Tuesday, February 3, 2009

Ramai minat cipta lagu tema KL


PERTANDINGAN lagu berunsur patriotik seperti Pesta Lagu Kuala Lumpur yang pernah dianjurkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) pada pertengahan 90-an dulu wajar dihidupkan kembali bagi memberi peluang komposer tempatan menghasilkan lagu bercirikan Kuala Lumpur (KL) sekali gus mencipta lagu tema khusus melambangkan identitinya sebagai pusat pelancongan yang menjadi tumpuan pengunjung dari seluruh dunia.

Komposer terkenal Julfekar berkata, ramai komposer tempatan termasuk dalam kalangan generasi muda hari ini berminat menghasilkan lagu patriotik tetapi tidak tahu bagaimana menyalurkan bakat mereka itu.

"Saya pernah menyertai pertandingan Pesta Lagu Buah-buahan, lagu puisi DBKL dan pertandingan lagu dakwah satu ketika dulu.

"Saya percaya, jika pertandingan lagu patriotik itu dihidupkan kembali dengan gubahan lagu dan muzik terkini selaras dengan perkembangan muzik semasa, pasti ramai berminat mengambil bahagian.

"Contohnya, Pesta Lagu Kuala Lumpur pasti menarik minat anak jati Kuala Lumpur sendiri untuk mencipta lagu tema tempat kelahiran mereka.

"Tidak dinafikan, banyak lagu bercirikan Kuala Lumpur dihasilkan sampai sekarang tetapi saya tidak faham kenapa pihak berkuasa seperti DBKL atau penganjur pertandingan lagu patriotik terlepas pandang untuk mengadakan lagu tema khusus untuk Kuala Lumpur sendiri?," katanya. Julfekar berkata, sekalipun Kuala Lumpur sudah terkenal dalam kalangan pelancong asing tetapi hakikatnya ia seperti tidak lengkap jika bandar raya yang indah itu tidak mempunyai lagu rasminya sendiri.

"Lagu tema memainkan peranan sangat penting untuk menggambarkan identiti sesebuah negeri itu. Contohnya, pembikinan lagu tema Kuala Lumpur yang dilengkapi video klipnya sekali secara tidak langsung menjadi tarikan kepada pelancong asing yang datang ke negara ini.

"Pada masa sama, saya berharap stesen radio tempatan menyiarkan lebih kerap lagu patriotik di radio sekali gus meningkatkan populariti lagu patriotik dalam kalangan pendengar," katanya.

Beliau mengulas ruangan Jarum Emas disiarkan Metro Ahad, Ahad lalu mengenai Kuala Lumpur belum ada lagu tema walaupun beratus lagu bercirikan Kuala Lumpur dihasilkan sampai sekarang.

Seperti Julfekar, penyanyi dan komposer Yasin Sulaiman juga menyokong saranan supaya Kuala Lumpur mempunyai lagu temanya sendiri.



"Jika semua negeri lain sudah ada lagu tema masing-masing kenapa tidak Kuala Lumpur yang pesat membangun ini?



"Seperti komposer tempatan lain, saya juga berminat menyertai pertandingan Pesta Lagu Kuala Lumpur yang pernah dianjurkan DBKL satu masa dulu.

"Sebelum ini, saya pernah buat lagu untuk sekolah, syarikat korporat dan tidak ada masalah bagi saya untuk mencipta lagu tema untuk Kuala Lumpur pula?.

"Apapun, industri seni juga mempunyai ramai komposer yang berbakat besar yang boleh diketengahkan untuk mencipta lagu bercirikan Kuala Lumpur, cuma mereka tidak diberikan peluang saja.

"Saya turut menyelitkan lagu menceritakan keharmonian dan kepesatan Kuala Lumpur dalam album terbaru, Arus Qudus," katanya.

Bintang yang dicungkil menerusi program realiti Malaysian Idol (MI) dan One In A Million (OIAM), Farah Asykin Zulkifli atau Farah, 28, berkata, pada pemerhatiannya banyak lagu berunsur Kuala Lumpur yang berkualiti dihasilkan setakat ini dan mendapat tempat di hati pendengar. "Saya percaya, jika pertandingan mencari lagu tema khusus untuk Kuala Lumpur dianjurkan sekarang pasti ramai komposer berminat menonjolkan bakat masing-masing terutama orang Kuala Lumpur sendiri.

"Saya sendiri pernah menulis lagu berunsur patriotik dan dimuatkan dalam koleksi album pada 2001 tetapi lagu berkonsep keamanan itu tidak disiarkan," katanya.

Kata Farah, yang juga anak kelahiran Kuala Lumpur ini lagi, sudah sewajarnya bandar raya yang pesat membangun ini mempunyai lagu temanya sendiri.

"Contohnya, tempat kelahiran bapa saya, daerah Pekan, Pahang yang jauh lebih kecil daripada Kuala Lumpur mempunyai lagu tema yang menjadi kebanggaan penduduk di sana," katanya.

Sementara itu, bekas pelajar musim kelima Akademi Fantasia, Muhammad Aizat Amdan atau Aizat, 20, berharap lebih ramai rakan seperjuangannya terbabit dalam penghasilan lagu berunsur patriotik sekali gus meningkatkan semangat cintakan tanah air kepada rakyat di negara ini.

"Terus terang, saya juga tidak ingin ketinggalan menyertai pertandingan lagu berunsur patriotik seperti Pesta Lagu Kuala Lumpur yang pernah dianjurkan DBKL dulu. Saya berharap pertandingan itu dihidupkan kembali supaya komposer muda seperti saya berpeluang berbuat sesuatu untuk tanah air sendiri.

"Saya adalah anak jati Kuala Lumpur dan sudah 20 tahun menetap di sini. Saya lihat Kuala Lumpur seperti tidak ada identiti sendiri kerana banyak dipengaruhi budaya Barat. Justeru, saya cukup berbangga jika dapat menghasilkan lagu tema untuk negeri kelahiran saya ini.

"Sebagai komposer muda, saya juga terpanggil untuk buat lagu patriotik dan tidak hanya lagu komersial kerana ia tanggungjawab kita sebagai rakyat di negara ini," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: