ZIZAN (kiri) dan Johan dengan gaya tersendiri. |
Zizan dan Johan pertingkat pengetahuan elak dilabel merapu
SESEKALI nada tawa melatari perbualan serius antara mereka menangkis persepsi dua nama yang mencipta langkah selepas menyertai Raja Lawak Astro musim kedua ini, kurang matang dan terbawa-bawa sikap keanak-anakan setiap kali dipertontonkan kepada khalayak di pentas mahu pun di layar kaca.
Antara Zizan dan Johan, kedua-duanya melengkapi serta bersama memainkan peranan supaya jenaka yang dipersembahkan tidak tersasar lalu membangkitkan rasa kurang selesa di kalangan penonton.
Umpama yin dan yang, mereka mencipta keserasian malah saling mengawasi antara satu sama lain untuk berjalan seiring tanpa perlu menyimpan perasaan ingin mengatasi apabila berada di pentas.
Akur banyak mata yang memerhati, bahkan sentiasa menilai segala gerak geri serta tingkah laku mereka, Zizan dan Johan sentiasa memperkemaskan pengetahuan kerana tidak mahu dikritik berlawak kosong.
Banyak kritikan dilemparkan, tidak kurang ada beranggapan lawak mereka berdua kurang matang dan merapu namun baik Zizan mahu pun Johan mempunyai perisai untuk menepis segala pandangan itu.
“Apa yang ada dalam diri kami tidak mungkin dapat ditukar sekelip mata. Justeru, kami sentiasa memperkemaskan diri dengan memperbanyakkan bahan bacaan selain menonton bagaimana pengacara sama ada di dalam atau luar negara kendalikan sesuatu program.
“Filem juga menjadi sumber rujukan, selain perkembangan terkini serta apa yang berlaku di sekeliling supaya lawak yang dipersembahkan tidak kosong tanpa pengisian,” kata Zizan.
Akur bakat yang dimiliki adalah satu anugerah, pemuda kelahiran Kuala Terengganu, Terengganu yang memiliki nama penuh Mohd Razizan Abdul Razak berkata, lawak bukan sesuatu yang boleh dirancang.
“Ia bergantung kepada situasi dan kita harus berada dalam dunia itu. Pelawak yang baik perlu pantas membaca suasana dan pengisian jenaka bergantung kepada mood serta situasi untuk membolehkan kita bertindak balas.
“Kelebihan memahami naluri manusia harus dimanfaatkan, jika tidak akan memberi masalah ketika membuat persembahan.
“Saya sentiasa memegang pesanan Aznil Nawawi yang memberitahu, untuk menjadi pengacara yang baik jangan gunakan skrip dan semua itu memerlukan latihan dan pengalaman.
“Malah dengan pengalaman juga akan membantu untuk mengawal diri apabila di pentas,” kata Zizan, mengakui dia agak tegas berbanding Johan untuk mencipta keseimbangan ketika persembahan.
Melihat telatahnya di pentas, khalayak pasti beranggapan dia seorang yang ‘lupa diri’ namun itulah karektor Johan yang membezakannya sebagai seorang personaliti dan dirinya sebenar yang memiliki nama penuh, Mohd Yazid Lim Mohammad Aziz.
“Di pentas saya ialah Johan tetapi di rumah saya ialah Yazid yang pendiam, cintakan kedamaian dan gemar mengembara. Johan ialah nama serta karektor yang saya cipta ketika di pentas,” kata Johan, menjelaskan siapa dirinya yang sebenar.
Berlawak kata Johan, adalah satu permainan untuk membuat mereka yang menonton percaya dan itu bukan sesuatu yang mudah untuk dilakukan.
Di luar lingkaran karier, pemuda kelahiran Ampang, Selangor ini akur akan kesukaran untuk membawa watak Johan keluar daripada dirinya kerana itu yang dituntut peminat.
Situasi itu katanya, ada kala mengheretnya dalam kekalutan selain menuntut kekuatan luar biasa daripadanya.
“Peminat hanya mahu melihat kita bergelak ketawa dan bergurau senda, hakikatnya kami juga berdepan masalah sama seperti orang lain.
“Menjadi personaliti bermakna saya harus berani untuk berpura-pura. Ada kalanya kita letih, mengantuk namun semua itu terpaksa saya sembunyikan apabila berdepan dengan peminat untuk tidak mengecewakan mereka,” kata Johan.
Satu kata Johan, dia suka melakukan sesuatu mengikut kata hati seterusnya melihat bagaimana reaksi peminat di luar.
Andai ada yang beranggapan lawaknya merapu, Johan akan terus melakukannya semata-mata untuk menguji sejauh mana dia mampu berbuat demikian.
“Daripada merapu itulah biasanya akan lahir satu cerita. Dari dulu kita disuapkan dengan elemen seperti ini menerusi majalah komedi dan satira namun tiada siapa yang mempertikai. Kita masih menerimanya malah membaca sebagai satu bahan hiburan.
“Kenapa apabila saya lakukan perkara yang sama, saya dihentam? Daripada itu saya belajar sesuatu, pelawak seperti kami memang susah menerima pujian,” katanya.
Pelawak juga perlu berpengetahuan:
----------------------------------
PELAWAK yang baik perlu ada pengetahuan dan hal itu diakui dua pelawak generasi muda yang turut berpengalaman mengendalikan program, Jozan dan Raja Lawak Astro musim kedua dan ketiga.
Bagi Johan, elemen merapu tidak akan dapat dipadamkan daripada pelawak namun ia harus dialas dengan idea bijak supaya tidak memperbodohkan penonton.
“Saya tertarik dengan cara Afdlin Shauki mempersembahkan lawaknya. Dalam lawak perlu ada unsur nasihat dan elemen lain yang membuatkan orang berfikir namun disampaikan dalam bentuk jenaka.
“Saya sendiri masih dalam proses belajar dan sedang memahami apa yang sedang dilalui. Semua itu ilmu dan kami sentiasa membawa sikap untuk mendidik khalayak kerana tidak mahu dilihat sebagai pelawak ‘bodoh’,” katanya.
Apa yang penting akui Johan dan Zizan, dalam berlawak mereka perlu peka dan tidak boleh terlampau jauh menyentuh hati orang kerana ia akan membuatkan khalayak kurang selesa.
“Pelawak perlu petah, pantas mengubah situasi dan spontan. Idea melawak juga perlu sentiasa digali dan diamalkan. Kami tidak akan mengalah kerana apa yang dilalui ini dibuat atas dasar keikhlasan,” katanya.
INFO: Zizan
Nama: Mohd Razizan Abdul Razak
Asal: Kuala Terengganu, Terengganu
Tarikh Lahir: 15 April 1984
Pengalaman mengacara: AC Di Sini, Raja Lawak Musim Kedua/Ketiga, Jozan dan Gempak Selebriti
Penampilan: LawaKing, Pasrah dan Gaia
Pencapaian: Tempat kedua Raja Lawak Astro musim pertama, mewakili Selangor dalam Pertandingan Drama (Pelakon Terbaik) dan Juara Karaoke 1994 & 1996.
INFO: Johan
Nama: Mohd Yazid Lim Mohamad Aziz
Asal: Ampang, Selangor
Tarikh Lahir: 13 Jun 1984
Pengalaman mengacara: Raja Lawak Musim Kedua/Ketiga, Jozan dan Gempak Selebriti
Penampilan TV: LawaKing, Pasrah, Papaku Rock dan Rabunnya Cinta
Pencapaian: Tempat ketiga Raja Lawak Astro musim pertama.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: