|
|
DRAMA komedi sering mendapat perhatian penonton. Selain padat dengan mesej tersendiri genre komedi juga sesuai ditonton seisi keluarga. |
Justeru, produksi Temenggong Pictures Sdn Bhd mengambil langkah menghasilkan buah tangan pertama mereka dengan memilih genre komedi berjudul, Anak Ikan Si Pari-Pari yang dijadualkan siarannya di Astro Ria saluran 104 pada 20 Mac ini.
Penerbitnya, Tengku Noraishah Tengku Abdul Aziz atau lebih dikenali sebagai Tasha Aziz berkata drama sulung menerusi produksi itu padat dengan mesej tersendiri malah menariknya ia ditunjangi gandingan pelakon terkenal dan bakat baru tanah air.
"Drama ini projek pertama produksi Temenggong. Saya yakin pemilihan genre komedi dapat diterima penonton. Berdasarkan pemerhatian dan kajian genre ini juga mempunyai sambutan yang memberangsangkan.
"Mesej yang cuba disampaikan menerusi drama ini ialah mengenai sikap ego manusia yang tidak pandai menghargai seseorang. Selepas individu hilang atau tiada barulah dia tercari-cari.
Drama ini turut diserikan dengan kemunculan seorang pari-pari lakonan Rosnah Mat Aris yang pasti bakal menarik perhatian dengan gaya tersendiri dan telatah lucunya.
"Drama arahan Azahari Din berkisar kepada kehidupan remaja di kolej turut dibintangi pelakon muda, Diana Danielle, Wan Alias, Tengku Puteri Najwa dan Dian P Ramlee. Jika tiada aral drama ini dijangka disiarkan secara bersiri. Begitupun segalanya bergantung kepada sambutan dan beberapa perkara," katanya.
Penggambaran drama berlangsung di pekarangan dewan kuliah, Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) serta sekitar Lembah Klang sepanjang Januari lalu.
Pada asalnya skrip yang dihasilkan pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM), Ahmad Naim menampilkan karakter pari-pari cantik dan muda.
Begitupun atas permintaan dan perbincangan bersama pihak pengurusan Astro, Rosnah (Mat Aris) dipilih untuk memegang watak pari-pari sebagai antara teraju utama dalam drama itu.
"Rosnah tampil dengan karakter lucu dan mencuit hati. Dia juga berdepan tugas menyelesai beberapa perkara. Di samping aksi lucu timbul juga konflik cinta membabitkan remaja yang menuntut di kolej berkenaan," katanya.
Menurut dramatis itu lagi, pihak produksi juga dijangka menerbitkan beberapa drama dan telemovie untuk siaran stesen televisyen tempatan selain membabitkan kerjasama dengan agensi kerajaan. Berkemungkinan besar di bawah produksi sama pihaknya turut menerbitkan sebuah filem komedi penghujung tahun ini.
Tasha sebelum ini pernah membintangi beberapa drama antaranya Jendela Hati, Muslihat, Kelas Malam, Naga Merah, Tempatkan Dia Di Syurga, Takdir Yang Terindah dan Kilauan. Malah kali terakhir gadis kelahiran Pekan, Pahang membintangi drama Dendam Seorang Isteri (RTM) Disember lalu.
"Memang ada tawaran berlakon walau bagaimanapun saya masih belum bersedia. Saya perlu meneliti kesesuaian watak yang ditawarkan. Jika berkesempatan dan sesuai saya akan menerima tawaran yang diberikan. Setakat ini, saya mahu menumpukan kepada produksi dan kerja di belakang tadbir," katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: