|
KEBELAKANGAN ini, nama Audi Mok, 38, kian menjadi perhatian ramai. Selain kejayaan lagu Sampai Syurga ciptaannya bersama Izham Omar menjuarai kategori Balada di Anugerah Juara Lagu ke-23 (AJL23), berita pertunangannya dengan bintang baru, Nikki Palikat, 24, turut diperkatakan. |
Dalam diam, komposer berasal dari Melaka itu melamar kekasih yang dikenali hampir tiga tahun lalu di Bangkok, Thailand ketika menyambut hari jadi Nikki di sana yang ditemani ahli keluarga dan teman rapat.
Cara Audi melamar Nikki berdasarkan cerita daripada teman rapat pasangan ini, cukup romantis.
Pastinya kejutan dibuat pemenang anugerah Album Terbaik di Anugerah Industri Muzik (AIM) tahun lalu akan menjadi kenangan paling manis buat penyanyi yang berasal dari Kota Kinabalu, Sabah itu sepanjang hayatnya.
Ketika ditemui, Audi enggan mengulas panjang mengenai hubungannya dengan Nikki.
Malah, Audi mengharapkan majlis perkahwinan yang dirancang dilangsungkan Jun ini tidak terlalu dihebohkan kerana menganggap dia bukan orang popular.
"Tiada apa yang hendak diperkatakan kerana pada saya segalanya seperti sudah ditakdirkan.
"Selain itu, mungkin inilah masa terbaik untuk saya memikirkan langkah seterusnya diambil selepas mengenali Nikki hampir tiga tahun," katanya.
Jelas Audi, selepas mencapai beberapa kejayaan dia berasakan perancangan untuk mengahwini Nikki adalah keputusan paling baik.
"Saya tidak tahu bagaimana hendak menyatakan dengan kata-kata mengapa saya memilih Nikki, tetapi pada waktu sama saya tahu dialah orangnya.
"Kami serasi apabila bersama dan dalam tempoh tiga tahun berkawan saya sudah kenal benar bakal isteri," katanya tanpa mengulas panjang.
Seperti dikatakan Nikki sebelum ini, Audi akui hubungannya dengan penyanyi yang sedang popular dengan lagu Selamat Tinggal itu tidak lebih daripada seorang kawan.
"Album Maharani adalah permulaan hubungan kami. Sejak itu kami sering keluar bersama dan apabila sudah mengenali lebih setahun, barulah masing-masing meluahkan hasrat hati.
"Pada saya, hubungan kami berjalan dengan mudah kerana kami berkongsi minat yang sama dan kedua-duanya bergiat aktif dalam industri muzik. Malah ia jelas sewaktu saya turut bertindak sebagai penerbit untuk album kedua Nikki, Hawa yang kini sudah berada di pasaran.
"Dalam tempoh pembikinan Hawa, saya sudah mula terfikir sampai bila terus bercinta tanpa ada sebarang ikatan? Lalu saya dan beberapa teman dan keluarga merancang membuat kejutan untuknya ketika bercuti di Bangkok.
"Saya bertuah, sebaik dilamar, Nikki bersetuju dan apabila pulang kami terus berbincang dengan keluarga kedua-dua pihak untuk menetapkan tarikh dan membuat persiapan," katanya.
Walaupun sudah berkahwin kelak, jelas Audi dia menggalakkan bakal isterinya itu terus bergiat aktif sebagai penyanyi kerana berasakan Nikki memiliki bakat besar.
"Sayang jika menyekat bakatnya hanya kerana dia berkahwin dengan saya. Satu perkara yang membuatkan saya tertarik dengan Nikki adalah bakat dan suaranya.
"Sebab itu juga saya senang bekerja dengan Nikki. Malah selepas berkahwin nanti lebih mudah untuk kami bergabung menghasilkan album," katanya seraya mengakhiri perbualan.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: