Friday, March 27, 2009

Berkongsi bakat...Liyana Jasmay dan Aizat




Dua bintang baru, Liyana Jasmay dan Aizat bergaya sakan di butik penaja ABPBH 2008, Rafflesia The Pearl Centre

PENTAS Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2008 menjelang 12 April depan menjadi saksi betapa hebat penangan bakat dua bintang berbeza latar namun dilahirkan dalam keluarga korporat, Liyana Jasmay dan Aizat apabila nama mereka dicalon dalam kategori yang dipertandingkan.

Aizat, 20, yang mula diingati selepas menyertai Akademi Fantasia musim kelima dan berubah bentuk badan daripada berbadan gempal menjadi kurus bersaing dengan Adam, Amy Search, Nubhan dan Mawi dalam kategori Penyanyi Lelaki Popular. Album Percubaan Pertama menjadi penanda aras menunjukkan betapa bakatnya kini perlu diberi perhatian.

Sementara, Liyana pula bolos dalam kategori Pelakon Filem Wanita Popular dan harus berentap dengan nama hebat seperti Erra Fazira, Maya Karin, Sharifah Amani dan Vanidah Imran. Pelakon yang kini melebarkan sayap sebagai penyanyi menerusi album EP memuatkan lima buah lagu ini mahu mencabar dirinya untuk menjadi versatil.

Diakui kemampuan mereka bergelar anak seni memang sudah terbukti cukup mengesankan dan paling penting dua anak muda bervisi tinggi ini diusik kononnya sedang menjalinkan hubungan cinta. Akhbar sisipan B*Pop yang kali pertama mempertemukan mereka dalam sesi fotografi muka depan.

Sekalipun kelihatan seperti sedang menyulam cinta, jawapan standard yang terpacul daripada bibir mereka tidak langsung ke arah itu. Fotografi Hip minggu lalu berlangsung dengan jayanya, malah riuh rendah juga premis Rafflesia The Pearl Centre apabila masing-masing bertikam lidah dan mengusik sesama sendiri.

AIZAT segak dalam persalinan rekaan Hatta, manakala Liyana pula melaram dengan aksesori mewah daripada Rafflesia.

Selepas mengikuti siri jelajah ABPBH 2008 di Kuantan, Pahang minggu lalu, minggu ini mereka sekali lagi turut ke Batu Pahat, Johor. Buat julung kalinya, mengikut perancangan Liyana dan Aizat mungkin akan berduet lagu Penyelamat Cinta hasil kolaborasi bersama di lokasi akhir siri jelajah ABPBH 2008 di Klang Parade minggu depan.

“Kalau berjumpa, macam inilah suasana antara kami berdua. Tak semestinya kalau kami mesra, hipotesis yang diberikan ialah kami bercinta. Kebetulan juga kami tinggal di kawasan yang berdekatan dan pada awal permulaan dia mahu menjadi penyanyi, saya sering ke rumahnya untuk berkongsi bakat dan memberi tunjuk ajar.

“Saya sendiri pernah membuat persembahan di majlis perkahwinan abangnya. Malah saya turut berduet dengannya dalam lagu Penyelamat Cinta yang dimuatkan dalam album EPnya. Saya ada hati kepadanya tapi semua tidak lebih daripada sekadar kawan. Nampak macam klise, namun inilah kenyataan.

“Cinta tolak ke tepi dulu, keutamaan kini kepada keluarga dan kerjaya. Saya tidak mahu sebarang komitmen cinta lagi. Saya bukan bersikap ‘propa’ dan apa lagi yang harus saya katakan. Dalam kehidupan, saya hanya mengikut aliran dan ketentuan,” kata Aizat yang cukup segak mengenakan kot hitam rekaan Hatta Dolmat persis watak Neo di dalam filem Matrix.

DUA bintang remaja ini nafi berkasih.

Saat bahagia ketika bertemu penyanyi veteran

SELAIN tercalon, penyanyi yang cukup meledak dengan lagu Hanya Kau Yang Mampu ini turut diberi penghormatan membuat persembahan malam kemuncak ABPBH 2008 nanti. Masih lagi berkira-kira memilih lagu mana untuk dinyanyikan malam itu, Aizat yang bakal melaram baju tajaan Michael Shu cukup berbangga apabila namanya mula tercatat dalam sejarah penganjuran anugerah berprestij itu.

“Sebelum ini, saya langsung tak pernah terbayangkan akan berada dalam ruang lingkup ABPBH. Tapi tahun ini segala-galanya bukan lagi mustahil. Ketika sidang media mengumumkan barisan penyampai trofi dan senarai persembahan, saya dapat bersua dengan legenda muzik lama seperti Datuk A Rahman Hassan, L Ramlee dan Jeffrydin.

“Biarpun hanya berbual kosong dengan mereka, ia satu saat berharga buat saya. Mengenai persaingan di dalam kategori Penyanyi Lelaki Popular, saya tidak melihat persaingan dalam negara sendiri sebagai satu ancaman. Sebaliknya, industri seni kita kecil saja dan apa yang harus kita tetapkan di dalam minda ialah bersaing dengan negara luar,” katanya penuh semangat.

Dalam perkembangan lain, Aizat juga menyanyikan dua lagu hasil komposisi Pete Teoh untuk lagu runut bunyi filem Talentime. Selain itu, dia juga sedang dalam rangka menyiapkan album pembungkusan semula dan kemudiannya merangka album kedua.

Malah, 10 atau 20 tahun mendatang, Aizat mungkin akan beralih bidang. Ini bukan omong kosong, hakikatnya dia cukup serius apabila mula mempraktikkan ilmu pengucapan awam yang dibacanya. Katanya, melalui muzik, bangsa boleh disatukan.

“Saya berhasrat ingin memberi tumpuan dalam bidang pertanian. Saya ingin melawan arus dengan kembali kepada asal dan tidak menurut perkembangan teknologi semata-mata. Daripada mengambil sumber makanan daripada negara atau tempat orang, kenapa tidak ditanam sendiri? Kenapa saya sukakan bidang ini, jawapannya makanan adalah kesukaan saya.

“Terbitnya idea ini apabila saya menyedari dunia sekarang dimonopoli kaum Yahudi. Tidak bermaksud saya impikan semua ini atas landasan mahu menjadi ahli politik tapi melalui hiburan kita boleh menyampaikan apa juga manifestasi yang diperjuangkan,” katanya.

Mula berdebar menanti 12 April

MENGALIH bicara kepada Liyana yang mesra disapa Nana, dia juga tidak pernah menafsirkan hubungan antara mereka sebagai kekasih. Katanya, hubungan mereka berlandaskan persahabatan.

Selain berdebar menanti kehadiran kemuncak ABPBH 2008, dia turut berdebar menanti saat album EPnya akan ‘mendarat’ di pasaran menggunakan khidmat komposer Ajai. Album berkonsepkan Pop Teen Rock persis Miley Cyrus dan Avril Lavigne ini mempertaruhkan lagu Aku Tak Percaya Cinta sebagai single pertama.

“Album ini mendapat kerjasama syarikat Metadome dan syarikat adik-beradik kami sendiri iaitu Regal Wave Marketing. Syarikat ini dikawal ayah Nana sendiri, malah soal perbelanjaan sendiri dipantaunya. Ini album percubaan Nana untuk menguji kehendak pasaran dan Nana sendiri tidak mempunyai sebarang masalah bekerjasama dengan Abang Ajai.

“Lagu yang terkandung dalam album ini mula dirakamkan sejak Disember tahun lalu. Lagu terakhir yang dirakamkan berjudul Kejam. Apa yang boleh Nana katakan, Nana puas melihat bagaimana daripada proses rakaman daripada satu lagu ke satu lagu disiapkan. Tak Nana nafikan pada mulanya suara Nana seperti ‘bayi’ kecil, tapi lama- kelamaan, ia mula bertambah baik,” katanya sambil memberitahu lagu Penyelamat Cinta dirakamkan bulan lalu.

Menempah pakaian rekaan Jovian Mandagie untuk 12 April nanti, Liyana memberitahu pencalonan tahun ini menampakkan kemunculan gelombang baru yakni anak seni pelapis. Selain membanggakan keluarga dan peminat yang setia menyokong, kejayaan tercalon ke senarai akhir ABPBH 2008 ini turut menggembirakan orang belakang tabir.

“Ibaratnya tahun ini satu generasi atau kelompok baru mula menunjukkan taring di samping beberapa nama calon tersohor yang sudah dikenali nama mereka sejak sekian lama. Ia satu perkembangan positif hinggakan orang produksi di sebalik kejayaan kami tumpang seronok kerana mula melihat kenaikan kami ke satu fasa yang lebih baik.

“Tahun ini, jiwa pun muda, persembahan malam kemuncak turut disertai jentera artis baru di samping artis lama yang saling melengkapi. Kawan Nana turut tercalon seperti Lisa Surihani, Sariyanti, Scha, Diana Danielle, Ashraf Muslim dan ramai lagi,” katanya yang sedang menjalani penggambaran drama Zeti & Si Mawas arahan Ahmad Idham.

INFO: Lagu Penyelamat Cinta

  • Kata Aizat, liriknya ditulis sendiri oleh Liyana secara santai dan disusun dengan lebih teratur olehnya.

  • Aizat menyifatkan lagu ini sangat istimewa kerana membabitkan dua hati dan minda antara penulis lirik (Liyana) dengan dirinya sebagai penggubah lagu.

  • Ketika lagu ini ditulis, Liyana menulis mengenai pengalaman hidup dan apa yang dirasainya.

  • Dengan pengalaman sedikit yang dimiliki Aizat, dia tidak lokek membantu Liyana yang masih baru bertatih dalam dunia nyanyian.

  • Aizat menyukai lagu ini dan mempunyai harapan yang sangat besar terhadap lagu itu di samping bakat yang ada dalam diri Liyana.

  • Kata Liyana pula, Aizat memintanya menulis apa saja yang ingin diluahkan termasuk perasaan yang berada di dalam benak fikirannya. Akui Liyana, dia memang jiwang dan apa yang diingini diluahkan yakni mengharapkan cinta yang sejati.

    Jovian Mandagie daripada kaca mata Liyana

  • Untuk malam kemuncak ABPBH 2008 nanti, Liyana akan menggayakan koleksi terbaru Jovian diberi nama Rendezvous Of Songket. Sudah kerap kali bekerjasama dan menempah pakaian daripadanya, malah kerjasama itu terjalin sebelum Jovian memiliki butik lagi. Kata Liyana, dia mungkin dijelmakan persis puteri malam itu.

    PROFIL: Aizat
    Nama: Muhammad Aizat Amdan
    Asal: Kuala Lumpur
    Umur: 20 tahun
    Tarikh Lahir: 21 Januari 1989
    Kerjaya: Penyanyi & komposer
    Album: Percubaan Pertama

    PROFIL: Liyana
    Nama: Liyana Jasmay
    Asal: Kuantan, Pahang
    Umur: 21 Tahun
    Tarikh lahir: 28 Mac 1988
    Kerjaya: Pelakon & pelajar
    Pencapaian: Pelakon Harapan Wanita Terbaik di Festival Filem Malaysia Ke-19
    Filem: Castello, Syaitan, Maut, Histeria, Kami The Movie, Papadom & Duhai Si Pari Pari.
  • No comments:

    Post a Comment

    Tinggalkan Komen Anda Sini: