Tuesday, February 3, 2009

MUH pamer bakat niaga


USAHA Berita Harian menganjurkan Karnival Bersama Bintang ABPBH08 Untuk Gaza, Sabtu lalu di pusat beli-belah Amcorp Mall berjaya mencapai matlamatnya.

Jika sebelum ini, penganjur hanya mensasarkan RM30,000, namun apa yang berlaku sebaliknya kerana karnival jualan amal dan lelong itu berjaya membuat kutipan lebih daripada jumlah yang disasarkan iaitu RM64,000 dalam masa lapan jam.

Semua kutipan berkenaan akan disalurkan ke Tabung NSTP Untuk Gaza untuk membantu rakyat Palestin yang menjadi mangsa kekejaman zionis.

Penghibur terkenal, Anita Sarawak (Kak Nita), berjaya membuat kutipan paling tinggi mencecah RM8,000 menerusi lelongan barangan peribadinya.

Selain Kak Nita, gerai Meet Uncle Hussein (MUH) yang meraih kemenangan dalam Anugerah Juara Lagu (AJL) ke-23 baru-baru ini, tidak kurang hebatnya.

Kek coklat mereka yang dijual pada harga RM2 sepotong, laris macam goreng pisang panas termasuk puding keremel, kemeja-t, pelekat dan EP.

Mustaza Nik Mustapha atau lebih mesra disapa Taja (gitar), berkata, MUH berbesar hati kerana diberi peluang terbabit karnival amal itu.

"Kami tidak sangka sambutan sehangat ini maklumlah, ramai selebriti yang terbabit. Kalau kami tahu, sudah semestinya kami bawa lebih banyak kek, puding, EP dan kemeja-T untuk dijual.

"Sekurang-kurangnya dapatlah kami memberi lebih sumbangan kepada tabung NSTP untuk GAZA.

"Mulanya kami beranggapan, mungkin gerai kami tidak begitu menjadi tumpuan tapi Alhamdulillah semua jualan hari ini habis dalam masa yang singkat.



"Tambah mengejutkan, walaupun meja sudah kosong peminat masih bertanya untuk membeli kemeja-t. Dek kerana tidak sampai hati melihat peminat kecewa, Afat tawarkan untuk melukis wajah karikatur mereka," katanya.



Taja menambah lagi, jualan kasar yang diperolehi berjumlah RM1,100 dan selepas menolak kos segala untung bersih yang diperolehi disalurkan kepada Tabung NSTP Untuk GAZA.

Pengalaman yang ditimba pada petang itu bukan menerbitkan minat untuk berniaga malah, MUH berharap dapat terus terbabit dalam acara sedemikian pada masa akan datang.

Selain Taja, MUH turut dianggotai Mohd Fathi Mohd Darwis (Afat/bass) dan Mutafal Bakri Ismail (Bakri/dram) dan Nor Azlan Roslee (Lan/vokalis).

Bagaimanapun, Lan tiba agak lewat dari waktu yang ditetapkan ekoran masalah kesihatan.

Tidak sekadar mempamerkan bakat berniaga, MUH juga menghiburkan ribuan pengunjung menerusi Lagu Untukmu yang diangkat sebagai Juara Lagu di AJL baru-baru ini.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: