Tuesday, February 3, 2009

Album sulung Buzen muat lagu ciptaan sendiri


LAKONAN sebagai Abang Mat dalam drama kanak-kanak, Geng Bas Sekolah menerusi saluran Astro Ceria antara lakonan yang meninggalkan kesan pada penonton. Pelakon berbakat, Syaifuddin Mohd Hashim atau Buzen masih aktif berlakon walaupun sering tampil sebagai pelakon sampingan.

Antara adik-beradiknya yang lain, Syaiful dan Syaireen, Buzen lebih menyerlah dalam lakonan.

Kata Buzen, dia sebenarnya tidak berminat untuk berlakon ketika kecil tetapi terbabit secara tidak langsung menerusi galakan keluarga hingga kini menumpukan sepenuh masa terhadap lakonan.

“Sebenarnya, sejak kecil saya berminat menjadi penyanyi tetapi apabila mula berlakon, minat itu hadir. Sejak berlakon dari dulu hingga kini, saya lihat banyak perubahan ditempuh. Di samping menimba pelbagai pengalaman di lokasi penggambaran, saya juga lihat perubahan dalam bidang ini apabila ada segelintir pelakon baru yang tidak berdisiplin.

“Masa saya berlakon dulu, setiap pelakon menitikberatkan aspek disiplin seperti datang awal ke lokasi penggambaran, hormat kepada pengarah dan kru dalam sesebuah drama serta rajin melakukan ulang kaji sebelum berlakon.

“Pernah saya bertanya kepada pelakon baru, sama ada dia melakukan ulang kaji wataknya, lalu katanya, ‘cukup sekadar baca skrip yang diberikan’. Pada saya, sikap sebegini memberi kesan kepada pelakon baru lain yang akhirnya menjejaskan mutu lakonan.

“Sebagai pelakon yang sudah membintangi banyak drama, saya turut sedih melihat sikap pelakon baru macam ini. Kebanyakan mereka tidak mengambil kesempatan belajar daripada pengalaman pelakon lain untuk mempertingkatkan mutu lakonan.

“Selain soal sikap, saya juga terkilan dengan bayaran yang dianggap tidak berpatutan berdasarkan pengalaman seseorang pelakon.

“Dulu ketika kegawatan ekonomi melanda negara, produser menggunakan alasan itu supaya terpaksa bayar murah kepada pelakon termasuk saya. Hingga sekarang, saya terkilan kerana bayaran yang diterima tidak setimpal dengan peranan dimainkan. Ada antara mereka yang masih menggunakan alasan yang sama untuk menindas pelakon.

“Sejak tahun lalu, saya mula bersikap selektif dengan tawaran lakon yang diberikan tetapi apabila memikirkan hanya lakonan punca pendapatan, saya terpaksa juga terima tawaran yang ada,” katanya.



Buzen, 28, kini sibuk dengan penggambaran dua drama iaitu Gerak Khas dan Roda-Roda Kuala Lumpur diikuti filem KL Drift 2. Menariknya, dia diberi kepercayaan membawa watak utama sebagai Koperal Kamarul menerusi Roda-Roda Kuala Lumpur.



Ketika majlis cukur jambul dua anak saudaranya baru-baru ini, dia tidak dapat hadir kerana terbabit dengan penggambaran drama Zapin Kasih arahan Musa Mohd di Mersing, Johor selama 10 hari.

Katanya, walaupun sibuk dengan lakonan, minatnya terhadap muzik tidak pernah padam. Kini, dia dalam proses menyiapkan album sulung yang dibuat menggunakan wang sendiri.

Menariknya, album ini memuatkan 10 lagu baru ciptaannya sendiri yang menjurus pelbagai genre seperti rock dan pop rock. Katanya, dia masih bersemangat untuk menjadi penyanyi dan mempunyai album sendiri.

“Saya pernah tiga kali membuat persembahan nyanyian atas pentas. Walaupun ada peminat hairan tetapi saya belajar dari situ lagu bagaimana yang sesuai dengan suara saya. Daripada respons peminat, saya hasilkan pelbagai jenis lagu.

“Hingga kini, saya mempunyai 26 lagu ciptaan sendiri sejak bersekolah dulu. Saya berhasrat untuk mengedar single dulu sebelum album sepenuhnya berada di pasaran. Apa yang boleh saya katakan, ada kejutan dan kelainan yang ingin ditampilkan.

“Jika sebelum ini, peminat selalu melihat saya sesuai dengan karakter kelakar tetapi apabila mendengar lagu daripada album ini, mereka akan merasai sesuatu yang berbeza,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: