Letupan bom, jenayah tembak, syurga barangan murah, dan kahwin lari. Inilah keunikan bandar Sungai Golok!
SUNGAI Golok sememangnya tidak asing lagi di kalangan rakyat Malaysia. Bandar Selatan Thai ini adalah syurga hiburan dan beli-belah. Pakaian, makanan dan keperluan dapur boleh diperoleh pada harga yang jauh lebih murah daripada Rantau Panjang atau Kota Bharu.
Tidak hairanlah kenapa bandar ini sentiasa sesak apabila tiba musim cuti dan perayaan.
Nama 'Golok' juga diingati kerana beberapa insiden letupan bom yang telah mengorbankan banyak nyawa, termasuk orang Malaysia. Golok turut menjadi tumpuan pasangan kahwin lari dari Malaysia di samping lokasi lain seperti Songkhla.
Hakikatnya, walaupun Golok begitu dekat dengan hati rakyat Malaysia, bukan semua orang memahami keunikan budaya hidup di sini.
Golok atau juga dikenali sebagai Sungai Kolok oleh penduduk tempatan, terletak di dalam wilayah Narathiwat. Kira-kira 70 peratus daripada lebih 50,000 penduduknya beragama Islam dan bertutur dalam loghat Melayu Kelantan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wilayah Narathiwat, Kawasan Sungai Golok (Bandar), Wan Anuar Wan Jaafar menganggap Sungai Golok terlalu istimewa kerana masyarakat Siam beragama Islam dan Buddha mampu hidup bersama dalam suasana harmoni.
"Sambutan kebudayaan dan keagamaan di sini diraikan oleh semua penduduk secara besar-besaran kerana mereka percaya masing-masing saling bergantungan," katanya.
Jelasnya, perayaan masyarakat Siam seperti Loy Kratong dan Songkran iaitu pesta air turut disambut meriah masyarakat yang beragama Islam.
"Tidak banyak berbeza seperti di Malaysia, kita juga menganjurkan sambutan Awal Muharam dengan penglibatan semua masyarakat tanpa mengira agama.
"Baru-baru ini, sambutan tersebut disertai oleh wakil daripada lebih 50 buah kampung di Sungai Golok dengan acara membuat bubur Asyura dilakukan beramai-ramai," ujarnya.
Di bandar ini, urusan ekonominya juga agak unik kerana dua jenis mata wang boleh digunakan iaitu baht dan ringgit Malaysia. Aktiviti masyarakatnya pula tidak banyak berbeza seperti di Rantau Panjang atau Kota Bharu.
Loghat bahasa Melayu yang digunakan juga tidak berbeza daripada masyarakat di Kelantan. Kelainannya cuma dari segi nada yang lebih lembut dan dipengaruhi intonasi bahasa Thai.
Kenderaan utama masyarakat di Sungai Golok adalah motosikal. Malah ada sesetengah modelnya masih belum memasuki pasaran Malaysia tetapi telah membanjiri jalan raya di bandar ini.
Undang-undang jalan rayanya juga agak berbeza berbanding di Malaysia, hanya penunggang diwajibkan menggunakan topi keledar manakala pembonceng diberi kelonggaran.
Sebahagian besar penduduk Sungai Golok terdiri daripada golongan petani mengusahakan tanaman padi serta berkebun, sementara masyarakat yang tinggal di bandar merupakan golongan profesional dan peniaga.
Kebanyakan penduduk yang tinggal di Sungai Golok dan Rantau Panjang mempunyai pertalian kekeluargaan sama ada kesan daripada penghijrahan ataupun faktor perkahwinan.
Suatu ketika dahulu, ramai rakyat Malaysia terutama dari Kelantan mencari rezeki sebagai peniaga dan penoreh getah di Thailand khususnya di sekitar wilayah Narathiwat termasuklah daerah Sungai Golok. Dan begitulah sebaliknya.
Jangan pula terkejut sekiranya anda melihat ramai pelajar yang memakai uniform sekolah Malaysia beratur menunggu giliran menaiki sampan ataupun bot untuk menyeberang Sungai Golok selebar 15 meter itu.
Keluarga dan kediaman mereka di Sungai Golok tetapi mendapat pendidikan di Rantau Panjang kerana kebanyakan mereka mempunyai dua kerakyatan iaitu ibu atau bapa mereka memiliki taraf warganegara Malaysia dan Thailand hasil hubungan perkahwinan.
Wan Anuar sendiri mengakui realiti tersebut. Menurutnya, sebahagian besar masyarakat yang tinggal di Sungai Golok dan Rantau Panjang mempunyai hubungan kekeluargaan.
"Saya sendiri bertemu jodoh dengan orang Malaysia. Isteri saya berasal dari Rantau Panjang dan usia perkahwinan kami sudah menjangkau lebih 23 tahun.
"Ketika itu saya menjalankan urusan perniagaan pakaian di sekitar Rantau Panjang dan Pasir Mas sebelum kami ditakdirkan bertemu dan berkahwin," katanya.
Mengingati detik awal pertemuan dengan isteri, Rohaya Yunus, 44, Wan Anuar memberitahu, perkenalan mereka bermula di Stesen Bas Rantau Panjang.
|
|
Jelasnya, ketika itu isterinya berulang alik ke Kota Bharu kerana mengikuti kursus bersama Sistem Penerbangan Malaysia (MAS).
"Kini kami telah dikurniakan empat orang anak berumur antara tujuh hingga 21 tahun.
"Kami sekeluarga menetap di Sungai Golok. Isteri dan anak-anak saya juga sedikit sebanyak memahami bahasa Thai walaupun belum fasih untuk bertutur," ujarnya.
Wan Anuar memberitahu, semua anaknya mendapat pendidikan di Malaysia, dua berada di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan dua lagi masih di bangku sekolah.
150 pangkalan perahu
DIANGGARKAN lebih 150 pangkalan bot dan perahu telah wujud sejak lama dahulu di sepanjang Sungai Golok. Kewujudan pangkalan-pangkalan ini melambangkan betapa dekatnya hubungan antara masyarakat di seberang sungai baik dari segi kekeluargaan mahupun perniagaan.
Dengan pelbagai nama yang unik, semua pangkalan ini beroperasi hampir 24 jam sehari dengan peranan yang berbeza.
|
|
Seorang peniaga di Rantau Panjang, Mohd. Sharom Remali, 51, memberitahu, terdapat beberapa pangkalan yang cukup popular di Sungai Golok.
“Biasanya, nama setiap pangkalan ini berdasarkan nama individu yang tinggal paling hampir dengannya atau sesuatu yang boleh dijadikan penanda.
“Antara yang terkenal ialah pangkalan Syed Agil yang tinggal dekat pangkalan tersebut,” katanya.
Tambahnya, antara pangkalan lain yang terkenal ialah pangkalan MCA kerana dahulunya terdapat sebuah pejabat parti MCA di kawasan tersebut.
Menurut Mohd. Sharom, pangkalan ini wujud sejak lebih 50 tahun dahulu dan masih digunakan penduduk.
Pangkalan lain yang menjadi tumpuan ialah Pohon Jambu, Gergaji, Pohon Buluh, dan Pauh yang memiliki sejarah dan ‘trademark’ yang tersendiri.
Malah ada juga pangkalan yang pernah menjadi lokasi penggambaran filem Malaysia seperti pangkalan Ibrahim Pencen untuk filem Castello.
Dari satu segi, kewujudan pangkalan haram ini dikatakan salah satu punca aktiviti penyeludupan gagal dibendung selain kemasukan secara tidak sah ke kedua-dua negara.
Bagaimanapun, jeti-jeti ini juga penyambung hubungan darah antara masyarakat kedua-dua daerah yang hanya dipisahkan sebatang sungai yang mengalir lesu.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: