kecil saja tetapi dibesar-besarkan. Tidak saya nafikan menyesal juga dengan pelbagai kejadian yang membabitkan saya tetapi terpaksa akur dengan keputusan ini.
"Bagaimanapun saya tetap sedih tetapi dalam masa yang sama saya terima keputusan ini dengan reda. Ini tidak bermakna perjuangan saya terhenti, saya akan terus mencari peluang untuk meneruskan kerjaya nyanyian," katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: