GAMBAR kenangan Sofea, Vanidah dan peserta bengkel selepas menerima sijil di Finas. |
Tiga aktres terkenal rela luang masa sertai Bengkel Penulisan Skrip anjuran Finas
KEKUATAN skrip menjadi tonggak penting dalam menghidupkan sesebuah plot cerita.
Skrip yang hebat perlu diimbangi dengan watak dan perwatakan yang ada termasuklah tenaga kerja di belakang tabir. Paling penting, keupayaan pengarah yang dipertanggungjawabkan mewarna dan memberi rasa sesebuah naskhah cerita.
Pengarah adalah orang penting dan saling melengkapi seterusnya memastikan skrip yang ada itu diolah dengan sewajarnya mengikut apa yang ingin disampaikan kepada penonton. Ini diakui Vanidah Imran, 34, yang ditemui Hip minggu lalu di majlis penutup dan penyampaian sijil Bengkel Penulisan Skrip Filem anjuran Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) yang diadakan dari 19 hingga 23 Januari lalu.
Selain Vanidah, bengkel ini turut disertai dua lagi aktres terkenal tanah air, Erra Fazira dan Sofea Jane. Mereka adalah antara 10 peserta yang mengikuti bengkel ini yang dibuka kepada orang awam.
Bagi Vanidah, bengkel asas lima hari itu memberi satu anjakan paradigma buat ibu kepada dua orang anak ini kerana faedahnya yang cukup berguna untuk dimanfaatkan di kemudian hari. Bagaimanapun, katanya, dia mengakui hingga saat ini belum tergerak hati lagi untuk menjadi penulis skrip sepenuh masa.
Namun begitu, Vanidah mengakui bengkel anjuran Finas ini sebenarnya memberikan manfaat besar kepada mereka yang menyertainya.
“Tahun lalu ada juga artis yang menyertai bengkel sebegini. Memang pembabitan cuma di kalangan pelakon agak kurang. Suami saya (Rashidi Ishak) pernah menyertai ‘master class’ di dalam penulisan skrip tahun lalu, malahan Ahmad Izham Omar (Ketua Pegawai Eksekutif, Rangkaian Radio Media Prima), pengarah Saw Teong Hin dan geng produksi syarikat Red Communications pun turut serta.
“Mungkin ada persepsi berbeza di kalangan pelakon seperti saya yang berasakan kursus atau bengkel seumpama ini tidak perlu dan hanya fikir untuk berlakon semata-mata. Mungkin ada yang melihat ia bukan satu keperluan.
“Atau menganggap apa yang cuba dilakukan Finas ini di luar batas atau bukan norma biasa selain berfikir lebih baik melaburkan wang untuk mengambil kursus intensif jangka pendek di luar negara lebih baik.
“Alasan akan sentiasa ada tapi kalau sudah minat, dari awal lagi artis boleh tetapkan tarikh sesuai untuk kursus sebegini. Faktor bahasa jika tenaga pengajar menggunakan bahasa Inggeris bukan alasan untuk membantutkan niat menyertai kursus ini,” katanya.
Perkongsian ilmu yang diterap oleh tenaga pengajar bengkel ini iaitu Kamal Ishak membawa cetusan pendapat berbeza ke satu fasa yang lebih tinggi.
Kata Vanidah lagi, apa yang dapat dirumuskan selepas mengikuti bengkel ini ialah dia mula mengkaji setiap aspek di dalam sebuah penerbitan cerita. Sudut pandangannya juga kini lebih luas dan tidak terlalu statik kepada hanya satu gambaran semata-mata.
“Secara dasarnya, mungkin ada pihak yang andaikan menulis skrip ini semudah memetik jari. Apabila saya mengikuti bengkel ini, ia bukan semudah yang disangka.
“Kamal Ishak memberi idea baru untuk memulakan langkah menulis skrip, membina karakter supaya tidak meleret-leret dan sepanjang ke arah menghasilkannya, banyak isu yang perlu dititikberat dan dikembangkan.
“Dia meluaskan perspektif saya dan saya mula melihat sebuah cerita dengan meneliti cara dialog yang diluah, klimaks, metafora dan pelbagai aspek lain,” kata Vanidah yang cukup bersemangat.
Mengenai filem, Vanidah berkata, walaupun banyak yang dibintanginya, tetapi penampilannya kali ini lebih kepada undangan khas seperti Magika, Stamp, Papadom dan Lu Pikirlah Sendiri The Movie.
Sofea Jane mahu mantapkan diri
Sementara itu, Sofea Jane berkata, sewaktu mengikuti bengkel ini, dia tidak meletakkan dirinya sebagai pelakon, sebaliknya sebagai orang biasa yang ingin belajar menambah pengetahuan.
Bengkel ini juga menemukannya dengan Kamal Ishak yang pernah mengarahkan filem Cinta Kita lakonannya dengan Arman Graseka.
Dalam mengikuti bengkel ini, Sofea berkata; “Saya ingin mencuba memantapkan diri mungkin sebagai penulis skrip selepas ini.
“Ia ibarat kursus ‘penyegar’ untuk saya. Kalau sesiapa yang ingin berjinak-jinak dengan titik permulaan dunia penulisan, Kamal Ishaklah sifunya,” katanya ringkas.
Majlis penyampaian sijil bengkel Penulisan Skrip ini disempurnakan oleh Pengarah Pembangunan Finas, Abdul Khalid Maulod.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: