Sunday, February 1, 2009

Rahsia Hulu Tembeling popular

Ikan air tawar sungai ubah rezeki penduduk


IKAN kelah antara produk Sungai Tembeling paling berharga.


MENAIKI bot menyusuri Sungai Tembeling hingga ke kawasan hulu sungai merupakan pengalaman yang menyeronokkan.

Ini kerana selain melihat keindahan alam semula jadi yang menakjubkan, pelawat dapat melihat aktiviti harian penduduk di kawasan pedalaman yang jarang dapat disaksikan di tempat lain.

Antara aktiviti yang dapat dilihat ialah menangkap ikan sungai.

Kebanyakan penduduk Hulu Tembeling yang masih berada pada garis kemiskinan, bekerja sebagai nelayan sungai, mencari kayu gaharu, rotan, pemandu bot, petani dan pemandu pelancong.

Satu keunikan yang boleh disaksikan di sini ialah kebolehan nelayan sungai menangkap ikan untuk dijadikan makanan harian dan selebihnya dijual bagi memperoleh pendapatan.

Sungai Tembeling yang belum tercemar dipenuhi habitat pelbagai spesies ikan air tawar yang lumayan harganya jika dipasarkan di bandar.

Kebiasaannya, setiap kampung di pesisiran Sungai Tembeling iaitu Kampung Pagi, Kampung Kuala Sat, Kampung Bantai, Kampung Mat Daling dan Kampung Gusai mewujudkan 'pasar sementara' di tepi sungai berkenaan untuk menjual hasil tangkapan ikan segar atau yang sudah siap disalai.


RESTORAN terapung mendapat permintaan yang tinggi untuk ikan sungai di samping menu yang lain.


Ikan yang dijual terdiri daripada baung, lawang, jenkua, jelawat, patin, temoleh, belida, tengalan, kelah, kalui dan udang galah yang ditangkap menggunakan alat tradisional seperti jaring, pukat, tubin, candik dan jala.

Nelayan di kampung tersebut keluar mencari ikan di Sungai Tembeling pada awal pagi dan petang. Mereka menahan lukah, bubu dan tubin di samping menjala, menjaring dan mencandik.

Peralatan tradisional itu diperbuat daripada buluh kerana ia ringan dan mudah dikendalikan.

Seorang penduduk Kampung Pengau, Shahraddin A. Karim, 45, berkata, menangkap ikan sungai merupakan sumber pendapatan penduduk Hulu Tembeling sejak zaman dahulu.

"Kami menangkap ikan untuk keperluan makanan keluarga dan selebihnya dipasarkan ke pandar Jerantut dan Kuala Tahan," kata- nya.

Menurut beliau, kebanyakan nelayan sungai di situ mempunyai permit menangkap ikan daripada Jabatan Perikanan.

"Kita sentiasa memastikan tidak menceroboh kawasan larangan iaitu santuari pemuliharaan spesies akuakultur yang bermutu tinggi bermula dari Kampung Pagi hingga ke Kuala Tahan," jelasnya.

Seorang penduduk Kampung Tempan, Adanan Nipah, 52, berkata, ikan banyak bermain di tepi tebing kerana dipercayai ia 'mabuk selut' atau bersembunyi daripada arus sungai yang deras dan juga mencari makanan terampai yang dibawa arus.

Selain jaring, Adanan memberi- tahu, penggunaan aran (mata kail dipasang tali atau benang kasar yang diikat pada dahan pokok) itu digunakan untuk menangkap ikan temoleh dan patin.

Rakannya, Razali Malik, 42, berkata, nelayan kini amat sukar untuk mendapat ikan patin, kelah dan jelawat, malah jarang sekali dapat menangkap ikan tersebut yang beratnya melebihi lima kilo- gram kerana spesies berkenaan semakin berkurangan.

"Biasanya saya mendapat ikan patin, kelah dan jelawat yang beratnya antara dua hingga empat kilogram sahaja. Ikan ini dijual kepada peraih untuk memperoleh wang belanja," katanya.


ALAM semula jadi Taman Negara Pahang terus menggamit pelancong.



BUBU gergasi ini tidak sukar dikendalikan.


Spesies berkenaan menurut beliau, sudah berkurangan akibat tindakan mereka yang tidak bertanggungjawab menggunakan peralatan kuasa elektrik, bom dan tuba pada waktu malam untuk menangkap ikan.

Seorang nelayan, Zainuddin Nong, 45, berkata, kebanyakan nelayan Hulu Tembeling lebih gemar menggunakan peralatan tubin, jala, candik, aran dan jaring untuk menangkap ikan.

Penduduk Kampung Bantai, Zulkefli Jamaluddin, 43, berkata, sesetengah nelayan yang berkemampuan menggunakan bot berenjin 45 dan 55 kuasa kuda menyusuri Sungai Tembeling sejauh 150 kilo- meter untuk menangkap ikan.

"Pada waktu malam, nelayan akan berkhemah di tepi sungai sambil menikmati ikan bakar manakala ada yang disiang akan disalai di atas api untuk dijual kepada pelawat yang yang singgah di situ," katanya.

Nelayan terbabit jelasnya, biasanya memasang jaring di lubuk atau menggunakan jaring hanyut sepanjang satu kilometer di sungai itu.

Kaedah tersebut dianggap berbaloi kerana nelayan mampu memperoleh sehingga 40 ekor ikan pelbagai spesies, ujarnya.

"Ikan berkenaan dikurung di dalam sangkar yang direndamkan ke dalam sungai supaya terus hidup untuk dijual kepada peraih dan pengusaha restoran terapung di Taman Negara, Kuala Tahan," jelasnya.

Harga ikan air tawar Sungai Tembeling kini melonjak selepas kenaikan harga minyak dan permintaan tinggi daripada orang ramai serta pengusaha calet di Taman Negara.

Bagi ikan hidup, ia dijual antara RM20 hingga RM120 sekilogram manakala ikan salai dijual antara RM10 hingga RM15 sekilogram.

Antara spesies yang paling mahal, mencecah harga RM120 sekilogram ialah kelah, patin muncung dan temoleh.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: