ANTHONY tertarik dengan rantai manik yang dibuat sendiri oleh Jaclyn Victor pada Karnival Amal ABPBH 2008 Untuk Gaza. |
Penganjur cadang acara amal ini diperluaskan ke bandar kecil di seluruh negara
KEDATANGAN pengunjung ke Karnival Amal Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2008 (ABPBH2008) Untuk Gaza memang di luar dugaan.
Ini terbukti apabila dianggarkan lebih 10,000 pengunjung datang ke karnival amal ini secara bersilih ganti, bukan saja untuk bertemu dengan artis atau selebriti tetapi juga mencari peluang untuk mendapatkan barangan peribadi bintang pujaan masing-masing, sekali gus beramal.
Malahan, tidak dinafikan kejayaan gemilang Karnival Amal ABPBH2008 Untuk Gaza ini juga adalah hasil kerjasama yang diberikan hampir 100 artis dan personaliti. Mereka hadir bersilih ganti untuk membantu membuat jualan, melelong atau menjual barangan peribadi, menghiburkan pengunjung malahan menghulurkan sumbangan peribadi mengikut cara masing-masing.
Disebabkan begitu ramai peminat yang datang menyatakan sokongan, ruang yang diberi nama Buzz-R di Amcorp Mall, tempat karnival berlangsung, kelihatan cukup sempit sepanjang acara dijalankan.
Atas alasan itu, Ketua Pengarang Kumpulan NSTP, Datuk Hishamuddin Aun berasakan lokasi lebih besar seharusnya dipertimbangkan jika acara serupa dianjurkan pada masa depan.
DUA penyampai radio hot FM, Fara Fauzana dan Ikhwal turut memeriahkan karnival. |
"Pihak penganjur sungguh tidak menyangka dengan sambutan begitu hebat yang diberikan orang ramai kepada karnival amal ini. Pada peringkat awalnya, wujud sedikit kerisauan seandainya acara kebajikan kita kelolakan ini tidak mendapat sambutan.
“Maklum saja, ia dirancang dalam masa begitu singkat. Namun nyata sekali kebimbangan itu tidak berasas. Pengunjung atau peminat hadir dengan begitu ramai, sehingga ruang besar ini nampak cukup sesak.
"Kami juga berasa agak bimbang seandainya ia kurang mendapat sokongan selebriti kita. Tetapi, jelas sekali pada hari ini, mereka tampil dengan penuh semangat untuk sama-sama menjayakannya. Mereka datang dengan pelbagai barangan untuk jualan atas nama kebajikan. Orang ramai pula tidak lokek menghulurkan derma, sebagai tanda betapa rakyat Malaysia mempunyai hati yang amat besar dan sama-sama terasa dengan musibah yang melanda penduduk Gaza," katanya.
Dengan matlamat memungut sebanyak mungkin sumbangan bagi Tabung NSTP Untuk Gaza, Hishamuddin berterima kasih kepada setiap selebriti serta pengunjung yang menghulurkan bantuan apabila pada penghujung acara, kira-kira RM64,000 berjaya dikutip untuk tabung berkenaan.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif NSTP, Datuk Anthony Firdaus Bujang melihat kejayaan penganjuran ABPBH 2008 Untuk Gaza sebagai detik permulaan untuk kumpulan akhbar itu menganjurkan lebih banyak acara amal pada masa akan datang.
Menganggap sambutan diberikan orang ramai sungguh di luar jangkaan, Anthony melihat potensi acara kebajikan sedemikian dianjurkan lagi pada masa depan amat cerah.
Katanya, bukan hanya untuk penduduk Gaza, malah beliau berkata, aktiviti amal sebegitu juga boleh diadakan bagi membantu pelbagai pihak yang memerlukan, termasuk individu, rumah kebajikan atau persatuan amal.
"Sekiranya kebanyakan acara besar-besaran dewasa ini lebih bertumpu kepada hiburan, tetapi kita membuktikan pada hari ini, acara amal juga mampu menarik perhatian begitu ramai pengunjung.
“Jadi, mengapa tidak kita menjadikan kebajikan sebagai tunjang kepada aktiviti yang kita anjurkan, dengan golongan selebriti diketengahkan bagi membolehkan semua pihak tampil menghulurkan sokongan," kata Anthony yang amat berpuas hati dengan kejayaan acara berkenaan.
Beliau turut melahirkan pandangan mengenai kemungkinan acara sedemikian dibawa pula ke bandar lebih kecil mahupun pekan di seluruh negara, berikutan kebanyakan aktiviti membabitkan insan popular atau acara hiburan ketika ini lebih banyak bertumpu di kawasan bandar besar.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: