'Saya menerima lawak itu dengan terbuka. Ini memang konsep komedi yang betul. Saya cuma tak suka balas sebab saya reda. Lagipun kalau saya balas, nanti bertumbuk pula atas pentas.' – OS
RAMAH sekali bicara pemilik nama sebenar, Mohd Yusof Abdul Hamid atau dikenali dengan nama komersialnya, Os. Biar sesekali irama suaranya turun naik mengikut topik bicara, Os sempat berlawak.
"Jangan cabut gigi saya. Kalau tidak, macam mana saya nak makan," katanya saat ditanya apa yang mahu dia katakan kepada khalayak mengenai kehadirannya sebagai salah seorang pelakon komedi yang disegani.
Malah kerana 'kelebihan' giginya itu, dia sering menjadi bahan lawak fizikal. Tapi kata Os, sedikit pun dia tidak ambil hati kerana lawak sedemikian memang wujud dalam jalur lawak yang sedia ada.
"Saya menerima lawak itu dengan terbuka. Ini memang konsep komedi yang betul. Saya cuma tak suka balas sebab saya reda. Lagipun kalau saya balas, nanti bertumbuk pula atas pentas.
"Biar ada yang masuk, ada yang keluar. Dan saya selalu pegang, bila orang cakap tentang kita, maknanya kita popular," jawab Os realistik.
Lebih daripada itu, lelaki yang berusia 48 tahun ini mahukan kritikan daripada khalayak agar dia mampu memperbaiki kelemahan dan kesilapan yang dilakukannya dalam program bual bicara pertamanya, Apa Ke Halnya.
Apa Ke Halnya yang bersiaran di TV9 setiap Jumaat hingga Ahad pada pukul 10.30 hingga 11.30 pagi pantas menggamit perhatian. Selain Os, program ini turut dikendali bersama Shamsul Ghau Ghau dan Din Beramboi serta hos jemputan pada setiap Ahad, bekas juara Gadis Melayu, Noormaida.
Kata Os yang pekerjaan tetapnya kini memandu teksi, Apa Ke Halnya merupakan anak sulungnya dan dia bertanggungjawab memberi komitmen terhadap program ini.
Ia juga umpama mimpi yang menjadi kenyataan apabila selepas sekian lama menyepi daripada dunia seni, Tuhan mengizinkan mimpi lamanya direalisasikan.
"Saya memang pernah bercita-cita untuk ada program bual bicara sendiri. Saya selalu tanya diri, kenapa tak ada peluang datang?
"Saya bukan apa, saya nak tunjuk bahawa lawak pun cerdik juga. Kami pun ada ilmu dan fakta yang nak disalurkan melalui cara yang santai.
"Jadi apabila Datuk Seri Farid Redzuan (Ketua Pegawai Eksekutif Media Prima) bertemu saya dan tanya tentang pekerjaan saya sebagai pemandu teksi yang bertemu banyak ragam manusia, maka tercetuslah program ini," cerita anak Kuala Kangsar, Perak yang cukup terkenal dengan filem seperti Mr. Os, Adik dan O.K (Orang Kampung Otak Kimia).
Begitu komited dan teruja dengan Apa Ke Halnya, kata Os lagi, perkara yang membuatkan dia seronok kembali bekerja dalam industri adalah program ini bersifat santai.
Paling disukainya tentang program ini selain ilmu yang dikongsi bersama khalayak adalah segmen berbicara dengan para penumpang yang menaiki teksi yang dipandunya.
"Saya suka apabila bahasa yang digunakan tidak terlalu formal. Ia menunjukkan program ini memang benar-benar santai dan kami boleh bersembang serta bertukar pandangan tentang pelbagai topik," katanya.
Tidak menolak sebarang tawaran berlakon jika punya kesempatan, Os kini selesa dengan kehidupannya. Sejak tiga tahun lalu, dia setia memandu teksi di sekitar Lembah Klang.
Apabila mula terbabit kembali dengan dunia seni, kata Os, jadual hariannya masih sama. Jika tidak mempunyai sebarang rakaman, dia akan keluar seawal pukul 7 pagi dan bekerja selama lapan jam sehari memandu teksi untuk mencari rezeki.
Kata Os: "Memandu sudah menjadi sebahagian darah daging saya. Saya punya anak ramai untuk disara.
"Saya selesa memandu dan saya tak mahu meraih simpati orang dengan bercerita tentang kerjaya saya. Ini tanggungjawab saya sebagai ketua rumah.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: