|
USAHA Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) dalam membantu golongan artis tidak terhenti pada satu aktiviti semata-mata. Biarpun program Akreditasi untuk penyanyi dan pemuzik belum dilaksanakan tetapi Karyawan terus merancang pelbagai aktiviti lain yang dapat memberi kebaikan kepada artis. |
Menerusi program Let's Jam & Chat yang diadakan baru-baru ini bertempat di Orange Dance Club, Kuala Lumpur, Karyawan menyediakan platform kepada artis khususnya pelakon untuk hadir melontarkan persoalan, pendapat mahupun berkongsi masalah. Hakikatnya, biarpun ramai penonton hadir pada malam itu tetapi bilangan pelakon cuma sedikit.
Presiden Karyawan, Freddie Fernandez berkata situasi ini berkemungkinan didorong hasrat pelakon yang mahu acara itu diadakan secara berasingan.
Idea asal Karyawan adalah mahu menggabungkan aktiviti perbincangan masalah bersama persembahan nyanyian sebaliknya ia hanya menarik minat artis dan penonton untuk berhibur.
"Berdasarkan sambutan pada acara kali ini, Karyawan berasakan satu acara khusus untuk pelakon perlu diadakan secara berasingan dan ini memberi peluang kepada mereka untuk membincangkan masalah dengan lebih serius. Sebenarnya, selain mengadakan program sebegini, Karyawan turut merancang mengadakan program Akreditasi membabitkan pelakon.
"Sebelum ini kita melihat ramai pelakon yang belum bersedia berhadapan dengan pelbagai cabaran dalam bidang seni ini dan kesannya ia memberi memberi masalah kepada produktiviti diri dan persada hiburan tanah air. Malah, apa yang Karyawan kesalkan apabila ada pelakon yang terbabit dengan gejala tidak sihat seperti apa yang kita lihat pada sambutan tahun baru lalu.
"Menerusi program ini, saya percaya pelakon akan lebih bersedia dengan disiplin yang tinggi dan bersikap profesional. Buat masa ini, kami masih membuat perbincangan mengenai modul yang akan dilaksana dalam program ini. Mungkin enam bulan akan datang program ini dapat dijalankan.
"Dalam melaksanakan program ini dengan berkesan dan lancar, Karyawan turut mengambil pandangan Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan (KPKKW) untuk membantu. Seperti program Akreditasi untuk penyanyi dan pemuzik, skop untuk pelakon juga dapat memberi kesan positif pada perkembangan industri perfileman dan drama tempatan.
"Daripada apa yang Karyawan lakukan menerusi acara sebelum ini adalah permulaan pada usaha meningkatkan karya tempatan dan profesionalisme dalam kalangan artis kita. Namun, setiap program yang kami jalankan akan dilakukan secara berperingkat dan Karyawan berharap ia dapat memberi banyak kebaikan pada artis seperti meraih kejayaan yang lebih baik, menghormati karyawan seni lain dan mewujudkan taraf baru pada pencapaian bidang hiburan tempatan," katanya.
Kata Freddie, Karyawan sentiasa serius dalam melaksanakan sesuatu program ini hingga mencapai matlamat yang disasarkan. Ini penting agar masyarakat terus menghormati artis dalam berkarya. Fokus pada karyawan filem perlu diberi penekanan memandangkan sambutan penonton pada filem tempatan mengecewakan hingga ada filem yang terpaksa menanggung kerugian.
"Apa yang boleh kita buat adalah tingkatkan mutu karya kita. Untuk itu, artis memainkan peranan besar dalam mencorakkan kejayaan sesebuah karya itu. Buat masa ini, program Akreditasi untuk penyanyi dan pemuzik masih dikemaskini dari aspek modul yang ingin diajar.
"Karyawan juga menunggu lampu hijau dari KPKKW sebelum program ini dijalankan. Pada kami, ia tiada masalah untuk program ini dilakukan. Mungkin program ini memberi sedikit tekanan pada artis untuk mendapatkan sijil sebelum layak membuat persembahan di hotel atau pusat hiburan tetapi ia penting untuk mereka sendiri.
"Karyawan gembira kerana program ini mendapat sokongan hotel termasuk penerbit dan promoter yang turut mahu program ini terus dilaksanakan. Kelebihan di sini, artis yang berkebolehan mudah mendapat kerjasama mana-mana pihak kerana mereka mempunyai sijil dan profil yang mengesahkan kemahiran mereka.
"Seperti artis di Hollywood, mereka juga harus mempunyai kelayakan pada bakat seni mereka sebelum diterima untuk mengadakan persembahan dan berlakon. Karyawan berkeyakinan program ini mampu berjaya berdasarkan komitmen artis dan semua pihak yang terbabit termasuk persatuan artis sendiri.
"Jika artis mendapat latihan menerusi program ini, produser juga dapat mengurangkan kos untuk melatih pelakon baru dan dapat meraih keuntungan pada produktiviti karya mereka," katanya.
Pada program Let's Jam & Chat yang diadakan baru-baru ini menyaksikan sembilan artis solo dan 10 berkumpulan mengambil bahagian dalam persembahan. Antara artis solo yang terbabit adalan Sarah Raisuddin, Iz, Affan, Sasha, Caprice, Lokman, Darren, Otam dan Jaja manakala artis berkumpulan terdiri daripada Rivernation, Pesawat, Revenge, Couple, Skudap Skudip, Zubira, Infections Maggots, Rocketz, Forsaken dan Awan Band.
Sungguhpun aktiviti berkongsi masalah dan pandangan kurang mendapat perhatian sebaliknya persembahan artis yang hadir tetap menghiburkan penonton. Selain itu, Karyawan turut mengadakan acara kutipan derma termasuk jualan cakera padat dan baju T untuk disumbangkan pada penduduk Palestin.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: