Banjaran Titiwangsa mungkin menyimpan fosil haiwan purba itu
TENTUNYA ramai masih mengingati filem sains fiksyen Jurassic Park arahan Steven Spielberg.
Sememangnya haiwan gergasi itu sering menarik perhatian manusia. Malah penemuan fosilnya dianggap sesuatu yang mengujakan.
Profesor Mohd. Shafeea Leman (gambar), 52, seorang pakar paleotologi (kajian fosil) yang mengkaji fosil dari 1979 sehingga kini memberitahu Kosmo! Ahad, terdapat kemungkinan dinosaur pernah wujud di negara ini.
"Perkara ini tidak mustahil berdasarkan penemuan fosil dinosaur di Thailand. Secara geografinya kita berada di benua yang sama kerana bercantum sejak berjuta tahun dahulu.
"Lapisan batu yang mungkin menyimpan fosil haiwan itu juga sama. Jika ia ada di Thailand, China, Laos dan Vietnam, tidak mustahil negara kita pernah dihuni haiwan purba itu," ujar pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) ini.
Fosil dinosaur ditemui di Thailand pada tahun 1976 oleh Sutham Yaemniyom, seorang pengkaji mineral ketika sedang melakukan kajian bahan kimia uranium di Khon Kaen.
|
|
|
|
Beliau menjumpai rangka fosil tulang besar jenis Sauropod dengan lengkap empat kaki, serta leher dan ekor yang panjang.
Menurut Shafeea Leman, beliau percaya berdasarkan kajiannya lebih 30 tahun terdapat fosil dinosaur di sekitar Banjaran Titiwangsa, Semenanjung Malaysia.
"Saya percaya dinosaur pernah menghuni Pahang, Terengganu atau Kelantan. Cuma kita kekurangan dana untuk melakukan pengkajian yang menyeluruh.
"Jika kajian ini dilakukan dengan komprehensif, kemungkinan fosil itu akan ditemui. Ini sekali gus menarik ramai pelancong ke negara kita sebagai antara punca industri pelancongan negara," katanya.
Bicaranya lagi, kebanyakan fosil dinosaur ditemui secara kebetulan.
"Sebagai contoh, di Australia mereka menemuinya semasa menggali pasir. Jika terus mengkaji, kita akan menemui hasilnya nanti," katanya yakin.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: