BERGURAU senda, saling merenung mata antara satu sama lain dan segala pergerakan badan yang menandakan pasangan itu cukup intim, kelihatan secara semula jadi tanpa dibuat-buat.
Kehadiran pasangan popular Mawi, 28, dan Ekin, 30, pada sesi fotografi di Studio Utusan, Selasa lalu, begitu gamat dengan hilaian tawa mereka.
Bukan main lagi Mawi atau nama sebenarnya, Asmawi Ani bergaya romantis di samping isterinya yang jelita. Tiada lagi kekok, malah Mawi selamba sahaja mengusik manja si Ekin.
Setelah berada di Korea Selatan selama enam hari bermula 17 hingga 22 Januari lalu, pasangan pengantin baru, Mawi dan Ekin rupa-rupanya membawa pulang cerita baru untuk dikongsi dengan para peminat.
Khabarnya ketika berada di sana, Ekin merasa mual dan loya tekak. Kenapa agaknya? Apakah itu tanda-tanda buah cinta pertama mereka sudah terhasil?
Sebenarnya pemilik nama sebenar Nora'asikin Rahmat merasa mual apabila penduduk di sana menjadikan hidangan khinzir sebagai makanan harian mereka.
"Saya rasa loya tekak apabila melihat penduduk di sana makan daging khinzir pada waktu pagi, petang dan malam.
"Disebabkan susah hendak mencari makanan yang halal, kami terpaksa meredah ke sana ke mari untuk mencari kedai makanan yang halal.
"Sudahlah sejuk dan terpaksa memakai baju sebanyak tiga lapis, maka sudah tentulah perut akan terasa lapar setiap waktu.
"Saya turut mengalami masalah selesema semasa berada di sana. Namun, saya tetap gembira kerana berpeluang bercuti dan berbulan madu di Korea," akui Ekin.
Mengakui kenyataan Ekin itu, lantas membuatkan Mawi timbul dengan idea untuk membuka sebuah restoran di sana.
Beritahu Mawi, dia dan Ekin menghadapi kesukaran untuk mengisi perut yang lapar, apatah lagi cuaca sejuk sedang melatari negara romantis itu.
"Pernah jugalah saya terfikir untuk mengusahakan restoran masakan Melayu di sana, disebabkan saya sendiri berdepan dengan pengalaman sukar untuk mencari makanan yang halal.
"Saya juga ada menyuarakan idea ini kepada salah seorang wakil Tourism Malaysia.
"Saya agak terkejut jugalah kerana diberitahu oleh Tourism Malaysia bahawa tahun lepas sahaja, seramai 80,000 rakyat Malaysia bercuti ke Korea.
"Mungkin kedatangan rakyat kita ke negara itu akan menunjukkan peningkatan dari semasa ke semasa," jelasnya.
Terkenal menerusi lagu, Aduh Saleha, Mawi bagaimanapun berkata, andai benar-benar penubuhan restoran itu dapat direalisasikan kelak, maka dia tidak hanya menjual hidangan yang berkonsepkan Melayu semata-mata.
"Saya rasa tidak boleh terlalu bergantung dengan makanan kita sahaja, sebaliknya saya harus bijak menyusun strategi untuk menjual makanan tradisional mereka yang halal," ujar Mawi dalam nada cukup bersungguh-sungguh untuk menjadi pengusaha kedai makanan bertaraf antarabangsa.
Minta Mas bersabar
Dalam pada itu Mawi turut prihatin terhadap nasib yang menimpa Mas.
Atmosfera kecoh yang terjadi kepada bekas pelajar Akademi Fantasia 2 (AF2), Mas, 28, yang dibawa ke unit Psikiatri Hospital Kuala Lumpur (HKL), 3 Februari lalu, turut mendapat perhatiannya.
Mawi, yang merupakan rakan sebumbung dengan Mas dalam satu syarikat yang sama, Maestro Records, dalam nada sedih mengakui ada terbaca kisah yang dihadapi Mas menerusi media cetak.
Tatkala soalan tentang Mas atau nama sebenarnya Asma Ghani diutarakan, riak wajah Mawi seolah-olah tergamam, malah mula berubah menjadi simpati semasa bibirnya ingin memulakan bicara.
Anak kelahiran Felda Taib Andak, Kulai, Johor itu yang sarat dengan sifat setia kawan serta perikemanusiaan berkata, dia tidak dapat melakukan apa-apa, selain berdoa yang baik-baik tentang kesejahteraan Mas.
"Saya berharap agar Mas banyak bersabar apabila berdepan dengan cubaan ini.
"Saya tahu dia tidak menghadapi sebarang masalah seperti yang digembar-gemburkan umum, kononnya dia mengalami masalah tekanan perasaan.
"Ini semua ujian daripada Allah Taala untuk dirinya," ungkap Mawi ringkas sempat memberikan nasihat kepada Mas yang kini berada di kampung halamannya, yang terletak di Tawau, Sabah untuk meneruskan kehidupan.
Puncanya apabila Mas membuat laporan di Balai Polis Pandan Indah, kerana mendakwa syarikat rakamannya tidak menerbitkan albumnya.
Bahkan, ada yang memberitahu bahawa punca amarah Mas turut disebabkan dia tertekan setelah putus cinta dengan kekasihnya, Shahrul Azman Mohd. Shahril, 36, atau Rock.
Mawi yang diumpamakan 'anak emas' Maestro menambah, bukan Mas sahaja yang bersendirian menghadapi perkara sama.
"Ada ramai lagi artis AF yang berdepan dengan masalah tidak dapat mengeluarkan album masing-masing sebelum ini.
"Secara peribadi, saya tidak menyalahkan pihak Maestro dan Mas seratus-peratus dalam soal ini.
"Maestro juga kena memikirkan tentang bisnes yang mereka jalankan. Kalau buat album, sudah pastinya syarikat rakaman mahukan keuntungan.
"Saya tidak boleh bercakap lebih tentang soal ini, sebaliknya saya harap Mas dapat bersabar," jelas Mawi yang mengakui penyanyi yang berstatus ibu tunggal itu, merupakan seorang wanita yang jujur sepanjang perkenalan mereka.
Album baru taruhan Mawi
Setelah mendirikan rumah tangga 20 Disember lepas, Mawi kini tidak hanya muncul dengan isteri, sebaliknya turut hadir sambil membawakan buah tangan terbaru, berbentuk album yang diberi judul, Allah Habeebi.
Bercerita tentang albumnya yang diproses di New York, Amerika Syarikat (AS) dengan kos bernilai RM100,000, Allah Habeebi menjadi rentetan daripada album Qasidah yang pernah dilancarkan lebih dua tahun lepas.
"Saya tidak menggunakan judul yang sama, sebaliknya album terbaru ini diletakkan judulnya, Allah Habeebi.
"Ia mengandungi enam buah lagu baru manakala dua lagu lagi iaitu Seroja dan Tola'al Badru Alaina dirakamkan semula.
"Secara keseluruhan, album ini memuatkan lapan buah lagu dan saya rasa ia mampu menarik perhatian daripada semua, tanpa mengira status dan perbezaan usia.
"Relevan dua lagu lama dirakamkan semula kerana jika saya buat persembahan pentas, peminat tetap mahukan lagu-lagu ini.
"Justeru, saya sekadar mahukan peminat berpuas hati apabila membeli album ini sekali gus dapat memenuhi cita rasa mereka," jawab Mawi.
Dengan status sebagai suami orang, barangkali peminat Mawi mulai hilang satu persatu. Bukan mudah sebenarnya untuk dia terus mengekalkan kutipan jualan album Qasidah sulung yang mencapai penjualan hingga 118,000 unit.
Tidak menjadikan perkara itu sebagai subjek utama yang menghalang dirinya untuk terlibat dalam dunia seni, Mawi beranggapan status sebagai 'lelaki berpunya' tidaklah jadi masalah kepadanya.
"Alhamdulillah, peminat menilai saya melalui bakat yang dimiliki walaupun sudah mendirikan rumah tangga.
"Cukup membanggakan apabila album ini yang dipasarkan awal Februari lalu, ia sudah mencapai jualan 10,000 unit.
"Kali pertama dicetak sebanyak 5,000 unit dan kini cetakan kali kedua pula dilakukan dengan kuantiti sama.
"Dengan situasi industri seni yang suram, saya boleh anggap perkara ini sebagai cukup membanggakan," luah Mawi telus.
Berganding dengan nama besar
Umum mengetahui, Mawi diibaratkan mendapat laluan mudah apabila kerjaya seninya bermula dengan bantuan seorang penggiat seni yang disanjungi ramai, M. Nasir.
Dalam album Allah Habeebi, Mawi masih lagi bekerjasama dengan M. Nasir menerusi lagu Serulah Namanya.
Enggan 'tunduk' kepada seorang komposer yang berwibawa semata-mata, sebaliknya Mawi berpeluang untuk mendapat khidmat karyawan seni popular lain, ibarat Farihin menerusi lagu Allah Habeebi dan Sujud (Edry Abdul Halim).
"Pengalaman bekerja dengan Farihin memang cukup menarik walaupun dia agak teliti mencakupi pelbagai aspek.
"Farihin mahukan saya memperlihatkan kepelbagaian semasa menyampaikan lagu Allah Habeebi.
"Pengalaman berduet dengan KRU untuk kali pertama juga tidak mendatangkan masalah kepada saya.
"Senang sekali dapat menjalankan kolaborasi dengan mereka. Sudah tentunya saya gembira kerana lagu Sujud yang sedang diputarkan di stesen-stesen radio swasta merupakan sebuah lagu segar dan bersesuaian dengan golongan muda-mudi," akhiri Mawi yang sempat menunjukkan kepakarannya menulis lirik untuk lagu Hijab untuk album baru itu.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: