|
|
BIARPUN pernah menyuarakan perasaan kecewa terhadap album kedua, Na Na Na Kataku yang dihasilkan dua tahun lalu gagal di pasaran, ia tidak sesekali mematahkan semangat Nur Nadia Fadila Abu Bakar atau Dia Fadila. Bahkan, dia reda menerima. |
Disebabkan itu, gadis manis kelahiran Selangor ini tetap meneruskan hasratnya tampil dengan album baru yang masih diterbitkan syarikat rakaman pilihan, Warner Music. Malah, album kompilasi Terbaik Dariku itu akan dipasarkan Januari ini.
Dia Fadila berkata, walaupun album Na Na Na Kataku gagal di pasaran kerana kekurangan promosi daripada Warner Music dulu, namun dia sedar ketika itu syarikat rakaman terbabit menghadapi masalah pengurusan. Ramai kakitangan berhenti kerja.
"Jadi, apabila tenaga kerja tidak mencukupi bagaimana hendak buat promosi? Justeru, itulah yang berlaku pada album saya. Tetapi, sekarang situasi sudah berubah apabila urusan promosi dibuat bertambah baik. Sehubungan itu, saya kembali yakin.
"Malah, atas kepercayaan dan jodoh yang kekal bersama Warner Music, saya harap album baru ini akan berjaya. Ia memuatkan lapan lagu lama yang diambil daripada album pertama dan kedua. Tidak ketinggalan, disertakan juga dua lagu baru," katanya.
Berusia 24 tahun, menurut Dia albumnya itu kalau hendak dikatakan kompilasi, tidak juga.
Katanya, inisiatif memuatkan lagu lama diambil kerana sedar masih ramai peminat tidak mengetahuinya. Justeru, ia perlu diketengah semula.
"Tujuan saya, tidak mahu karya yang bagus berkubur begitu saja tanpa mendapat penilaian pendengar. Oleh itu, apa salahnya ia dirakam semula untuk dikongsi bersama. Lagipun, sayang sangat jika dibiarkan dan itu yang saya tidak mahu berlaku.
"Selain itu, saya turut mengambil pendekatan menghasilkan video klip. Bagi saya, sekurang-kurangnya pendengar boleh melihat gambaran lagu itu menerusi klip videonya. Saya percaya, ini akan lebih membuatkan pendengar tertarik dan ingin tahu.
"Setakat ini pun, lagu Satu Ruang yang menjadi lagu tema filem Selamat Pagi Cinta sudah diputarkan stesen radio. Begitu juga dengan satu lagi lagu baru saya, Jat Da Da. Melihatkan pada penerimaan itu, saya anggap ia satu 'bonus' pada karier," katanya.
Turut bergelar pensyarah di Akademi Seni, Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara), anak sulung daripada dua beradik ini berkata dia juga memberi fokus pada muat turun nada dering. Akuinya, sekarang pendengar memang lebih menjurus ke arah itu.
"Saya tahu ada yang berpendapat muat turun nada dering ini memusnahkan industri. Namun, kalau dilihat betul-betul, zaman sudah berubah. Pengaruh teknologi dan komputer lebih besar kerana ia banyak memudahkan dan jimat masa.
"Malah, saya dapati muat turun nada dering ini juga membantu pada pendapatan artis terutama ketika pasaran album yang lembap ketika ini. Jadi, dengan sambutan baik diberi menunjukkan artis juga akan mendapat royalti daripadanya.
"Contoh yang paling jelas, lihat saja pada lagu Hanya Kau Yang Mampu nyanyian Aizat (AF5) yang jualan muat turun nada deringnya mencecah ratusan ribu. Bahkan, menerusi jumlah itu sudah memberi jawapan pada tumpuan sebenar pendengar sekarang," katanya.
Ditanya pula mengenai dirinya yang senang ditemani ibu bapa di mana berada, Dia berkata semestinya dia berasa lebih selamat seandainya sentiasa ada di sisi keluarga. Malah, diri pun terhindar gosip liar.
Katanya bukan gosip tidak bagus buat artis tetapi biarlah berpada. Dalam soal ini, paling penting maruah diri serta keluarga terjaga. Takkan hendak lihat saja orang mengatakan benda buruk yang tidak pernah dibuat. Oleh itu, lebih baik bersama keluarga.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: