Thursday, February 19, 2009

Selebriti bertanding karaoke


ANTARA artis yang terlibat dalam program Celebrity Karaoke, Noryn Aziz, Mama Rina, Faizal Ismail, Kartina Ayob, Riezman Khuzaimi dan Datuk A. Rahman Hassan.


KARAOKE tidak dinafikan merupakan antara aktiviti santai yang popular di kalangan penduduk Asia termasuk Malaysia. Lihat sahaja jumlah penambahan pusat karaoke dan juga pertandingan nyanyian yang dianjurkan, ramai rasanya turut menyimpan angan-angan untuk menjadi penyanyi.

Menyedari populariti karaoke, ntv7 telah mempersembahkan sebuah program berteraskan format game show karaoke. Berjudul Celebrity Karaoke, program itu akan memaparkan barisan artis tempatan bersaing dalam meneka dan menyampaikan lagu dengan lirik yang betul.

Bakal menemui penonton setiap Jumaat bermula 20 Februari ini, pukul 8.30 malam, Celebrity Karaoke diilhamkan daripada sebuah program popular antarabangsa, Karaoke Showdown yang sudah diterbitkan di 30 buah negara.

"Di negara Asia, hanya Indonesia dan Vietnam mempunyai program sama. Melihat popularitinya, kami amat berbangga untuk menjadi sebahagian daripada format antarabangsa ini.

"Menggabungkan selebriti dan karaoke adalah sesuatu yang bijak dan menyeronokkan. Penonton bukan sahaja boleh terhibur malah boleh lebih mengenali artis yang terlibat," kata Pengurus Besar ntv7, Airin Zainul pada sidang media memperkenalkan program itu.

Dihoskan oleh Nazrudin Rahman (Naz), program itu akan dibahagikan kepada tema berlainan pada setiap episod seperti Rock 'n' Roll, Klasik, Hari Kekasih, Istimewa Hari Ibu dan Terbaik 1960-an. Semua tema dan lagu yang dipilih adalah berdasarkan cita rasa tempatan.

"Sungguhpun mengambil format antarabangsa, program itu digubah dengan memasukkan sedikit elemen tempatan supaya dapat mendekati hati audiens. Contohnya kami menukar judul kepada Celebrity Karaoke daripada Karaoke Showdown supaya kedengaran lebih mesra.

"Di samping itu, kami juga membina sebuah set lebih kepada elemen tempatan. Memandangkan kami telah membeli format mereka, maka kami perlu mengikut lebih 80 peratus keaslian program itu. Apa yang paling ketara adalah set yang boleh melihatkan pembabitan penonton studio secara langsung," tambah Airin.

Pada permulaan episod, empat selebriti akan dibahagikan kepada dua pasukan dan mereka akan mengambil giliran untuk memilih sebuah lagu daripada lima kategori. Rakaman nyanyian orang biasa akan dimainkan pada monitor studio.

Maka, kedua-dua pasukan perlu meneka lagu yang disampaikan tanpa iringan muzik. Pasukan yang betul akan diberikan markah. Jika salah, markah akan diberikan kepada pihak lawan.

Pada pusingan akhir, setiap pasukan akan berpeluang menyampaikan sebuah lagu yang telah diubah liriknya. Cabarannya adalah mereka perlu menyanyikan lirik yang betul.

"Kami telah memulakan uji bakat sekitar September tahun lalu di beberapa lokasi sekitar Kuala Lumpur, Johor Bahru, Ipoh dan Kuantan untuk mencari mereka yang berminat untuk menjalankan rakaman.

"Kami ingin memberikan peluang kepada mereka yang boleh menyanyi tetapi tidak mempunyai peluang untuk berada di kaca TV. Klip mereka dirakamkan terus di lokasi. Mereka yang terlibat tidak diberikan latihan terlebih dahulu. Maka mereka hanya akan menyampaikan apa yang diberikan oleh kami," jelas penerbit program, Azwan Sahamir.

Menjalankan rakaman selama sebulan bermula Oktober lalu di studio Filem Negara, setiap episod memerlukan 17 buah lagu. Maka jumlah keseluruhan lagu untuk 26 episod ini adalah 300 buah lagu.

"Musim pertama ini merangkumi 13 episod tetapi kami telah siap merakamkan 26 episod. Ini kerana kami yakin program ini akan mendapat sambutan memberangsangkan. Musim keduanya akan ditayangkan pada awal 2010 nanti," tambah Azwan yang memulakan penyelidikan Julai lalu.

Bagi memilih pasangan untuk episod peminat, artis itu sendiri diberikan peluang untuk memilih peminat sendiri. Kemudian pihak produksi akan memanggil mereka untuk uji bakat.

"Komitmen artis adalah sukar kerana ini adalah program baru. Maka untuk menyakinkan mereka untuk terlibat adalah satu masalah pada peringkat awal.

"Bukan itu sahaja, mencari pasangan untuk selebriti itu juga agak sukar. Kami perlu menjalankan pelbagai sesi uji bakat kerana mahukan mereka yang mengenali banyak lagu termasuk dari tahun 1960-an sehingga kini tidak kira lagu Bahasa Malaysia atau Inggeris."

Pemenang utama boleh memenangi pakej percutian, baucer membeli-belah dan baucer spa bernilai RM2000. Naib juara pula akan memenangi hadiah sama dengan nilai RM1000.

Bagi mereka yang meminati karaoke, jangan lupa untuk menyaksikan gelagat artis termasuk Ning Baizura, Zahid, Nita, Shamsul Ghau Ghau, Betty Benafe, Cherly Samad, Faizal Ismail, Dina, Dia Fadilla, Mila dan ramai lagi dalam Celebrity Karaoke.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: