caption image1 |
Artis, personaliti ketepi glamor untuk bantu insan malang di bumi Palestin
KARNIVAL Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2008 untuk Gaza jelas membayangkan betapa golongan selebriti tanah air begitu prihatin pada penderitaan yang dialami mangsa kezaliman tentera Israel di Semenanjung Gaza, Palestin, apabila hampir 100 insan popular tampil memberikan sokongan kepada acara kebajikan kelolaan kumpulan New Straits Times Press Bhd (NSTP) di Amcorp Mall, Petaling Jaya, Sabtu lalu.
Dalam keghairahan penyanyi, pelakon, pelawak, pengacara televisyen dan penyampai radio berkenaan mengejar kejayaan dalam karier seni, jauh di lubuk hati, nasib malang insan lain tidak pernah dilepas pandang. Glamor bagi mereka hanyalah seketika, justeru sifat belas kasihan dan beramal itu lebih dimuliakan.
Lalu, sepanjang hari Sabtu lalu, kelihatan golongan terkenal ini basah bermandikan keringat tatkala menjual barangan peribadi, merayu pembaca, peminat atau pengunjung menghulurkan derma, serta berserak suara ketika mengajak khalayak membida pada acara lelong, semata-mata untuk sama-sama membantu penduduk Palestin yang ditimpa musibah.
Daripada sebungkus biskut sehingga gaun penuh labuci yang akhirnya mencecah RM4,000 apabila dibida, semua itu cukup bernilai kerana setiap sen yang disumbangkan, besar maknanya buat mangsa perang yang menderita.
Bagi Aznil Nawawi, pada ketika insan lain dilanda petaka, usah lagi diri mereka kini dianggap berbeza kerana hanya status artis yang dibawa.
AZEAN IRDAWATY bersama anggota keluarganya menyerahkan hasil jualan spageti kepada Pengarang Hiburan Berita Harian, Hanizam Abdullah untuk dimasukkan ke dalam tabung NSTP untuk Gaza. |
"Menghulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan bukan hanya tanggungjawab insan biasa, tetapi golongan artis juga. Apabila setiap hari kita dihidangkan dengan berita mengenai penderitaan rakyat Palestin, kita tidak boleh lupa wajah sengsara mereka dengan begitu saja. Ketika inilah kami golongan artis juga memikul beban yang sama, sebagaimana insan lain.
"Apatah lagi golongan seni ialah mereka yang mempunyai jiwa cukup sensitif. Justeru, apabila usaha murni sebegini dianjurkan, seharusnya kamilah golongan yang lebih terasa dengan apa yang diperjuangkan, lalu sama-sama bangkit menghulurkan bantuan," kata Aznil yang melelong sehelai jaket pernah digayakan olehnya pada Anugerah Skrin.
Memuji usaha yang dikelolakan kumpulan NSTP, Aznil berkata, agak sukar untuk artis sama-sama tampil membantu secara berkumpulan sekiranya aktiviti amal sedemikian tidak dianjurkan. Dia amat berbesar hati apabila dapat turut serta mengajak orang ramai beramal demi menyatakan rasa keinsanan serta membantu golongan dalam penderitaan.
Turut sama melelong koleksi peribadi miliknya sebagai usaha membantu mengisi tabung NSTP Untuk Gaza adalah penyanyi nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza. Biarpun sebelum ini Siti banyak terbabit dalam acara seperti ini, namun menurut penyanyi yang cukup popular dengan lagu Biarlah Rahsia ini, majlis lelongan ini adalah acara amal membabitkan selebriti paling ramai yang pernah dihadirinya.
GELAGAT Mawi dan isterinya, ekin menjual ais krim menarik perhatian pengunjung. |
“Siti gembira melihat ramai selebriti mengambil bahagian dalam acara ini. Walaupun mereka datang dari pelbagai latar belakang yang berbeza namun atas nama kebajikan mereka sanggup mengetepikan perbezaan itu,” katanya yang mengumpul sebanyak RM900 hasil lelongan dua helai jaketnya.
Sementara Mawi yang tidak menang tangan melayan peminat yang mengerumuni gerai aiskrimnya mengakui dia terharu dengan sambutan yang diberikan peminat terhadap hasil jualannya itu.
“Memang berdebar juga. Iyalah ini pertama kali saya muncul sebagai seorang suami dan sebelum ini memang ada yang kata selalunya lepas kahwin akan hilang aura. Tapi ternyata tidak. Banyak jugalah aiskrim yang berjaya dijual hari ini. Berkotak-kotak. Mungkin faktor harga yang murah membuatkan orang ramai berpusu-pusu beli.
“Situasi seperti ini membuatkan saya bersemangat untuk terus melakukan kerja amal. Selepas ini saya terbabit dengan satu lagi kerja amal iaitu konsert khas di Istana Budaya,” kata Mawi yang ditemani Ekin dalam acara itu. Pasangan pengantin baru ini juga baru saja pulang berbulan madu di Korea selepas berada di sana lebih kurang seminggu.
Corat coret Karinval Anugerah Bintang Popular berita Harian 2008 untuk Gaza:
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: