Proses mengikat cincin joran menggunakan benang. |
Pok Mud’s mencorakkan batang pancing dengan pelbagai bentuk sehingga kelihatan cantik dan ekslusif
BAGI kaki pancing, memiliki set peralatan mahal dan terkini boleh dianggap suatu kebanggaan serta memberi kepuasan dalam melayan aksi menaikkan ikan kerana barangan bermutu sentiasa dipercayai mampu memberikan persembahan terbaik.
Namun, bagi kaki pancing, Tarmizam Abd Karim, 36, kepuasan dalam aktiviti memancing sebenarnya boleh dicapai dalam pelbagai bentuk. Sudah tentu menaikkan tangkapan besar tidak dinafikan kelebihannya, tetapi anak jati Terengganu ini juga percaya kepada pendekatan lain.
Sehubungan itu, beliau yang lebih dikenali sebagai Pok Mud’s di kalangan kaki pancing ini mencari kelainan dengan cara mencantikkan joran pancing dengan pelbagai corak yang dibuat sendiri di rumahnya.
Setiap batang pancing akan dicorakkan dengan pelbagai bentuk seperti bertemakan berlian, burung, ikan, batik, konsep tikar mengkuang serta pelbagai jenis corak lain bahkan nama pemilik joran itu juga boleh ditulis diatasnya.
Itu yang menariknya, kerana walaupun joran itu tidaklah semahal jenama popular, tetapi ia tetap cantik dan menarik kerana tulang belakang joran itu kelihatan lebih menyerlah jika disulami dengan corak dan warna yang sesuai.
Antara corak yang dihasilkan Pok Mud's. |
Ia bukan sekadar menyedapkan mata memandang, tetapi sebenarnya turut memberi kesan dalam meningkatkan ketahanan batang joran kerana kebiasaannya cincin baru berkualiti akan dipasang, manakala lilitan benang dan gam pada joran membuatkan ia lebih tebal serta lasak.
Bapa kepada lima anak ini juga mahir dalam membaik pulih joran, sehingga sebahagian ruang makan di rumahnya dijadikan tempat bekerja termasuk membuat sulaman pada joran dengan pelbagai corak.
Jadi, tidak hairanlah Tarmizam juga lebih gemar membeli set peralatan secara berasingan dan mengubahsuainya mengikut keperluan kerana ia lebih murah serta mampu disediakan mengikut kehendak sendiri berbanding jika membeli set pancing yang sudah siap.
“Kita perlu tahu barang atau peralatan yang berkualiti dan menggabungkan dengan keperluan asas. Itu sudah memadai. Misalnya, batang joran yang sederhana kualitinya jika dipasang cincin yang berkualiti juga mampu memberi kepuasan kepada pemancing.
Tarmizam Abd Karim |
“Jika ditambah dengan aksesori, hiasan pada batang joran, ia lagi menyerlah, nampak lebih ekslusif walaupun harganya lebih murah. Memasang aksesori sebenarnya tidak menjejaskan keupayaan batang joran kerana ia cuma dibuat pada kulit batang joran,” katanya.
Menyingkap hasil kerja ini, Tarmizam menjelaskan, ia sebenarnya satu kerja seni kerana membabitkan ukiran dan corak mengikut pilihan pelanggan. Ada yang suka meletakkan nama, ada pula yang gemarkan warna yang nampak garang, masing-masing mempunyai pilihan sendiri.
Kemahiran yang dimiliki ini turut dikongsi bersama rakan pancing lain dan beliau memang menerima tempahan, cuma ketika ini agak terhad disebabkan kesibukan bekerja dan menguruskan keluarga.
Kerja mencantikkan joran memang rumit dan sebatang joran kebiasaannya boleh disiapkan dalam tempoh tiga hari jika tumpuan sepenuh masa diberikan.
Prosesnya memang sukar dan memerlukan kesabaran yang tinggi. Ia bermula dengan membuka cincin asal dan mengikat semula dengan dua lapis benang halus yang diikat pada cincin dan perlu dilakukan di bahagian depan serta belakang cincin.
Benang yang disulam mengikut corak akan digam secara berperingkat dan dibiarkan kering dalam keadaan berpusing menggunakan mesin.
Kebiasaannya, beliau akan menggunakan campuran gam khas dan jumlah adunannya mesti sama, misalnya lima titik bagi setiap jenis. Ini bertujuan mengelakkan joran pecah atau retak jika campuran gam tidak tepat.
Setiap batang joran akan digam teliti sekurang-kurangnya menggunakan empat lapisan gam. Bermula lapisan pertama, ia memerlukan masa 12 jam untuk disiapkan dan dibiarkan kering dalam keadaan berpusing menggunakan mesin diikuti sejam lagi untuk proses gam lapisan batang.
Peringkat akhir untuk lapisan luar pula memerlukan proses kira-kira empat jam tidak termasuk proses meneliti dan memeriksa semula kedudukan cincin bertujuan memastikan kedudukannya selari dan kukuh bertujuan supaya joran boleh berfungsi pada tahap maksimum.
“Setiap maklumat pelanggan akan direkodkan bagi memudahkan kerja saya. Jika mereka datang untuk kali kedua, saya sudah tahu apa jenis peralatan yang diperlukan,” katanya yang memulakan minat seni joran itu mulai 1990.
PROFIL: Tarmizam Abd Karim
- Isteri: Salmah Pilus, 38.
- Anak: Isyraf Haqim, 12, Isyraf Hazim, 10, Isyraf Hafim, 6, Isyraf Hamim, 3
- Pendidikan:
- Sekolah Kebangsaan Chukai, Kemaman, Terengganu (1979-1984)
- Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Ismail, Chukai, Kemaman, Terengganu (1979-1984)
- Institut Teknologi Mara (ITM), Arau, Perlis (1984-1985)
- Institut Teknologi Mara (ITM), Shah Alam, Selangor (1985-1988) - Diploma Kejuruteraan Mekanikal (Pembuatan).
- Pekerjaan: Pengurus Pengeluaran kilang pembekal komponen automotif di Shah Alam, Selangor.
Info: Joran Pok Mud's
- Joran pertama yang diubahsuai dan diletakkan corak berkonsepkan pelangi.
- Gam yang diletakkan pada joran akan dibakar menggunakan api mengikut teknik ‘alkohol torch’
- ‘Alkohol torch’ berguna untuk membuang angin dalam gam serta memastikan corak lebih cantik.
- Pengalaman menarik: 10 pemancing dalam satu bot menggunakan joran yang dihias cantik hasil kerja seni Tarmizam.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: