BARU-BARU ini seorang kenalan saya memberitahu beliau ada berkunjung ke selatan Thailand pada tahun lalu dan sempat meninjau satu pusat hiburan di Golok. Dia terkejut apabila banyak lagu yang disediakan di bilik karaoke pusat hiburan itu berupa lagu dangdut dari Malaysia antaranya ialah dendangan Iwan, Sheeda, Mas Idayu, shikin, Ani Mayuni, Haiza dan Ifa Radziah.
Kata kawan saya itu lagi, dia diberitahu kenalan di pusat hiburan beritahu antara lagu paling kerap dinyanyikan pengunjung ialah lagu dendangan Ratu Dangdut Malaysia, Amelina terutama lagu Asyik dan Rindu, selain lagu duet Amelina dengan Iwan berjudul Memori Daun Pisang.
Kebetulan pada petang Khamis lalu, seorang Eksekutif Perhubungan Awam Warner Music Malaysia, yang dikenali sebagai Anne ada menghulurkan kepada saya satu cakera padat (CD) album kompilasi terbaru syarikat rakaman itu berupa himpunan lagu dangdut yang dinyanyikan oleh Amelina, Mas Idayu dan Sheeda. Album itu berjudul Memori Hit 3D Dangdut yang memuatkan 30 lagu popular penyanyi Malaysia era 1990-an dan awal dekad ini.
Selepas menerima CD album dangdut itu, saya bertanyakan Anne, bagaimana hendak kami hubungi Amelina untuk mengetahui perkembangan terbarunya kerana sudah lama industri hiburan tidak paparkan cerita terkini Amelina, iaitu sejak tahun 2000 lagi. Bayangkan lebih lapan tahun Amelina ‘menyembunyikan diri’ hinggakan langsung wartawan hiburan tidak dapat menghidu di mana dia berada sekarang, apatah lagi untuk menemubualnya.
Amelina juga tidak pernah lagi kelihatan muncul pada mana-mana majlis industri hiburan waima dalam acara berkaitan muzik sejak isu perkahwinannya tersebar. Malah, industri hiburan juga sudah tidak lagi menyaksikan kemunculan kelibat Amelina dalam mana-mana stesen TV dan lebih menghairankan, rakan artis yang pernah rapat dengan Amelina juga tidak tahu ke mana Amelina sekarang dan mereka juga tidak tahu di mana Amelina tinggal.
Yang peliknya, Anne cuma menjawab mereka di syarikat rakaman sendiri pun tidak tahu di mana Amelina berada sekarang dan yang mereka tahu bayaran royalti untuk Amelina hanya dimasukkan ke dalam akaun bank penyanyi itu tanpa mereka langsung dapat berkomunikasi dengan Amelina. Pernah juga wartawan bertanyakan keluarga Amelina tetapi mereka juga bagaikan tidak tahu di mana Amelina tinggal. Cuma ada khabar mengatakan Amelina kini sudah kerap menghubungi dan pulang ke pangkuan keluarganya.
Peminat setia Amelina tentu masih ingat apabila kecoh sejak beberapa bulan pada 1999 dia dikatakan ‘menghilangkan diri’ kerana berkahwin dengan seseorang di selatan Thailand pada Mei tahun berkenaan. Mereka muncul di Jabatan Agama Islam Perlis (Jaips) di Kangar, pada Februari 2000 bagi memohon pendaftaran perkahwinannya selepas kahwin lari di Songkhla. Amelina atau nama sebenarnya, Norazlina Amir Sharipuddin kini berusia 35 tahun dan suaminya, Reduan Mahamood kini berusia 45 tahun.
Perkahwinan itu mencetuskan kontroversi kerana tidak diketahui oleh ibu bapa Amelina ketika itu hingga beberapa kali ibu Amelina, Hasmah Ramli, 53, yang kini tinggal di Labu, Negeri Sembilan, meluahkan kekecewaan menerusi media massa. Hasmah pernah menangis kerana terkilan apabila sekian lama tidak mendengar perkembangan anak sulungnya itu akhirnya mengetahui menerusi akhbar mengenai berita anaknya mendaftarkan perkahwinan. Pasangan terbabit dibicarakan secara tertutup dalam kamar Kadi Besar Perlis ketika itu, Othman Ismail, lalu masing-masing didenda RM500 kerana kesalahan bernikah di luar negara tanpa izin. Sejak itu Amelina terus menyepikan diri dan mengelak untuk ditemui media massa.
Ini bererti mana-mana wartawan hiburan yang dapat menemubual Amelina selepas ini bererti dia akan mendapat berita eksklusif. Sudah tentu juga ramai peminat Amelina tertanya-tanya ke mana menghilangnya dia? Bagaimana keadaan dirinya, mungkin masih menyanyi secara senyap-senyap untuk persembahan tertutup atau Amelina sudah tutup buku terhadap karier nyanyian. Tentu juga ramai nak tahu sejak Amelina berkahwin, sudah berapa ramai anaknya? Apakah Amelina sekarang sudah bertudung seperti mana kemunculannya di Jaips dulu.
Apa yang pasti, perkara lepas sudah berlalu. Amelina tidak perlu lagi takut dengan bayang-bayangnya dan wajar dia tampil semula dalam industri hiburan untuk bertemu rakan artis dan kenalan media. Sebenarnya ramai peminat termasuk wartawan hiburan merindui dan teringin untuk bersemuka dengan Amelina atas dasar rakan lama.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: