Monday, February 2, 2009

Gaun Anita dibida paling tinggi


PENGANJURAN karnival jualan amal dan lelong, Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2008 (ABPBH 2008) Untuk Gaza yang berlangsung di Bazz-R, Tingkat 3, Amcorp Mall, Petaling Jaya, kelmarin, berjaya menghimpunkan lebih 100 selebriti popular tanah air dengan satu misi iaitu untuk kemanusiaan sejagat.

Objektif program ini juga untuk mengumpul dana bagi disalurkan ke Tabung NSTP Untuk Gaza anjuran The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP) yang ditubuhkan sejak 6 Januari lalu.

Selain sanggup turun padang seawal jam 10 pagi, rata-rata selebriti popular itu bermurah hati untuk melelong sebahagian barangan koleksi peribadi kesayangan mereka semata-mata menjayakan misi yang cukup mulia ini.

Antara artis yang sanggup membuka gerai sehari suntuk seawal jam 10 pagi lagi ialah superstar terkenal, Anita Sarawak. Anita bukan saja ditemani suaminya, Mahathir Abdullah, malah dibantu pemandu peribadi yang hadir bersama anak perempuannya.

Ketika ditemui, Anita berkata, dia memang tidak asing dengan program amal seperti itu sejak bergelar anak seni.

"Saya dan suami memang teruja untuk jayakan karnival amal ini sejak awal lagi. Inilah masanya artis dan peminat bersatu untuk menjayakan program amal membantu mengurangkan penderitaan rakyat Palestin yang menjadi mangsa kekejaman tentera Israel.

"Mungkin baju dan kasut ini koleksi berharga yang disimpan sejak dulu tetapi bagi saya ia sekadar barangan saja. Apa salahnya saya menjual sebahagian koleksi ini untuk membantu golongan yang lebih memerlukan seperti rakyat Palestin?" katanya.

Kata Anita lagi, dia sangat gembira kerana sebahagian besar baju dan kasut yang juga koleksi peribadinya habis dijual pada karnival amal itu.

"Selain menjual barangan, saya sempat bergambar dengan peminat sekali gus ia mendekatkan diri dengan mereka yang sanggup datang dari jauh.

"Pada masa sama, saya cukup bangga melihat pembabitan ramai artis muda yang sama-sama prihatin dengan nasib rakyat Palestin itu. Saya berharap karnival amal seperti ini diteruskan pada masa akan datang," katanya. Pada petang itu, Anita berjaya mengumpul jumlah keseluruhan RM8,000. Pada acara lelongan, sepasang gaun labuh miliknya dibida dengan harga paling tinggi dengan harga RM4,000 oleh tukang masak terkenal Chef Wan dan sepasang baju berharga RM800 pula dibeli pengacara Fara Fauzana.



Apapun, kehadiran penyanyi nombor satu tanah air, Datuk Siti Nurhaliza Tarudin dan Juara Akademi Fantasia 3, Asmawi Ani atau Mawi paling mencuri tumpuan pengunjung di karnival jualan amal itu.



Siti tiba pada acara amal itu kira-kira jam 11 pagi turut membantu artis popular lain menjual kek sumbangan beberapa hotel terkemuka di ibu kota.

Pada lelongan amal pula, Siti berjaya menjual dua jaket koleksi peribadinya iaitu berwarna putih dengan harga RM500 dan jaket jeansnya pula dengan harga RM400 kepada peminat dalam tempoh setengah jam saja.

Ketika ditemui Siti berkata, barangan yang dijual itu adalah antara koleksi baju kesayangannya sepanjang bergelar anak seni.

"Sibuk macam mana sekalipun, artis perlu memainkan peranan masing-masing untuk terbabit dalam program amal seperti ini.

"Selain karnival ini, saya juga terbabit dengan konsert amal untuk membantu penduduk Palestin di Istana Budaya pada malam Sabtu lalu dan jualan lelong amal anjuran pelakon dan pengarah berkaliber, Erma Fatima.

"Sebenarnya, saya bukan terbabit dengan program amal untuk membantu penduduk Palestin saja tetapi program amal lain anjuran pelbagai pihak di negara ini," katanya.

Pasangan pengantin baru popular, Mawi dan Nora'asikin Rahmat atau Ekin pula tiba pada jam 4 petang.

Mawi dan Ekin yang berpakaian warna sedondon menjual aiskrim Wall's Fantasia yang laris dibeli peminat yang berpusu-pusu di gerai bintang popular itu termasuk mengambil peluang bergambar dengannya bersama isteri.

Ia penampilan pertama Mawi dan Ekin di khalayak ramai selepas kembali dari percutian bulan madu mereka di Korea, baru-baru ini.

Selain menjual aiskrim, Mawi juga menjual beberapa bingkisan album baru yang dikepilkan bersama kad kahwinnya dengan harga RM26 kepada peminat.

Pada acara lelongan amal pula, Mawi menjual kasutnya jenama Salvatore Ferragamo yang dibeli ketika dia menjayakan program Langkah Mawi di London dengan harga RM280 dan sepasang jeans Guess yang dibeli di Los Angeles, Amerika Syarikat dengan harga RM250.

Kata Mawi, selepas karnival itu, dia terbabit dengan konsert amal kemanusian pada sebelah malam di Istana Budaya pula.

"Agenda seni saya memang padat dan pada masa sama, saya dan isteri baru kembali daripada berbulan madu. Namun, demi kemanusiaan sejagat, kami tetap meluangkan masa berganding bahu bersama artis lain menjayakan program ini.

"Pada masa sama, saya sangat berharap sokongan peminat berterusan sekalipun sudah berkahwin," katanya.

Pengacara nombor satu tanah air, Aznil Nawawi berjaya menjual jaket yang juga koleksi peribadi yang digayakan ketika Anugerah Skrin 2007 dengan harga RM320.

"Ia antara jaket kesayangan yang saya simpan sebagai kenangan. Maklumlah, saya menampal sendiri batu permata yang kecil di bahagian atas baju untuk disesuaikan dengan tema pada malam itu.

"Jaket itu cukup bermakna kerana saya bukan sekadar menjadi penyampai, malah membawa pulang trofi pada malam acara berprestij itu. Justeru, jaket itu mempunyai nilai sentimental buat saya. Namun, untuk membantu menjayakan karnival amal ini, saya sanggup menjualnya kepada peminat," katanya.

Selain acara karnival ini, Aznil turut terbabit dalam acara Malam Puisi Palestin yang dianjurkan sebelum ini.

Kata Aznil lagi, sejak kembali dari mengerjakan iabadat haji jiwanya lebih dekat dengan program kebajikan untuk membantu golongan kurang bernasib baik.

"Mungkin saya wajah eksklusif Astro selama 10 tahun, tapi saya harap tiada sempadan untuk buat program amal anjuran stesen TV lain selepas ini," katanya.

Pelakon Siti Shahrizah atau Eja berkata, dia juga tidak ingin melepaskan peluang menjayakan acara amal itu.

"Saya tidak berfikir dua kali apabila dihubungi penganjur untuk menyertai acara ini. Bagi saya inilah masa yang tepat untuk artis turun padang memberi sokongan pada acara amal seperti ini.

"Separuh hari menjual kek itu bagaikan tidak terasa apabila melihat ia habis dibeli pengunjung. Jika nak diikutkan harga sepotong kek RM10 ini mahal tetapi ramai yang membelinya tanpa berfikir panjang semata-mata untuk menyumbang kepada penduduk Gaza," katanya.

Sebelum ini Eja pernah menjayakan program amal anjuran Mount Kinabalu Charity Climb yang meraih kutipan RM1 juta tahun lalu.

Sementara itu, Ketua Pengarang Kumpulan NSTP, Datuk Hishamuddin Aun, berkata, acara karnival yang bermula jam 10 pagi hingga 6 petang itu ternyata berjaya mencapai objektif seperti diharapkan.

"Selain menarik lebih 10,000 pengunjung dari pelbagai lapisan masyarakat, karnival jualan amal ini juga berjaya mengumpul lebih RM64,000 sehingga jam 7 malam," katanya.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif NSTP, Datuk Anthony Firdauz Bujang; Pengarang Kumpulan Berita Harian Sdn Bhd (BHSB) merangkap Penaung ABPBH2008, Datuk Manja Ismail; Timbalan Pengarang Kumpulan BHSB, Mustapa Omar, Pengarang Hiburan Berita Harian merangkap Pengerusi ABPBH2008, Hanizam Abdullah dan Pengarang Hiburan Harian Metro, Adam Salleh.

Selain gerai artis, lelongan amal dan jualan kek yang ditaja hotel di sekitar Lembah Klang, pengunjung turut dihiburkan dengan persembahan artis popular tanah air seperti Farawahida, Aizat, Nabil, Atilia, Nita, Zahid, Meet Uncle Hussain, Winnie K, Dafi, Anis Aneesa, Faizal Tahir, Sarah Raisuddin, Saida, Saerah dan Betty Banafe.

Artis lain yang turut hadir menyemarakkan acara ini ialah Rosyam Nor, Erra Fazira, Linda Onn, Sarimah Ibrahim, Fahrin Ahmad, Scha, Farah Diana Annuar, Diddy, Nubhan, Nur Fatima, Chef Wan, Sharifah Amani, Liyana Jasmay, Diana Danielle, Intan Ladyana, Fizo Omar, Kamal Adli, Iqram Dinzly.

Tidak ketinggalan, pereka fesyen Amir Luqman, personaliti TV3, Ally Iskandar, Maria Tunku Sabri, Azizah Ariffin dan ramai lagi.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: